Utusan Online - Mahkamah |
Posted: Tiada unsur jenayahOleh SITI NOORALINA AHMAD KUALA LUMPUR 26 Sept. – Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan bahawa tiada unsur jenayah atau penglibatan pihak ketiga dalam kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed, April lalu. Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam keputusannya berpendapat, Ahmad Sarbaini jatuh secara tidak sengaja dari Aras 3 bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan dan meninggal dunia di tempat sama disebabkan nahas tersebut. Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Aras 1 bangunan SPRM tersebut yang terletak di Jalan Cochrane di sini pada 6 April lalu. Menurut Aizatul, teori Allahyarham dibunuh disangkal berdasarkan keterangan saksi-saksi pakar yang menyatakan tiada kesan luka tangkis (kesan mempertahankan diri) di anggota badannya selain tiada langsung kesan pergelutan. Koroner itu berpendapat sekiranya Allahyarham dipukul, pengsan dan kemudian dicampak ke luar tingkap pastinya tiada kesan melawan kejatuhan (break the fall) kerana tiada ciri-ciri sedarkan diri dan mengetahui ruang di sekelilingnya ketika jatuh (spatial). Begitu juga dengan teori dia membunuh diri, menurut koroner itu, teori itu meleset sama sekali kerana ketiadaan tanda-tanda penting yang biasanya wujud dalam kes sedemikian. Mengenai keadaan minda Allahyarham sebelum kejadian itu berlaku, ujar beliau, tiada siapa yang menjemput atau mengarahkan Allahyarham datang ke pejabat SPRM itu dan tiada seorang pun pegawai yang mengetahui kedatangannya. ''Tidak dapat dipertikaikan bahawa Allahyarham merupakan seorang pekerja, rakan, suami dan bapa yang baik, apabila dia membuat pengakuan menerima wang ehsan daripada dua ejen, saya berpendapat pengakuan itu telah menjejaskan pemikirannya. ''Keterangan rakan-rakan Allahyarham menunjukkan dia berada dalam keadaan tertekan dan risau sehingga mendorong lelaki itu ingin menukar pengakuannya semula,'' kata Aizatul dalam keputusan bertulisnya setebal 25 muka surat. Menurut beliau lagi, pada masa yang sama Ahmad Sarbaini trauma dengan lokap polis setelah menyifatkan ia ibarat 'neraka dunia' ketika bercerita mengenai pengalaman ditahan di lokap Bukit Jalil kepada rakan-rakannya pada 5 April lalu. Katanya, Ahmad Sarbaini telah terfikir mengenai kemungkinan ditahan semula kerana dia telah menyerahkan tugasnya kepada rakan kelab tenis pada 6 April lalu. ''Ketika tiba di pejabat SPRM pula saksi (yang terdiri daripada) pengawal keselamatan dan penyambut tetamu berkata Ahmad Sarbaini resah, memegang dan menggelengkan kepalanya,'' kata Aizatul. Menurut Aizatul, keadaan menjadi parah apabila pegawai SPRM merampas telefon bimbit Allahyarham dan Penolong Penguasa SPRM, Kamal Awang Besar meminta Ahmad Sarbaini menunggu di bilik saksi yang menyebabkan Allahyarham mungkin berfikir dia ditahan sekali lagi serta bakal dimasukkan ke 'neraka dunia'. Perbuatan itu katanya, menyebabkan Allahyarham ingin keluar dari bangunan itu dengan apa cara sekalipun dan Ahmad Sarbaini tidak menggunakan tangga serta lif kerana khuatir akan ditahan oleh pihak SPRM yang berada di situ. Aizatul turut berpendapat, perbuatan Kamal meninggalkan Allahyarham bersendirian di dalam bilik saksi menunjukkan Kamal telah cuai dalam menjalankan tugas dengan cara mengingkari arahan pegawai atasannya untuk menjaga Allahyarham. Koroner tersebut turut menyentuh mengenai beberapa isu berbangkit seperti gangguan kepada dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV), DVR1 dan DVR2 di bangunan tersebut yang berlaku pada 5 April lalu. Menurut Aizatul, tiada sesiapa yang sengaja memadamkan rakaman-rakaman tersebut kerana gangguan berlaku pada 5 April lalu sedangkan pada tarikh itu tiada seorang pun mengetahui yang Allahyarham akan datang pada keesokan harinya. Bagi isu ungkapan ''bukan saya...orang saya'' yang didakwa diungkapkan oleh pegawai penyiasat SPRM, Abdul Ghani Ali kepada isteri Ahmad Sarbaini iaitu Masiah @ Maziah Manap, menurut Aizatul, ia isu yang kecil dan tidak banyak membantunya dalam mencari jawapan ke atas sebab kematian Allahyarham. Prosiding hari ini turut dihadiri oleh ahli keluarga Allahyarham termasuk Masiah dan anak-anaknya. Bagaimanapun, Masiah enggan memberikan sebarang komen mengenai keputusan itu. Pihak SPRM diwakili oleh peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala peguam Awtar Singh mewakili keluarga Allahyarham. |
Kesan titisan darah di ladang sawit Posted: Kesan titisan darah di ladang sawitOleh NOOR AZMAH IBRAHIM SHAH ALAM 26 Sept. – Cebisan tulang dan gigi ditemui oleh pasukan forensik polis berhampiran pokok kelapa sawit di dalam Ladang Gadong, Banting, iaitu tempat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi didakwa dibunuh dan dibakar pada 30 Ogos tahun lalu. Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Supritendan Soo Me Tong yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, penemuan itu dibuat hasil panduan enam pakar patologi forensik dari tiga hospital yang mengetuai pencarian pada 14 September 2010. Menurut saksi pendakwaan ke-48 itu, turut ditemui di lokasi yang sama adalah kepingan logam, sebatang kayu dan serpihan kayu terbakar, sehelai seluar dalam jenama Hush Puppies saiz M, seluar panjang jenama Snail Classic saiz M, cebisan kain guni dan stokin, sisa kebakaran berwarna biru, wayar hijau dan satu kod bar. ''Enam doktor dari Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Melaka turut hadir. Peranan mereka untuk membantu mencari sisa-sisa tulang serta mengesahkan sama ada ia tulang atau bahan lain. ''Pencarian dibahagikan kepada empat zon dan setiap satu zon diketuai oleh salah seorang daripada mereka. Satu cebisan tulang ditemui di zon B, dua cebisan di zon C dan lebih 15 cebisan tulang serta gigi ditemui di zon D,'' katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani. Dalam kes ini, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38. Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu. Menurut Me Tong, tempat yang dikatakan mayat-mayat mangsa dibakar itu ditutup dengan atap zink dan kayu-kayan, manakala permukaan atas tanah dipenuhi najis kambing semasa beliau dan pasukannya tiba di situ. Selain membuat pencarian selepas mengalihkan kayu dan zink-zink tersebut, beliau turut melihat terdapat kesan-kesan layu pada pokok kelapa sawit berhampiran kawasan pembakaran itu. Terdahulu, pegawai forensik polis itu memberitahu, beliau dan pasukannya turut menemui kesan-kesan titisan darah semasa membuat pemeriksaan dalam bangunan satu tingkat yang mempunyai lima bilik di dalam ladang tersebut pada 12 September 2010. Di dalam bangunan tempat Sosilawati dan tiga lagi didakwa diikat, dipukul dan diserang itu, beliau turut menemui sebatang kayu kriket, satu tong berisi cecair bahan bakar, keratan wayar berwarna hijau dan dua puntung rokok. Sementara enam kesan cap jari yang berjaya ditimbulkan ditemui pada almari, laci di dalam almari yang sama dan pada botol minuman Coca-Cola di dalam bilik ketiga. Semasa pencarian itu dilakukan, beliau dan pasukannya mengikut pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Ishak Yaakob dan pegawai soal siasat, Cif Inspektor N. Govindan sambil dipandu oleh dua tertuduh, Matan dan Kathavarayan serta seorang lagi pekerja ladang tersebut, U. Suresh. ''Kesan titisan darah yang diuji dan disahkan positif darah itu ditemui di luar dinding bilik pertama, kedua, ketiga dan kelima, pada kusyen dan sarung kusyen di depan bilik kedua dan pada televisyen di depan bilik ketiga. ''Sebatang kayu kriket dan dua puntung rokok ditemui di bilik ketiga, satu tong plastik berisi dua pertiga cecair bahan bakar serta beberapa keratan wayar hijau ditemui di bilik ke lima. Satu penyodok dijumpai di dalam pondok berhampiran bangunan itu,'' katanya. Jelasnya, setiap bahan bukti termasuk sampel tanah di kawasan itu ditanda oleh beliau sendiri dengan tandatangannya serta tarikh hari tersebut sebelum dimasukkan ke dalam sampul dan diserah kepada pegawai penyiasat kes pada hari yang sama. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-34 hari ini bersambung esok. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan