Ahad, 18 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Politik 'sapi' pembangkang

Posted:

Politik 'sapi' pembangkang

Politik 'sapi' pembangkang

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

SEPERTI diduga, pakatan pembangkang 'tumpang semangkuk' apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka mendakwa, langkah Najib yang dianggap berani itu adalah hasil desakan dan perjuangan mereka, ada pula anggap ia gimik pilihan raya manakala Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ia langkah terdesak kerajaan Barisan Nasional (BN).

Demikianlah sikap pembangkang, apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan semuanya tidak betul, biar pun langkah mengkaji semula akta itu hakikatnya sudah dijanjikan oleh Najib dua tahun lalu.

Tetapi pembangkang peduli apa dengan fakta itu, mereka dulu, kini dan selamanya ingin mengamalkan sindrom 'lembu punya susu sapi dapat nama'.

Adalah sesuatu yang malang apabila pembangkang terus mahu berpolitik tanpa berhasrat mempertimbangkan keikhlasan Perdana Menteri dan kerajaan dalam melakukan transformasi dalam pelbagai bidang di negara ini.

Bagi pembangkang, mereka bimbang jika langkah kerajaan BN itu akan disokong dan disukai oleh rakyat ia merupakan bencana untuk mereka.

Ini kerana dalam pemikiran mereka tidak ada benda lain selain mahu merampas tampuk pemerintahan negara dengan cara memburuk-burukkan BN.

Mereka mahu menafikan fakta bahawa langkah yang dilakukan kerajaan bukanlah kerana tekanan mana-mana pihak sebaliknya berasaskan kepada perkembangan semasa dan merasakan sampai masanya sesuatu akta itu dikaji semula.

Sebab itulah Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan, "Langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah.

"Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada inisiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif."

'Secara tertib dan berhemah' itulah pendekatan kerajaan BN sejak dulu lagi dan bukannya seperti pembangkang yang sejak 1998 sering menjadikan demonstrasi jalanan sebagai medan untuk mereka mengemukakan tuntutan dan melakukan perubahan.

Oleh itu tidak perlulah pembangkang terlalu terdesak mahu mencari nama dengan menganggap apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan adalah hasil usaha mereka sedangkan sejak 1998, rakyat amat memahami bahawa pembangkang di negara ini tidak lagi rasional dalam berpolitik.

Mereka tidak lagi bertindak sebagai pihak yang berfungsi sebagai check and balance kepada perjalanan pemerintahan negara, sebaliknya hanya tahu mencari ruang bagi kepentingan politik merebut kekuasaan sahaja.

Sebelum rakyat terpedaya dengan apa yang diperkatakan oleh pembangkang dalam pemansuhan ISA itu, mereka perlu mengimbas kembali janji Najib sebaik sahaja diberi amanah memimpin negara dua tahun lalu.

Ketika itu Najib berjanji akan mengkaji akta berkenaan dan sebagai pemimpin yang berpegang kepada janji dan bukannya menabur janji kosong, Perdana Menteri menjadikan pemansuhan tersebut sebagai 'hadiah' sambutan hari kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Dan jelaslah ia bukanlah satu langkah untuk mengejar populariti atau tunduk dengan tekanan pembangkang, sebaliknya ia dilakukan selepas kajian mendalam dijalankan oleh pelbagai pihak.

Kalau kerajaan BN takut dengan tekanan pembangkang sudah pasti awal-awal lagi Najib mengambil tindakan drastik memansuhkan akta berkenaan.

Tetapi Najib tidak berbuat demikian kerana seperti mana kata beliau, ''Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupa bentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang.''

Justeru segala tindakan dilakukan secara berhati-hati bukannya seperti pembangkang yang berjanji macam-macam semata-mata untuk meraih undi tetapi apabila diberi kuasa mula kelam-kabut tidak mampu menunaikan apa yang dijanjikan.

Kalau pun pembangkang hendak amalkan 'politik sapi', cermin-cerminlah dulu apa yang berlaku di negeri di bawah pemerintahan mereka.

Sampaikan sekarang pun tidak ada satu perkara pun yang boleh dicontohi atau dilihat boleh menyamai keupayaan BN memerintah negeri-negeri berkenaan.

Oleh itu tidak payahlah setiap pengumuman yang dilakukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara semuanya pembangkang mahu tumpang sekaki.

Tidak pernah ada satu pun langkah kerajaan BN akan disambut baik dan penuh keikhlasan oleh pembangkang, semuanya pasti diselitkan dengan ''itu semua hasil desakan dan permintaan kita.''

Soalnya, tak kanlah kerajaan BN begitu lemah atau takut sehinggakan apa pun hendak dilakukan harus berpandu apa yang dimahukan oleh pembangkang?

Kalau mahu mengikut apa kehendak pembangkang sudah lama negara ini menjadi huru-hara kerana mereka kelompok yang sering melanggar undang-undang dan bersedia mengadaikan segala-galanya demi merebut kuasa politik.

Malahan jika kerajaan BN mengikut rentak politik pembangkang yang semata-mata mencari populariti untuk meraih undi, sudah lama negara ini terjejas dalam segala bidang.

Apa pun tindakan kerajaan segala-galanya dilakukan berdasarkan pertimbangan yang rasional dan memikirkan secara mendalam kesannya kepada rakyat serta negara.

Kalaulah sesebuah negara ditadbir berasaskan mencari populariti dan meraih undi sudah lama Malaysia menjadi kucar-kacir dan tidak mencapai apa-apa kemajuan.

Oleh itu rakyat tidak perlulah terpengaruh dengan dakyah-dakyah serta 'politik sapi' pembangkang ini, sebaliknya teruslah memberikan keyakinan kepada kerajaan BN di bawah kepimpinan Najib untuk menguruskan negara.

Biarlah pembangkang terus dengan mainan politik mereka sehinggakan fakta sejarah pun mahu diubah.

Apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan usaha transformasi politik, ekonomi dan sosial yang dirancang oleh Perdana Menteri mencapai matlamat.

Rakyat perlu diberikan pemahaman mengenai usaha kerajaan itu dan tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang mahu terus berpolitik dalam apa juga perkara hatta soal keselamatan negara sekali pun.

Lagi pun, percayalah selagi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak berakhir, selagi itulah pembangkang akan terus dengan sikap hipokrit, sombong, bongkak dan tunjuk pandai mereka.

Cakap jangan sebarang cakap... buruk padahnya

Posted:

Cakap jangan sebarang cakap... buruk padahnya

Cakap jangan sebarang cakap... buruk padahnya

Hassan Mohd. Noor

SELASA lalu, UMNO Pulau Pinang mengumumkan mahu menyaman Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebanyak RM30 juta kerana didakwa menuduh UMNO mendalangi demonstrasi di Komtar dan terlibat membakar pejabat DAP di Pulau Pinang. Keesokannya, UMNO Selangor pula menyaman Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali dan lima lagi bagi menuntut ganti rugi RM10 juta setiap seorang kerana didakwa memfitnah parti itu dalam artikel bertajuk Pas akan dedah bukti, UMNO main peranan operasi JAIS yang disiarkan oleh akhbar Harakah pada Ogos lalu. Jarang sekali UMNO mengambil tindakan sedemikian.

Sebelum ini setiap tuduhan dan dakwaan dijawab balik sama ada melalui pentas politik atau media. Memang benar kata Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman, kesabaran ada tahapnya. Beliau antara lain berkata: ''UMNO Pulau Pinang sudah cukup bersabar dengan tingkah laku dan keceluparan Guan Eng… kini kita rasa dia telah melampaui batas".

Dulu perkara seumpama ini juga wujud tetapi ia lebih dianggap sebagai asam garam politik. Tidak ada laporan polis atau saman. Mungkin dulu pemimpin lebih bersikap terbuka dan tidak peduli semua itu. Contohnya bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad. Penghinaan apa yang tidak diterimanya. Pelbagai gelaran buruk, fitnah dan tohmahan dilemparkan dalam bentuk karikatur, buku, penulisan, ceramah dan sebagainya. Beliau hanya membiarkan semua keceluparan dan kebiadaban itu. Ketika ini setiap hari fitnah, dakwaan, tohmahan tidak berasas berlegar melalui pelbagai sumber. Bagi orang Islam, fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh. Guan Eng pun tahu hal ini dan bercakap mengenainya ketika mempertahankan 'saudaranya' Mohamad Sabu @ Mat Sabu dalam isu caj rawatan perubatan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd.

Untuk mencapai matlamat politik, kebanyakan orang tidak peduli lagi sama ada ucapan atau kata-kata mereka itu fitnah, bohong atau dakwaan. Dunia politik kita menjadi kelam kabut dengan sikap seperti ini. Mereka tidak lagi bercakap soal pembangunan atau kepentingan rakyat tetapi lebih suka 'menyerang' peribadi individu, parti atau kerajaan. Semua yang dilakukan oleh pemerintah dianggap 'tidak betul'. Perkara yang palsu diolah bagaikan benar-benar wujud bagi mempengaruhi orang ramai mempercayainya.

Melalui blog, facebook, twitter, sms dan sebagainya, pelbagai fitnah boleh disebarkan dalam masa yang singkat. Tanpa usul periksa 'pendedahan' itu tersebar luas. Begitu juga dengan video ucapan yang tersebar melalui YouTube.

Ada juga yang sering mengeluarkan kenyataan seolah-olah 'lupa diri'. Mereka mengutuk dan memperlekehkan individu atau organisasi tertentu melalui twitter atau facebook. Tetapi apabila sudah sedar tersilap, orang atau organisasi yang dituduh sudah terasa serta mengambil tindakan secara tidak langsung, maka ia cepat-cepat memohon maaf.

Namun ada yang seperti muka papan,muka pot,muka tembok atau muka tebal. Mereka tidak tahu malu atau bersalah. Malahan ada yang masih mengharapkan sesuatu daripada individu atau organisasi yang 'dibelasah dan diperlekehkan'. Dalam dunia media juga berlaku. Laporan yang tepat didakwa putar belit atau tersalah lapor setelah kenyataannya mendapat 'reaksi berbisa' daripada pihak tertentu. Tidak dinafikan ada ketikanya media tersalah lapor atau tersilap cetak dan ini memberi peluang kepada pihak berkenaan mengambil tindakan undang-undang. Hari ini tiada maaf bagi mu. Setiap apa yang disiarkan di media cetak dan elektronik akan dianalisis untuk mencari silap. Media sudah tidak bebas lag?

Menyiarkan pandangan atau kritikan pihak tertentu hari ini mempunyai risiko yang tinggi dan pengamal media terpaksa berhati-hati. Suasana hari ini sebenarnya sudah berubah. Dulu kita bebas memberi pandangan, kritikan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui penulisan kreatif, rencana, analisis atau karikatur.

Tetapi hari ini, jika tersilap langkah ia akan dianggap memfitnah atau menghina. Media massa sama ada cetak dan elektronik terasa tempiasnya. Banyak sangat yang cepat terasa seperti kata orang siapa makan cili akan terasa pedasnya.

Justeru, memang benarlah ingatan dan pesanan orang lama – Cakap jangan sebarang cakap; Cakap berlapik; cakap besar; Cakap siang pandang-pandang,cakap malam dengar-dengar. Begitu juga Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik atau Terlepas perahu boleh diundur, terlepas kata emas padahnya.

Begitulah pesan orang dulu yang disampaikan dalam bentuk kiasan. Bagi media pula jangan tersilap tulis. Hari ini, tersilap cakap atau tersilap tulis buruk padahnya. Pada era ini, segala tindakan dan percakapan kita belum tentu selamat. Dulu hanya yang hadir majlis tahu apa yang berlaku tetapi hari ini seluruh dunia boleh tahu.

Menyelak kembali kisah masa lalu, dulu ketika mengikuti ceramah Mat Sabu di kampung, yang hadir bukan setakat orang Pas tetapi juga orang UMNO. Maklumlah ketika itu masa lapang waktu malam tidak banyak aktiviti boleh dilakukan, maka pilihannya menghadiri ceramah Pas yang memang juara ceramah.

Tetapi disebabkan dilabel sebagai orang UMNO, maka mereka ini 'mencuri' dengar ceramah Mat Sabu dari jauh, bukannya bersama orang Pas di depan, di bawah cahaya mentol 60watt. Mat Sabu pun tahu kehadiran orang UMNO. Kalau tak silap lebih kurang begini kata Mat Sabu: ''Tu di balik pokok pisang dalam gelap pun ada orang UMNO dok dengaq (dengar)''.

Dulu, selepas ceramah ada kaset ucapan dijual untuk didengar oleh mereka yang tidak hadir. Hari ini, tidak perlu bersembunyi di sebalik pokok pisang atau mencari kaset ucapan. Kalau malam ini, Mat Sabu berceramah di Tasek Gelugor, keesokan malamnya satu dunia dapat saksi dan dengar ceramah itu.

Hampir setiap rumah yang ada Internet boleh melihat dan mendengar ucapan itu walaupun tidak sepenuhnya. Begitulah kemajuan teknologi yang ada. Malahan perbualan sulit melalui telefon pun sudah tidak selamat. Jika dulu kita boleh merapu dan merepek dalam ceramah tetapi hari ini harus berhati-hati. Jangan tersilap fakta.

Bukalah Internet dan di sana banyak sumber yang menceritakan pelbagai peristiwa melalui teks, gambar atau video. Di situ ada manusia yang mempersenda Negaraku dan Jalur Gemilang, menghina Perlembagaan, Raja Melayu, pemimpin, anggota pasukan keselamatan dan bermacam lagi. Dari situ juga lahirlah ribuan atau ratusan laporan polis yang mahu pihak berkuasa ber tindak. Mereka menggesa pihak berkuasa menggunakan pelbagai akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tetapi sejauh mana tindakan itu diambil atau semua laporan itu bagai angin lalu? Namun sekurang-kurangnya dengan penghapusan ISA, ramai yang disarankan supaya dikenakan tindakan ISA kini boleh menarik nafas lega.

Pada masa yang sama diharapkan penghapusan ISA tidak membuka ruang lebih luas kepada rakyat Malaysia melakukan sesuatu dengan 'bebas' lebih-lebih lagi melibatkan Perlembagaan Negara termasuk berkaitan hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam, institusi Raja Melayu, dan juga keselamatan negara. Semoga Malaysia terus aman dan makmur.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved