Utusan Online - Timur |
- Peka Yatim lahir penghafaz al-Quran
- Terengganu laksana projek kelapa
- Kafe Murtabak Raja Pizza Vitato jadi tarikan
Peka Yatim lahir penghafaz al-Quran Posted: Peka Yatim lahir penghafaz al-QuranOleh ASMA HANIM MAHMOOD
KOTA BHARU 4 Ogos - 'Menjadi pusat penyebaran ilmu di tengah masyarakat'. Itulah hasrat Allahyarham Nik Abdul Rahman Nik Taib, pengasas Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Peka Yatim) yang mahukan rumah perlindungan anak yatimnya bukan sekadar sebagai tempat menumpang teduh tetapi pusat lahirnya penghafaz al-Quran. Allahyarham yang merupakan kontraktor dan pemaju tersohor di negeri ini serta pernah memimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat negeri dan kebangsaan adalah dermawan yang sanggup mengasas serta membiayai perjalanan Peka Yatim sejak ia beroperasi lebih 17 tahun lalu. Asrama Peka Yatim yang terletak di Taman Desa Rahmat, Jalan Guchil Bayam, kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar Kota Bharu, mula beroperasi sejak 1994 sebelum didaftarkan secara rasmi pada 1996. Pengetua Peka Yatim, Ahmad Hilmy Ahmad, 39, berkata, asrama yang juga pusat pengajian tahfiz al-Quran itu boleh menempatkan hingga 30 penghuni pada satu-satu masa dan kini ia didiami seramai 23 pelajar lelaki berusia antara 10 dan 18 tahun. Beliau berkata, Peka Yatim agak istimewa kerana menjadi satu-satunya daripada 49 buah rumah anak yatim yang bergabung dalam Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) yang menawarkan pengajian tahfiz. Katanya, tiada syarat tertentu ditetapkan tetapi anak-anak yatim yang datang ke Peka Yatim mestilah benar-benar ikhlas dan mahu belajar menjadi seorang hafiz al-Quran. "Kami menerima pelajar lelaki semuda usia 10 tahun dan tiada had umur kepada sesiapa sahaja yang ingin menuntut ilmu pengajian al-Quran di sini. Di sinilah tempatnya mereka akan tinggal dan belajar setiap hari mendalami ilmu al-Quran dan menghafaz sehingga dapat bergelar seorang hafiz. "Tidak dinafikan ada juga yang 'lari' keluar selepas duduk seketika di sini, biasanya mereka ini yang dipaksa keluarga untuk datang namun, setakat ini kami sudah berjaya melahirkan 38 orang hafiz yang kini bertebaran sebagai pendakwah di seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Ahmad Hilmy yang menjadi tenaga penggerak Peka Yatim sejak dari awal berkata, Allahyarham Nik Abdul Rahman yang meninggal dunia tiga tahun lalu pada usia 50 tahun mahukan Taman Desa Rahmat mempunyai sebuah pusat ilmu yang dapat 'memberi semula'. "Allahyarham mahukan pembeli rumah di taman perumahan yang dimajukannya ini bukan hanya mendapat keuntungan fizikal dengan kediaman yang dibeli tetapi turut memperoleh kelebihan lain yang boleh mendidik jiwa mereka dan anak-anak. "Atas dasar itulah dia mencari tenaga penggerak dan sukarelawan yang dapat membantunya menjalankan pusat tahfiz khusus untuk anak yatim yang dalam masa sama memberi khidmat pada masyarakat," katanya. Pelbagai program disediakan di Peka Yatim seperti Kelas Celik Al-Quran, Kelas Tahfiz Al- Quran dan Kelas Fardhu Ain di samping pembelajaran komputer, khemah ibadah, kem motivasi dan lawatan sambil belajar. Asrama Peka Yatim yang didirikan berhadapan Masjid Taman Desa Rahmat terdiri daripada blok bangunan enam pintu yang terletak dalam kawasan kira-kira 0.17 hektar yang mengandungi dewan tempat belajar, pejabat, asrama dan penginapan guru. Ahmad Hilmy berkata, selain beliau, terdapat tiga lagi tenaga pengajar dan tiga sukarelawan yang membantu menguruskan keperluan anak-anak yatim di situ. Katanya, walaupun pelajarnya tidak bersekolah di sekolah harian mereka diasuh mengikut jadual yang ditetapkan setiap hari bermula waktu Subuh sehinggalah waktu tidur pada pukul 10.30 malam. Selain waktu Maghrib dan Subuh yang tempohnya agak singkat, mereka dikehendaki solat Zuhur berjemaah pada pukul 2.00 petang, Asar pada pukul 5.00 petang dan Isyak pada pukul 9.00 malam bagi mendisiplinkan mereka mengikut jadual sama setiap hari. "Pada siang hari, pelajar di sini mengikuti kelas pembacaan kitab yang merangkumi tajuk-tajuk dalam pengajian Islam dan al-Quran seperti Feqah, Adab, Nahu, Tajwid, Khat, Jawi dan lain-lain. "Mereka akan berhenti rehat pada waktu tengahari untuk makan dan tidur sebentar sebelum Zuhur atau istilahnya 'Qailulah' untuk kecergasan jasmani dan minda sebelum menyambung pengajian sebelah petang. "Manakala pada malam, mereka akan menumpukan kepada hafazan semuka helaian al-Quran selepas waktu Isyak sehingga sebelum tidur dan akan diuji pada kelas tasmi' selepas Subuh keesokannya," katanya. Bagaimanapun, Ahmad Hilmy berkata, tidak kira sama ada yang sudah mengenal al-Quran ataupun tidak tahu langsung, pelajar akan dikehendaki mengikuti kelas bacaan atau 'naziran' dan belajar hukum tajwid terlebih dahulu dan lulus ujian sebelum dibenarkan memulakan proses hafazan. "Secara lazimnya sebuah pusat tahfiz menetapkan pelajar menghafal tujuh juzuk al-Quran pada tahun pertama, 10 juzuk di tahun kedua dan selebihnya iaitu 13 juzuk lagi pada tahun ketiga. "Namun di Peka Yatim kita tidak memaksa pelajar menghafal dalam tempoh tiga tahun. Setiap mereka punyai keupayaan berbeza, mereka boleh berada di sini selama mana perlu dan keluar setelah benar-benar bersedia," katanya. Menurutnya, untuk proses pengesahan atau 'syahadah', ustaz dari luar akan dijemput menguji pelajar yang tamat 30 juzuk hafazan al-Quran dalam satu ujian khas yang diadakan dari semasa ke semasa. Beliau berkata, pelajar yang tamat hafazan akan menyambung pengajian mereka di sekolah menengah agama bantuan kerajaan untuk mengambil Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Katanya, beberapa orang pelajar hafiz Peka Yatim sedang melanjutkan pelajaran mereka di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan juga pusat pengajian luar negara seperti Syria dan Mesir. Ahmad Hilmy berkata, antara pencapaian lain pelajar Peka Yatim adalah beberapa kali menjadi johan kategori tilawah pada Majlis Tilawah Al-Quran dan Nasyid Peyatim Peringkat Kebangsaan pada 2005, 2006 dan 2007 sementara pada tahun ini pula mereka meneruskan kecemerlangan dengan menjuarai kategori hafazan menerusi pelajarnya, Mohd Amirul Abdul Rashid, 18. Setelah kematian pengasasnya, asrama Peka Yatim kini beroperasi dengan dana dari bantuan orang ramai dan peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada setiap tahun. Ahmad Hilmy berkata, dermawan yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menghubungi pihaknya di nombor 09 764 2780 atau 019 933 9143 atau menyalurkan terus ke akaun Bank Muamalat 03010001578718 (Peka Yatim) atau Maybank 153104 062346 (Ahmad Hilmy Ahmad). Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Terengganu laksana projek kelapa Posted: Terengganu laksana projek kelapaSETIU 4 Ogos - Kerajaan Terengganu akan melaksanakan projek penanaman kelapa mantaq dan kelapa pandan melibatkan kawasan seluas 200 hektar di Kampung Kubang Puyu di sini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Asha'ari Idris berkata, projek penanaman 26,000 batang pokok itu disertai 25 peserta dan akan dijalankan secara berperingkat bermula akhir tahun ini. "Fasa pertama tanaman itu seluas kira-kira 100 hektar akan bermula akhir tahun ini manakala selebihnya akan ditanam tahun depan," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Asha'ari berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1 juta untuk kerja-kerja membersih kawasan dan menyediakan kemudahan asas bagi projek tersebut. Beliau berkata, pemilihan kelapa mantaq adalah untuk penghasilan santan kerana isinya tebal, manakala kelapa pandan pula untuk pasaran air kelapa muda. Katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan industri asas tani bagi mendapatkan benih kelapa mantaq memandangkan benih tanaman itu dikawal kementerian berkenaan. "Benih kelapa pandan tidak menjadi masalah, kita boleh dapat di mana-mana sahaja untuk menjayakan projek ini," katanya. Asha"ari berkata, kelapa mantaq mahupun kelapa pandan biasanya akan mengeluarkan hasil dalam masa tiga tahun selepas ditanam. Beliau berharap pelaksanaan projek itu akan sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah kekurangan kelapa di Terengganu, terutamanya pada musim-musim perayaan selain mengatasi masalah kemiskinan di daerah itu. - BERNAMA | ||
Kafe Murtabak Raja Pizza Vitato jadi tarikan Posted: Kafe Murtabak Raja Pizza Vitato jadi tarikan
KOTA BHARU 4 Ogos - Sejak beroperasi tiga bulan lalu, kafe berwarna merah putih yang diberi nama Kafe Murtabak Raja Pizza Vitato di Jalan Pasir Puteh di sini semakin dikenali ramai dan telah berjaya menjual hampir 3,000 pek murtabak. Ia merupakan kafe francais pertama Muslim Best Food Industries Sdn. Bhd., bagi memasarkan secara langsung pelbagai produk keluaran syarikat milik bumiputera itu. Pengurus Stokis Negeri Muslim Best Food Industries Sdn. Bhd., Nurul Azna Mohamed yang juga pemilik D'Azna Trading berkata, beliau mengambil keputusan untuk membuka kafe itu kerana yakin dengan jenama Muslim Best yang semakin kukuh di pasaran sejak lebih 10 tahun lalu. "Sambutan tiga bulan pertama ini amat menggalakkan kerana sejak dibuka sekitar 10 pagi, pelanggan sentiasa ada dan masa perniagaan biasanya sekitar 10 malam kini dilanjutkan pukul 1 pagi sejak Ramadan," katanya ketika ditemui di kafenya di sini semalam. Menurut beliau, kebanyakan pelanggan tetap kafenya ialah kakitangan kerajaan, swasta dan individu dari luar Kelantan yang bekerja di sini. "Pelanggan selalunya mendapat maklumat daripada akhbar atau laman sosial Facebook, akan terus mendapatkan produk Muslim Best terutama murtabak raja di sini. Pada bulan puasa ini, rata-rata membelinya untuk dijadikan juadah berbuka," katanya. Lebih istimewa ujar Nurul Azna murtabak raja yang pernah menjadi sajian istana dan salah satu makanan paling dekat dengan masyarakat, turut menjadi pilihan sebagai buah tangan terutama di kalangan pelancong. Katanya, keistimewaan murtabak raja Muslim Best antaranya ditawarkan dalam pelbagai rasa iaitu lada hitam, sardin bersos salsa nanas dan kari ayam rempah ratus tradisional dengan inti 100 peratus bahan tempatan. "Saiznya pula lebih tebal, besar dan padat serta memerlukan masa lima minit sahaja untuk dibakar dalam alat pembakar selepas dinyah beku. Murtabak ini mampu bertahan selama 12 jam dalam suhu biasa dan tiga bulan jika disimpan dalam ruang biasa peti sejuk," katanya. Selain murtabak raja, Muslim Best turut mengedarkan produk lain yang turut mendapat sambutan ramai antaranya karipap, popia cendawan keju, samosa coklat pisang, pelbagai jenis sos dan pencecah. Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 012-9088700 atau di laman facebook atas nama Nurul Ainn bagi mendapatkan produk keluaran Muslim Best. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan