Utusan Online - Selatan |
Islam: Stigma negatif perlu diubah Posted: Islam: Stigma negatif perlu diubahOleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan Anugerah Anggota Kehormat Perkim kepada Mohamad Hasan sambil diperhatikan oleh Siti Rahmah Kassim (kiri) pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Perkim peringkat Kebangsaan kali ke-50 di Seremban, baru-baru ini. SEREMBAN 25 Sept. - Stigma negatif pemikiran dunia terhadap Islam ketika ini perlu diubah melalui perubahan sikap dan pemikiran penganutnya jika mereka mahu diangkat sebagai umat yang dihormati dan dicontohi. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kealpaan umat Islam ketika untuk mengubah sikap ini menyebabkan mereka terus menghadapi cabaran selain mendapat tentangan hebat khususnya di negara barat apabila mereka terus dilabel sebagai umat yang masih jauh ketinggalan dalam segala aspek. Ini termasuklah diperlekehkan oleh dunia yang kini melihat Islam sebagai pengganas, mundur dan lemah kerana perpecahan sesama sendiri. ''Tidak terkecuali di negara ini, masih ada lagi umat Islam itu sendiri yang sanggup menggadaikan maruah kesucian agama demi kepentingan masing-masing hanya kerana untuk mendapatkan sokongan yang bersifat sementara. ''Ini adalah ancaman yang perlu ditangani dengan segera sekiranya umat Islam di negara ini tidak mahu terpesong yang kemudiannya akan menyebabkan perpecahan sesama sendiri," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaydia (Perkim) Kebangsaan kali ke-50 kelmarin. Turut hadir di majlis itu, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengerusi Perkim negeri, Datuk Siti Rahmah Kassim. Justeru Mohamad mahu supaya umat Islam menjadikan agama ini sebagai alat penyatuan dan bukannya untuk menjadi persengketaan sekiranya mereka mahu melihat sebagai umat yang terbaik. |
Posted: Perluas program jiwa murniHASAN Malek bersalaman dengan anggota tentera AS yang menyertai program komuniti kesihatan di perkampungan Orang Asli Solok Terentang, Jasin, baru-baru ini. JASIN 25 Sept. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan melaksanakan lebih banyak Program Jiwa Murni bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di penempatan-penempatan Orang Asli yang terdapat di seluruh negara. Terbaru, Program Mesra Minda dan Jiwa Murni diadakan di Kampung Orang Asli Solok Terentang dekat sini yang mendapat sambutan penduduk. Timbalan Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, program tersebut dilihat mampu menjalin hubungan lebih baik antara masyarakat Orang Asli dengan anggota tentera. Beliau berkata, program yang berlangsung tiga hari bermula Selasa lalu menyaksikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Amerika Syarikat (AS) menggembleng tenaga memberi perkhidmatan kesihatan kepada seluruh penduduk di situ. "Saya sifatkan program ini sebagai berjaya kerana sambutan amat menggalakkan, malah Orang Asli dilihat amat seronok menerima kunjungan kami. "Sepanjang program ini penduduk diberi rawatan kesihatan asas selain ujian pap smear, gigi dan mata secara percuma," katanya selepas menutup program itu baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Datuk Mohd. Sani Mistam dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, R. Perumal. Program membabitkan anggota tentera dua buah negara itu adalah salah satu daripada aktiviti bersempena Eksesais Keris Strike Siri 15 yang bermula minggu lalu di Kem Terendak di sini. Menurut Hasan, selain rawatan kesihatan, pasukan tentera juga turut bergotong-royong membersihkan kawasan kampung berkenaan dan melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama masyarakat Orang Asli. Beliau menambah, melalui program sedemikian, masyarakat Orang Asli akan berasa lebih dihargai sekali gus merapatkan hubungan mereka dengan agensi berkaitan serta pihak tentera. |
Posted: Ban Zen Motors rai pelangganMELAKA 25 Sept. - Seramai 150 pelanggan syarikat pengedaran motosikal terbesar di Melaka, Ban Zen Motors Sdn. Bhd. (BZ) diraikan dalam Majlis Hari Menghargai Pelanggan Sempena Aidilfitri Bersama Bon Siew Honda di sini semalam. Pengarah Eksekutif BZ, Teh Kim Hock berkata, ia merupakan tahun pertama BZ menganjurkan majlis tersebut bagi menghargai pelanggan mereka yang terpilih dari negeri ini. "Kami memperuntukan sebanyak RM20,000 untuk menganjurkan majlis ini dengan menyediakan lebih 10 cabutan bertuah termasuk sebuah televisyen plasma, motosikal Honda Icon dan wang tunai RM300 kepada pelanggan bertuah. "Diharapkan majlis sebegini dapat terus diadakan pada tahun-tahun akan datang sebagai salah satu tanggungjawab sosial syarikat kepada pelanggan," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut semalam. Sambil menikmati pelbagai hidangan disediakan, pelanggan Ban Zen yang menghadiri majlis itu turut dihiburkan dengan persembahan karaoke. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan