Utusan Online - Hiburan |
Posted: Gementar Siti dalam terujaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL SELEPAS 16 tahun bergelar penyanyi, impian Siti Nurhaliza untuk memiliki album Inggerisnya tercapai. TEMPOH 16 tahun yang dilalui oleh penyanyi pujaan ramai ini bukanlah satu masa yang singkat sehingga dia berjaya menjadi satu entiti dalam dunia hiburan tanah air. Pelbagai pengalaman pahit dan manis selain kejayaan luar biasa semuanya sudah dilakar oleh figura unggul bernama Datuk Siti Nurhaliza ini. Barangkali rekod pencapaiannya dalam bidang seni sukar sekali untuk ditandingi sehingga gelaran penyanyi nombor satu negara terus menjadi miliknya. Selama bergelar penyanyi, Siti Nurhaliza sudah merakamkan 14 buah album solo yang merangkumi genre pop dan tradisional di mana hampir kesemuanya mencatatkan penjualan yang membanggakan. Justeru, penghibur kesayangan ramai yang mesra disapa Siti ini nampaknya sudah bersedia untuk mencatatkan satu lagi rekod buat dirinya. Selepas sekian lama memendam rasa untuk muncul dengan sebuah album Inggeris, akhirnya mimpi Siti bertukar realiti apabila album Inggeris pertamanya, All Your Love sudah mula menjengah pasaran sejak 22 September lalu. Mahu atau tidak, harus diakui, berita tentang kelahiran album Inggeris pertama Siti sememangnya sesuatu yang cukup luar biasa. Alasannya cukup mudah. Ia adalah kerana ia milik Siti Nurhaliza, nama yang cukup besar pengaruhnya dan sudah pasti apabila Siti lahir dengan album Inggeris, ia pasti mendapat perhatian ramai. Namun, mengapakah hanya selepas 16 tahun, Siti memberanikan diri dengan merakamkan album Inggeris sedangkan dia boleh melakukannya ketika dia sedang meniti zaman kegemilangan sebagai penyanyi tersohor rantau Nusantara. Apakah kerana pertuturan bahasa Inggerisnya yang sering dijadikan bahan jenaka menjadi halangan untuk Siti merakamkan album dalam bahasa itu sebelum ini? Sambil menghela nafas yang panjang dalam nada yang cukup berhemah, Siti tidak pernah melihat kekurangan itu sebagai satu masalah seandainya dia mahu merakamkan album Inggeris. Sebaliknya kata Siti, tempoh 16 tahun sudah cukup membekalkan semangat yang cukup tinggi untuk lahir dengan album Inggeris perdananya. Malah, penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagi Jerat Percintaan ini juga mengambil sikap optimis apabila dalam usianya 32 tahun itu masih belum terlewat untuknya muncul dengan album Inggeris. "Kelahiran All Your Love bukanlah untuk menunjukkan dan membuktikan kepada semua pihak bahawa saya sebenarnya mampu menyanyikan lagu-lagu bahasa Inggeris dengan baik. "Sebaliknya saya mahu mencabar diri saya kerana perjalanan sebagai anak seni selama 16 tahun yang telah banyak mematangkan saya untuk muncul dengan album Inggeris. "Saya juga percaya peluang ini hadir tepat pada masanya dan apabila kepercayaan itu diberikan kepada saya, mengapa tidak untuk saya meneruskan niat yang sekian lama terpendam ini untuk direalisasikan," kata biduanita muda negara ini ketika dihubungi Mega, baru-baru ini. Reaksi Dalam pada penyanyi wanita unggul negara ini teruja dengan kelahiran All Your Love, Siti juga tidak mampu menyembunyikan kegusaran menantikan reaksi daripada masyarakat dan peminat setianya terhadap album tersebut. Bukan Siti tidak yakin dengan penerbitan album itu tetapi dia cukup bimbang apabila ada pihak yang bagaikan sengaja mahu mencari kesilapannya. Anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini juga cukup sedar bahawa ada yang meletakkan harapan tinggi melangit selain mahu mencari kesempurnaan dirinya apabila muncul dengan album Inggeris. Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang seni, Siti mempunyai pandangannya sendiri berhubung isu tersebut. Baginya, sebagai seorang anak Melayu dan dibesarkan di dalam persekitaran yang hampir kesemuanya bertutur dalam bahasa Melayu, Siti tidak mampu mengubah dirinya menjadi seperti orang Barat. "Adakah kerana saya lahir dengan album Inggeris, saya perlu menyanyi dan bertutur dalam slanga seperti orang Barat? Saya selesa menjadi diri saya sendiri dan bagaimana saya menyanyi itu adalah cara saya. "Kalau diperhatikan kepada penyanyi Barat seperti Shakira dan Celine Dion sewaktu mula-mula mereka muncul dengan album Inggeris, mereka menyanyi dengan penyampaian tersendiri. "Begitu juga dengan penyanyi dari Jepun, Korea dan Taiwan yang berhadapan dengan situasi serupa tetapi mereka boleh diterima dengan baik dan seadanya. "Dengan kelahiran All Your Love juga ia adalah satu keberanian buat saya dalam menyahut cabaran yang saya sendiri mahukan. Kalau asyik fikirkan kata-kata orang, memang kita tidak boleh maju dan ke mana-mana," ujar Siti panjang lebar. Impian Berbicara lanjut tentang All Your Love yang mendapat hak pengedaran daripada Warner Music International itu, impian itu barangkali tidak akan terlaksana jika anak tirinya, Muhammad Adib atau lebih dikenali sebagai Adib tidak lahir dengan idea tersebut. Apatah lagi, Adib juga memiliki minat yang cukup mendalam terhadap bidang muzik membuatkan Siti tidak mempunyai masalah untuk meneruskan cita-citanya itu bagi melengkapkan profil seninya sebagai seorang penyanyi. Menerusi Adib kata Siti, dia telah dipertemukan dengan penerbit dan komposer dari Australia, Brian B dan Christian Alexander yang bertanggungjawab menerbitkan album All Your Love di bawah syarikat, What's Up Entertainment Sdn. Bhd. Hanya menjalani rakaman album di ibu negara selama dua minggu sahaja sekitar pertengahan tahun ini, Siti yang kini cukup popular dengan lagu Falling In Love itu melahirkan rasa puas hatinya terhadap pembikinan album tersebut. Apa yang penting baginya adalah untuk memastikan penerbit juga berpuas hati dengan dirinya sendiri terutama aspek vokal. "Saya sendiri tidak mempunyai masalah untuk merakamkan album Inggeris ini kerana saya sudah membuat persediaan dengan mendengar melodi dan menghayati liriknya terlebih dahulu. "Daripada situ, barulah penghayatan itu datang dan Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Apa yang penting bagi saya adalah untuk memastikan penerbit sendiri berpuas hati dengan rakaman saya. "Brian sendiri tidak mempunyai sebarang masalah dengan penyampaian saya untuk setiap lagu dalam album ini. Malah, dia juga tidak lokek untuk mengajar saya dari segi sebutan," ujar pemilik trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 11 kali ini penuh teruja. |
Posted: Siti Nurhaliza tidak kisahOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL APABILA nama Datuk Siti Nurhaliza tidak dicalonkan untuk mana-mana kategori dalam Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) yang diumumkan baru-baru ini, pelbagai spekulasi mula timbul. Ada yang mengatakan zaman penyanyi itu sudah berlalu apabila nama-nama baru mula mendominasi anugerah muzik paling berprestij negara itu. Barangkali rezeki tidak berpihak kepada Siti tahun ini apabila lagu Astana Jiwa tidak berjaya membolosi senarai akhir AIM 18 walaupun lagu tema drama bersiri Suria Di Cordoba itu dicalonkan pada peringkat awal. Tetapi, bagi empunya diri, dia sedikit pun tidak kisah dengan perihal itu sebaliknya melihatnya dari sudut yang positif. "Jujurnya saya tidak mempunyai masalah apabila tidak dicalonkan tahun ini kerana saya sendiri tiada produk untuk dicalonkan walaupun difahamkan Astana Jiwa layak ke peringkat awal. "Janggal atau tidak itu, bagi saya biasa sahaja. Mungkin peminat lebih merasakan perasaan itu kerana saya dicalonkan untuk AIM setiap tahun sejak tahun 1997," ujar Siti tanpa selindung. Sudah pasti kata Siti, selagi dia aktif dalam dunia nyanyian dan merakamkan album, selagi itu dia akan terus mencalonkan karyanya di AIM. Kerana bagi Siti, kemenangan dalam anugerah kebanggaan karyawan seni tempatan itu bukanlah untuk dirinya sahaja tetapi juga untuk mereka yang terlibat di belakang tabir dalam pembikinan album dan lagu-lagunya. "Memang seronok apabila setiap penat lelah kita dibayar dan diiktiraf oleh juri tetapi kegembiraan itu berganda apabila melihat mereka di belakang tabir menerima pengiktirafan. "Saya tetap mahu melihat karya-karya saya di masa akan datang dicalonkan dan seterusnya memenangi kategori lain yang belum pernah dimenangi sebelum ini seperti Muzik Video, Rakaman Album dan Kulit Album Terbaik," ujarnya dalam nada cukup optimis. Sesungguhnya bukanlah satu masalah besar apabila Siti tidak dicalonkan dalam AIM tahun ini kerana rekod yang dicipta oleh penyanyi bersuara emas ini dalam sejarah AIM barangkali sukar dipadam oleh sesiapa. Bukan sekadar omongan kosong, tetapi sepanjang menyertai AIM sejak tahun 1997, Siti dan setiap albumnya yang layak dipertandingkan telah menerima 71 pencalonan. Daripada jumlah itu, sudah 34 buah trofi menjadi milik Siti dan karyawan yang terlibat dalam menghasilkan album serta lagu-lagu nyanyiannya. Kalau ada yang tidak tahu, Siti juga sebenarnya pernah tewas di gelanggang AIM apabila gagal membawa pulang sebarang trofi pada tahun 1998 walaupun dicalonkan untuk tiga kategori. Sudah pasti rekod yang paling membanggakan untuk Siti apabila memenangi kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik sebanyak 11 kali. Menerusi kategori itu, Siti pernah menjulang trofi itu sebanyak lapan tahun berturut-turut dari tahun 1999 hingga 2006. Dominasi Siti berjaya dipecahkan oleh Jaclyn Victor pada tahun 2007 namun, Siti kembali merampas gelaran itu pada tahun 2008 sehinggalah 2010. Bukan itu sahaja, Siti juga menjadi satu-satunya artis tempatan yang memenangi gelaran tertinggi dalam AIM iaitu Album Terbaik sebanyak lima kali. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan