Utusan Online - Muka Hadapan |
- Letupan bom: 4 rakyat Malaysia maut
- Penduduk tangkap ‘orang minyak’
- Nampak anak dihempap motosikal - Saksi
Letupan bom: 4 rakyat Malaysia maut Posted: Letupan bom: 4 rakyat Malaysia mautOleh AZRAN FITRI RAHIM SUNGAI GOLOK, Selatan Thailand 17 Sept. – Empat rakyat Malaysia termasuk seorang kanak-kanak antara lima yang maut apabila tiga butir bom meletup di kawasan hiburan di Jalan Charoen Khet di sini, lewat petang semalam. Letupan itu juga menyebabkan 19 rakyat Malaysia cedera yang mana dua daripadanya iaitu Yau Win dan Heng Chin Goa parah serta dirawat di Hospital Yala, Thailand. Mereka yang maut ialah Foong Foo Keah, 45, dari Kuantan, Pahang; Wong Hong Yep, 64, dan cucunya, Wong Kai Sean berusia tiga tahun dari Jalan Hamzah, Kota Bharu, Kelantan manakala seorang lagi mangsa ialah sukarelawan Thailand yang berusia 38 tahun. Seorang lagi rakyat Malaysia, Chen Yew Soon, 40, meninggal dunia di Hospital Hadyai pukul 8 malam tadi. Hong Yep dan cucunya berada di Sungai Golok petang semalam bersama tiga lagi ahli keluarga manakala Foo Keah datang bersama abang dan rakannya ke bandar tersebut sebelum maut dalam letupan itu. Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rusdi Che Omar berkata, letupan pertama berlaku kira-kira pukul 7.30 petang waktu Malaysia, apabila sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan Pusat Kebudayaan Persatuan Teochew yang terletak di tengah sepanjang jalan tersebut meletup menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera. "Kira-kira lima minit kemudian, sebutir lagi bom yang diletakkan pada motosikal berhampiran sebuah hotel meletup menyebabkan Foo Keah dan seorang lelaki rakyat Thailand maut. "Ketika keadaan di sepanjang 500 meter di jalan tersebut kelam-kabut, satu lagi letupan yang lebih kuat berlaku di persimpangan masuk jalan itu berhadapan medan selera sehingga menyebabkan Hong Yep dan cucunya meninggal dunia. "Letupan terakhir berpunca daripada sebutir bom yang diletakkan dalam sebuah kereta di hadapan medan selera tersebut. Ia juga menyebabkan hotel berhampiran turut mengalami kerosakan," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Hospital Sungai Golok di sini, hari ini. Hong Yep meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Yala manakala Kai Sean yang mengalami kecederaan serius maut di tempat kejadian. Letupan itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 60 orang cedera di mana enam daripadanya parah. Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia di tempat kejadian mendapati, pihak berkuasa telah menutup jalan tersebut untuk kenderaan dan kerja-kerja membersihkan serta menyambung semula bekalan elektrik giat dijalankan. Rusdi berkata, pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan kumpulan terlibat dengan dadah selain tidak menolak kemungkinan mereka juga adalah ahli kumpulan pemisah. Tambahnya, siasatan juga mendapati bom yang digunakan dalam kejadian itu adalah jenis bom jangka dan bom kawalan yang dihalakan ke arah kenderaan terbabit. |
Penduduk tangkap ‘orang minyak’ Posted: Penduduk tangkap 'orang minyak'Oleh ILAH HAFIZ AZIZ KUALA LUMPUR 17 Sept. – Tidur nyenyak penduduk pangsapuri lima tingkat di Taman Pinggiran Batu Caves, Gombak dekat sini awal pagi ini hanya seketika apabila sebuah keluarga yang tinggal di tingkat bawah perumahan itu diganggu seorang lelaki berbogel yang digelar 'orang minyak'. Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, lelaki warga asing yang dipercayai mengamalkan ilmu hitam terbabit 'mengejutkan' keluarga Norlida Hassan, 42, apabila dia dilihat bersilat di hadapan rumah wanita itu. Katanya, ketika kejadian, dia sekeluarga sudah tidur namun dia tersedar apabila dikejutkan dengan bunyi dengus nafas seseorang yang kuat di hadapan rumahnya. "Selain bunyi dengusan kuat, saya juga terdengar bunyi orang mengetuk-getuk motosikal di luar rumah, seolah-olah cuba menarik perhatian saya untuk keluar melihat. "Apabila saya intai menerusi tingkap, saya terkejut apabila melihat seorang lelaki muda bertelanjang bulat sedang melakukan aksi pelik namun saya segera menyergah lelaki itu supaya beredar. "Saya kemudian memberanikan diri membuka pintu rumah untuk menghalau dia dari situ tetapi dia seolah-olah membuka jurus pencak silat dan kelakuannya itu ternyata menyeramkan hingga memaksa saya mengejutkan suami, Ahmad Hashim," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini. Norlida berkata, lelaki itu kemudian melarikan diri ke arah sebuah belukar tebal di belakang pangsapuri sambil dikejar oleh suaminya dan seorang jiran. Ahmad yang juga seorang anggota tentera pula berkata, dia bersama jirannya mengejar sejauh 50 meter sebelum dapat menangkap lelaki itu yang cuba bersembunyi di dalam longkang besar berhampiran pangsapuri tersebut. "Setelah menangkapnya, lelaki yang berusia lingkungan 20-an itu berkelakuan pelik apabila memintanya untuk mencari minyak tanah dan mahu membakar diri. "Saya fikir dia mungkin pengamal ilmu hitam kerana berkelakuan pelik dan saya terus menghubungi pihak polis yang menahannya kira-kira pukul 3.30 pagi," jelasnya. Sementara itu, jurugambar Mingguan Malaysia, Zakaria Idris, 47, yang berada di tempat kejadian turut merasakan lelaki itu berkelakuan pelik dan tidak menyangkal kemungkinan, dia adalah pengamal ilmu sesat seperti 'orang minyak'. "Badannya tidak disapu minyak seperti 'orang minyak' tetapi darah yang keluar dari luka setelah ditangkap orang ramai itu dilumurkan ke seluruh badan. Malah mulutnya juga terkumat-kamit seolah-olah membaca sesuatu. "Selain itu dia tidak banyak bercakap meskipun ditanya pelbagai soalan oleh penduduk," jelasnya. Difahamkan, kewujudan lelaki yang dipercayai tidak menetap di kawasan itu disedari awal pagi ini. Dia dilihat sedang berbogel di belukar terbabit namun tindakannya ketika itu tidak diambil peduli oleh penduduk. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan akan membuat siasatan lanjut. "Kami masih menyiasat motif suspek dan kami percaya dia adalah pekerja kontrak di kawasan berhampiran," katanya. Dalam perkembangan sama, Penasihat Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tuan Asmawi Tuan Umar ketika dihubungi Mingguan Malaysia mengakui, wujudnya amalan ilmu hitam dalam masyarakat di negara ini. "Dalam kes ini, saya tidak menolak lelaki terbabit itu pengamal ilmu hitam kerana jika dia adalah seorang pesakit mental, tentu tidak akan terus melarikan diri jika ternampak suami wanita itu. "Ketika itu, dia mungkin dipengaruhi 'ilmu' yang dituntut menerusi kerjasama dengan jin atau syaitan, terutama sekali apabila menjadikan wanita sebagai sasaran," ujarnya. |
Nampak anak dihempap motosikal - Saksi Posted: Nampak anak dihempap motosikal - SaksiAskar Thailand bersama anggota bomba membersihkan serpihan bom di kawasan yang terkena bom di Sungai Golok, semalam. - MINGGUAN/AIZZUL A.MAJID SUNGAI GOLOK, Selatan Thailand 17 Sept. - "Saya nampak anak saya dihempap motosikal dan berlumuran darah di celah kepulan asap." Itu cerita sedih seorang lelaki, Wong Wai Siong, 33, yang menyaksikan anaknya, Wong Kai Sean, 3, maut dalam letupan bom di Jalan Charoen Khet di bandar ini lewat petang semalam. Ketika kejadian, Wai Siong dan isterinya, Ang Ya Rat, 35, bersama anak bongsu mereka yang berusia setahun sedang membeli-belah di kawasan tersebut manakala Kai Sean bersama datuknya, Wong Hong Yep, 64, berada di luar kedai. Mereka sekeluarga tiba di bandar itu kira-kira pukul 6 petang dan berjalan kaki untuk ke kawasan deretan kedai yang menjual pelbagai barangan. "Ketika kejadian, saya berada berhampiran Hotel Merlin dan sedang membayar wang selepas membeli barangan sebelum terdengar bunyi letupan yang sangat kuat. "Bapa saya, Hong Yep dan anak sulung saya, Kai Sean terus keluar dari kedai untuk melihat apa yang berlaku. Bagaimanapun, beberapa minit selepas itu, saya dengar letupan kedua yang lebih kuat berhampiran dengan medan selera, ketika itu saya mula teringat kedua-dua mereka. "Saya meredah kepulan asap pada di kawasan letupan kedua itu dan nampak anak saya berada di bawah motosikal dengan darah yang penuh di kepala manakala bapa saya sudah rebah dengan kecederaan di kepala dan leher," katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Golok di sini, hari ini. Wai Siong yang bekerja sebagai mekanik di Jalan Hamzah, Kota Bharu berkata, dia cedera di kaki kiri akibat terkena serpihan bom manakala isteri dan anak bongsunya berusia setahun tidak mengalami kecederaan kerana berada di dalam kedai ketika kejadian. Sementara itu, abang kepada seorang lagi mangsa yang maut, Foong Too Meng, 55, berkata, adiknya Foo Keah bersama rakan dan seorang lagi adiknya tiba di Sungai Golok kira-kira pukul 5 petang kelmarin. Menurutnya, ketiga-tiga mereka ke bandar tersebut untuk menghabiskan cuti hujung minggu membeli-belah di kawasan tersebut. "Menurut rakan adik saya, mereka baru mendaftar masuk di sebuah hotel, selepas itu keluar minum di sebuah kedai berhampiran. "Selepas terdengar bunyi letupan, mereka keluar untuk melihat keadaan tersebut bagaimanapun ketika mahu masuk semula ke dalam kedai itu sebuah motosikal yang berada berdekatan meletup," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan