Utusan Online - Luar Negara |
Turki, Israel tidak akan berbaik - Erdogan Posted: Turki, Israel tidak akan berbaik - ErdoganWASHINGTON 26 Sept. - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, hubungan 'retak' antara negaranya dengan Israel tidak akan pulih buat selama-lamanya selagi rejim Yahudi itu terus menghalang flotila bantuan dan mengenakan sekatan ke atas Genting Gaza. Erdogan berkata, Turki sangat bersabar dengan bekas sekutunya itu meskipun hubungan menjadi tegang selepas komando Israel menggempur flotila kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Mei tahun lepas. "Saya boleh menyatakan dengan jelas dan terus-terang hubungan antara Israel dengan Turki sudah retak disebabkan isu yang ditimbulkan oleh Israel apabila flotila yang membawa bantuan kemanusiaan cuba masuk ke Gaza (pada tahun lalu). "Flotila itu membawa aktivis kemanusiaan dari 33 negara dan diserang dari laut dan udara (oleh komando Israel)," kata Erdogan kepada program GPS CNN, semalam. Katanya, Turki menuntut Israel memohon maaf, membayar ganti rugi dan menghapuskan sama sekali sekatan ke atas Gaza. "Jika tuntutan itu tidak dipenuhi, hubungan Turki dengan Israel tidak akan pulih untuk selama-lamanya," tegas beliau. Erdogan mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa kapal-kapal perang Turki boleh dikerahkan untuk melindungi kapal bantuan ke Gaza pada masa depan. "Dalam situasi ini, demokrasi, hak-hak dan kebebasan hendaklah dipertahankan. "Jika kamu terus berkeras untuk mewujudkan punca kekacauan, kamu sudah tentu akan menjadi semakin tersisih," katanya dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada Israel. - AFP |
Palestin masih perlukan 9 undi Posted: Palestin masih perlukan 9 undiPresiden Palestin, Mahmoud Abbas melambai tangan kepada penduduk Palestin yang berhimpun di Ramallah, Tebing Barat bagi menyambut kepulangannya selepas berucap pada UNGA, kelmarin. - REUTERS NEW YORK 26 Sept. - Permohonan Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara mula dibahaskan oleh Majlis Keselamatan PBB hari ini, tetapi dijangka menghadapi cabaran getir bagi memperoleh sembilan undi yang masih diperlukan untuk kelulusan. Tanpa undi minimum tersebut dalam badan yang terdiri daripada 15 anggota itu, Amerika Syarikat (AS) akan terlepas daripada keperluan untuk menggunakan kuasa vetonya bagi menyekat permohonan Palestin. Ketika perbincangan formal bermula, diplomat berkata, Palestin hanya dapat memastikan enam undi sokongan dalam Majlis Keselamatan iaitu daripada China, Rusia, Brazil, Lebanon, India dan Afrika Selatan. Tiga negara anggota bukan tetap, Gabon, Nigeria dan Bosnia belum mendedahkan sama ada mereka akan mengundi untuk menyokong keanggotaan Palestin. "Jika pengundian diadakan hari ini, Palestin tidak akan mendapat cukup undi yang diperlukan dan AS tidak perlu menggunakan kuasa vetonya," kata seorang diplomat Barat. Lazimnya Majlis Keselamatan tidak mengambil masa melebihi 35 hari untuk mengkaji dan menilai permohonan bagi menganggotai PBB. Pada Julai lalu, permohonan Sudan Selatan, negara anggota PBB ke-193 dan terbaru menyertai badan dunia itu, diluluskan dalam masa beberapa hari sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA) untuk pengesahan. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan