Utusan Online - Pahang |
- Penduduk jangan jual tanah
- Pesta bakar lemang di Chini meriah
- Platform terbaik menyatukan masyarakat
Posted: Penduduk jangan jual tanahOleh ZAMZURINA AHMAD KUANTAN 26 Sept. – Penduduk sekitar Beserah, Sungai Ular dan Balok di sini dinasihatkan tidak menjual tanah mereka kepada pihak ketiga ekoran terpengaruh dengan isu yang dimainkan pihak pembangkang sejak pembinaan kilang Lynas di Gebeng, baru-baru ini. Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusof berkata, mereka tidak perlu membuat keputusan melulu sehingga sanggup menjual tanah sendiri berikutan bimbang terkena radiasi daripada operasi kilang berkenaan. " Dalam situasi itu, pihak ketiga akan muncul dan cuba mengambil kesempatan membeli dengan harga yang cukup murah. " Ini kerana, perkara yang sama pernah berlaku pada tahun 1980-an ketika BASF Petronas dan beberapa kilang minyak dan gas mula beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng," kata beliau. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di majlis persaraan guru al-Quran dan fardu ain dan jamuan Aidilfitri di Sekolah Agama Masjid Jamek Beserah, di sini, semalam. Menurut Mohd. Hazmi, ketika kilang-kilang ini hendak dibangunkan, parti pembangkang akan mula mempolitikkan isu radioaktif sehingga membimbangkan penduduk kampung. "Bila ini terjadi, terdapat penduduk kampung yang kurang arif mengenai perkara ini akan sanggup menjual tanah milik mereka pada harga yang murah kepada pihak ketiga. " Bagaimanapun, apabila isu ini reda, pihak tersebut kembali mengambil kesempatan menjual tanah yang dibeli itu dengan harga yang berlipat kali ganda sekali gus menyukar penduduk tempatan membelinya semula," jelasnya. Tambahnya, sikap mereka yang suka mendengar agenda negatif pembangkang tidak akan berakhir jika minda mereka belum terbuka untuk menilai kebenaran. " Jangan mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang kerana mereka kini tidak mempunyai sebarang isu untuk dimainkan lagi. "Justeru, saya mahu penduduk di kawasan berkenaan berfikir dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat sesuatu tindakan termasuk dalam isu penjualan hartanah," ujarnya. |
Pesta bakar lemang di Chini meriah Posted: Pesta bakar lemang di Chini meriahOleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB Abu Bakar Harun (baju kemeja biru kotak) bersama peserta membakar lemang pada Pesta Lemang di Chini,kelmarin. PEKAN 26 Sept. – Syawal kini hampir sampai ke penghujungnya namun masih ramai lagi mengambil kesempatan untuk mengadakan rumah terbuka dan jamuan bagi meraikannya. Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri dalam menganjurkan jamuan hari raya bagi mengeratkan hubungan sesama insan. Berbeza pula dengan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di sini apabila mereka membawa kelainan dalam menganjurkan pesta membakar lemang bagi memeriahkan jamuan Aidilfitri di kawasan itu. Acara yang empat kali dianjurkan itu diilhamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun yang berusaha mengetengahkan kaedah berbeza bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri di kawasannya. Pesta bakar lemang yang menjadi pesta meriah hanya wujud di kawasan DUN Chini di sini dan menarik penyertaan bukan sahaja golongan muda tetapi juga warga emas. Pada pesta ini juga terdapat cabutan bertuah bagi untuk peserta dan disajikan juga dengan persembahan nyanyian kugiran dari Chini. Hampir 2,000 penduduk di sekitar Gugusan Felda Chini hadir pada pesta tersebut, bukan sahaja dari kalangan ahli UMNO, malah turut dihadiri dari pelbagai parti lain. Lebih bermakna kehadiran 10 pasukan yang menyertai pertandingan bakar lemang dari seluruh Chini. Seorang peserta, Rosli Yakob, 52 berkata, ia merupakan kali ketiga penyertaannya dalam pertandingan itu dan menyifatkan satu perkembangan baik bagi mengukuhkan hubungan sesama masyarakat. "ADUN Chini sendiri menggalakkan supaya aktiviti seumpama itu diteruskan kerana ia mengeratkan hubungan silaturahim bukan sahaja kepada masyarakat peneroka tetapi juga penduduk kampung tradisional daripada pelbagai parti di kawasan ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam Dia yang mewakili Felda Chini 1 berharap supaya agenda perpaduan itu diteruskan walaupun hanya satu pertandingan sahaja. "Pertandingan itu dapat menyuburkan nilai-nilai murni seperti semangat kerjasama dan komitmen peserta yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian," katanya. Sementara itu, wakil Felda Chini Timur 2, Shodi Jaafar, 52, berkata, pertandingan ini menjadi platform kepada masyarakat Chini berkumpul dan bersatu serta membentuk satu keluarga besar yang boleh dilihat ketika ini. "Saya berharap supaya program seperti ini dapat diteruskan kerana ia membawa manfaat dan kebaikan kepada masyarakat di kawasan ini," katanya. Tambahnya, paling utama ia lebih fokus kepada perpaduan masyarakat supaya hubungan sesama mereka dapat dikekalkan. "Bukan sahaja dari kalangan ahli UMNO yang hadir, pesta ini malah ia juga merapatkan hubungan dari kalangan parti lain di sini," katanya. Dalam pada itu, wakil Felda Chini 4, Anisah Man, 43, berkata, wanita juga turut sama menyertainya kerana mereka juga boleh membantu kerajaan dalam merapatkan hubungan masyarakat. Tambahnya, ia memberi manfaat dan faedah kepada masyarakat selain menjadi contoh kepada generasi muda supaya meneruskan amalan itu pada masa depan. "Diharap acara seperti ini dapat diadakan secara kerap, bukan sahaja pada hari perayaan sahaja tetapi juga untuk setiap masa," katanya. |
Platform terbaik menyatukan masyarakat Posted: Platform terbaik menyatukan masyarakatPEKAN 26 Sept. - Pesta membakar lemang yang diadakan di Felda Chini 3, di sini baru-baru ini merupakan platform terbaik untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan politik. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun berkata, pesta bakar lemang adalah cara terbaik kerana ia bukan melibatkan satu golongan sahaja tetapi meliputi seluruh tempat di kawasan DUN Chini. Katanya, walaupun agak pelik tetapi itulah cara terbaik bagi menyatukan masyarakat Chini untuk turut serta menyertai pertandingan bakar lemang tersebut. "Pertandingan itu diadakan sehari sebelum majlis jamuan raya diadakan bagi membolehkan setiap pasukan dalam pesta bakar lemang itu menyiapkan makanan mereka sebelum dihidangkan kepada tetamu pada keesokannya," katanya di sini, baru-baru ini. Katanya, pesta ini lebih ke arah pembentukan perpaduan dan mengukuhkan hubungan sedia ada yang terjalin sesama masyarakat di situ. "Di sini kita dapat lihat bagaimana setiap peserta berganding bahu dan bekerjasama menyiapkan lemang mereka walaupun berdepan dengan suhu panas yang tinggi. "Namun semua itu mereka tolak ke tepi kerana selain membakar lemang, peserta seronok dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat," katanya. Abu Bakar berkata, bukan sahaja golongan muda yang turut serta dalam pesta itu tetapi juga warga emas dan wanita tidak ketinggalan turut menjayakannya. "Niat saya menganjurkan pertandingan ini cuma satu iaitu melihat perpaduan dan kerjasama terus terjalin kukuh dan dipertahankan oleh masyarakat di kawasan ini. "Melihat kepada keceriaan dan semangat mereka sudah cukup membuatkan saya terus bersemangat berbakti kepada masyarakat di sini," katanya. Mengenai pesta tersebut, beliau memberitahu, sebanyak 10 pasukan menyertainya. Setiap pasukan mempunyai 30 peserta yang akan membakar 200 batang lemang. Antara pasukan tersebut adalah Felda Chini 1, Felda Chini 2, Felda Chini 3, Felda Chini 4, dan Felda Chini 5. Selain itu, Felda Chini Timur 1, Felda Chini Timur 2, Felda Chini Timur 3, dan Kilang Felda Perumahan Dara turut terlibat. Katanya, pada tahun ini jumlah lemang yang dibakar adalah sebanyak 2,000 batang berdasarkan 200 batang bagi setiap pasukan. Tambahnya, setiap pasukan perlu menyediakan lemang terbaik yang menepati cita rasa juri dan mempunyai cara tersendiri untuk menyediakannya. Katanya, selama empat tahun program itu dianjurkan, sambutan yang diterima amat memuaskan kerana masyarakat DUN Chini memberi komitmen baik untuk menjayakannya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan