Jumaat, 5 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Unisel mangsa perebutan politik

Posted:

Unisel mangsa perebutan politik

Unisel mangsa perebutan politik

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

Desas-desus mengenai kedudukan Dr. Rosti Saruwono sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) yang kedengaran sejak hujung minggu lalu akhirnya benar-benar terjadi apabila beliau penuh nekad meletakkan jawatan itu berkuat kuasa Rabu lalu dengan notis 24 jam!

Seperti tindakan Kamikaze, keputusan yang dibuat oleh Rosti itu jarang berlaku. Tindakan itu benar-benar memaparkan sikap seorang ketua yang bertanggungjawab ke atas pegawai bawahannya. Beliau tidak sanggup melucutkan jawatan tiga pegawai kanan universiti milik Kerajaan Negeri Selangor itu tanpa mengikut prosedur.

Namun, oleh kerana arahan melucutkan jawatan pegawai tersebut datangnya daripada kuasa seorang Menteri Besar, maka jalan terbaik adalah beliau melepaskan jawatan Naib Canselor Unisel secara sukarela.

Ternyata kemelut yang melanda Unisel yang berjaya dihidu sejak kerajaan negeri mengambil langkah menjenamakan semula universiti daripada nama asal Universiti Industri Selangor. Peletakan jawatan Rosti menyaksikan kemelut itu ibarat 'bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru' lagi.

Apakah yang tidak kena dengan Rosti sebenarnya? Sedangkan pelantikannya dibuat sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Rosti yang berasal dari Klang itu dipelawa pulang ke Selangor untuk melakukan tugas 'khidmat negara' dan beliau bersetuju menyahut seruan murni itu.

Abdul Khalid melihat pengalaman Rosti yang pernah menjadi Rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebagai aset penting untuk memajukan lagi Unisel.

Namun, apa yang menghairankan mengapa Menteri Besar tidak bersikap mempertahankan Rosti sebagaimana beliau begitu hebat mempertahankan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki membabitkan masalah pengurusan kewangan yayasan itu.

Ihlam adalah orang pilihan Menteri Besar. Beliau dipanggil pulang ke tanah air untuk menerajui Yayasan Selangor meskipun panel pemilihan mencadangkan orang lain menerajui agensi pendidikan itu.

Berbeza dengan Rosti, Menteri Besar sedia maklum bahawa tekanan yang dihadapi bekas Naib Canselor Unisel itu adalah akibat politik dalaman yang ada unsur politik kepartian apabila terdapat usaha terancang peringkat tertinggi untuk menyingkirkan beliau sejak Januari lagi.

Faktor sentimen politik dan kem peringkat atasan kelihatan lebih dominan untuk membuatkan Rosti meletakkan jawatan meskipun dalam keadaan beliau dikatakan mendapat kepercayaan warga kampus termasuk lima daripada tujuh orang dekan di Unisel.

Abdul Khalid juga sedia maklum tentang kemelut itu lebih awal dan mungkin telah menyaksikan betapa serabutnya perbalahan di kalangan manusia akademik di Unisel itu.

Beliau telah menubuhkan pasukan petugas khas yang dianggotai oleh tiga ahli lembaga pengarah Unisel sendiri.

Namun ia gagal diselesaikan, sebaliknya membiarkan kemelut itu berlarutan sekali gus memberikan tekanan kepada Rosti yang akhirnya terpaksa meletakkan jawatan Naib Canselor.

Difahamkan berlaku perebutan politik di Unisel apabila Pas dikatakan cuba memasukkan elemen pengaruhnya dalam pentadbiran universiti itu. Apatah lagi Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dipegang oleh Dr. Halimah Ali dari Pas.

Menteri Besar dikatakan asyik ditekan agar mengambil tindakan ke atas Rosti. Pelbagai alasan dikeluarkan termasuk menimbulkan pelbagai kelemahan beliau. Namun apa yang ketara ialah soal politik dijadikan alasan utama mengapa Naib Canselor perlu diganti.

Sepatutnya masalah harus diselesaikan di peringkat dalaman seperti Lembaga Pengurusan Unisel dan bukannya bertindak sehingga peringkat membawa dakwaan-dakwaan tertentu membabitkan kontrak-kontrak telekomunikasi hingga ke peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gerakan terancang pengurusan atasan Unisel antaranya menimbulkan persoalan mendakwa Rosti lebih mengutamakan Putrajaya berbanding Selangor. Beliau dituduh tidak menghayati dan tidak menyokong perjuangan kerajaan pakatan pembangkang antaranya dikatakan tidak tunjuk muka semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Sedangkan apakah kaitan seorang Naib Canselor untuk turun berkempen pada pilihan raya kecil itu. Selama ini parti pembangkang sering mengkritik Barisan Nasional jika terdapat jentera kerajaan digunakan semasa kempen.

Kem parti pembangkang dalam Unisel juga tidak puas hati apabila Rosti tidak hadir ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke Unisel.

Beliau juga dikritik apabila dikatakan tidak selesa dengan kehadiran Penasihat Ekonomi Selangor itu dalam wacana 'Pendita Za'aba' di universiti itu.

Ketika program itulah Anwar tanpa segan silu menyatakan Unisel adalah satu-satunya universiti yang membenarkan beliau masuk. Sesi wacana tersebut telah diambil kesempatan oleh Anwar untuk menggunakan pemikiran kritikal Za'aba bagi menghentam kerajaan.

Rosti juga dikritik kerana dikatakan tidak membenarkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan untuk berceramah di Unisel atas jemputan persatuan pelajar universiti tersebut.

Dan yang terbaru apabila Rosti tidak memberikan kerjasama program politik melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Difahamkan masalah pengaruh parti politik itu telah dibawa kepada pengetahuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda dikatakan murka dengan keadaan tersebut.

Menteri Besar sepatutnya mengingati kembali titah Sultan Selangor semasa majlis penyampaian watikah pelantikan Tan Sri Raja Arshad Tun Uda sebagai Canselor Unisel yang baru pada Mac lalu yang mengingatkan agar Unisel tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan politik kepartian.

Ini kerana ia akan menjejaskan kepercayaan pelbagai pihak terhadap universiti tersebut. Selain itu Abdul Khalid perlu ingat tindakan Dr. Halimah mengumumkan pelantikan Raja Arshad lebih awal mendahului Sultan Selangor telah mencalarkan imej pentadbiran kerajaan negeri.

Jadi jangan biarkan elemen politik terus merebak dan menghancurkan prestasi Unisel untuk menjadi insitusi premier di negara ini. Pengurusan tertinggi Unisel wajar dibersihkan daripada campur tangan individu-individu yang cuba menanam pengaruh politik masing-masing.

Antara usaha terpenting sekarang adalah menyelesaikan masalah penurunan kemasukan pelajar baru seperti Fakulti Perniagaan yang dikatakan mengalami penurunan mendadak dari 5,000 kepada 2,600 pelajar sedangkan fakulti lain menunjukkan pertambahan.

Pada masa sama, kepimpinan tertinggi Unisel perlu menjalankan fungsinya dengan baik untuk kemajuan pendidikan dan pelajaran anak bangsa, selain mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan oleh pihak berwajib, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Retorik besar slogan 'Selangorku'

Posted:

Retorik besar slogan 'Selangorku'

Retorik besar slogan 'Selangorku'

Oleh Zulkifli Jalil

ALAHAI! Selangor...Selangor.
Benarkah kata orang luar yang baru tiba di Selangor, negeri itu tidak lagi seperti sebelum Mac 2008. Ia kini bergentayangan dengan sepanduk-sepanduk dan kain rentang slogan yang macam-macam. Terbaru - slogan retorik 'Selangorku'.

Janji lama tidak tertunai, kini timbul pula janji baru. Pelancaran slogan baru 'Selangorku' pada Ahad 24 Julai lalu di Stadium Malawati Shah Alam persis siri ceramah biasa pakatan pembangkang.

Ramai mengatakan bahawa slogan dilancarkan semata-mata untuk menyaingi gagasan 1Malaysia yang semakin tampak bisanya sehinggakan majlis pelancaran membongkar cerita yang tidak enak didengar.

Antaranya, wujud boikot daripada ketua-ketua jabatan dalam pentadbiran negeri yang bertindak tidak hadir pada majlis berkenaan dengan sebilangan kerusi yang disediakan untuk mereka kosong.

Jika sebelum ini pembangkang sering memperlekeh dan menguar-uarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memanipulasi program kerajaan negeri, rentak pakatan pembangkang di Selangor lagi dahsyat - memanggil ke program itu pemimpin yang tidak ada kaitan dengan pentadbiran negeri.

Antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dengan diselangi pula dengan kutukan dan hentaman terhadap kerajaan BN, meneriak dan bercerita pasal 'Bersih' - ibarat meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri.

Malahan, ibarat terdesak untuk memastikan program pelancaran 'Selangorku' dibanjiri ramai, kerajaan negeri diketuai Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sanggup pula mengedarkan 40,000 kupon percuma bernilai RM5 kepada pengunjung untuk membeli makanan dan minuman di gerai-gerai yang disediakan.

Di sebalik ini semua, kerajaan PKR Selangor sebenarnya kian merasai bahang longgarnya hubungan mereka dengan rakyat negeri itu. Sebab itu mereka mahu mencetuskan momentum baru. Tetapi sayangnya rakyat semakin jelak dengan 'wayang' yang dimainkan oleh para pemimpin pakatan pembangkang di Selangor ini.

Rakyat Selangor bukannya tidak mengerti ini semua, apatah lagi dengan rancangan terbaru dicetuskan oleh kerajaan negeri yang tampaknya umpama 'cakap tidak serupa bikin' dengan perincian logo 'Selangorku'.

Banyak janji dalam bidang pendidikan di Selangor tidak pernah tertunai. Malah, ia 'terhumban' lagi. Terbaru, tindakan tidak bijak kerajaan negeri itu melalui Yayasan Selangor menutup asrama mereka di ibu negara dan tindakan memindahkan asrama ke tempat lain.

Ia amat merugikan para pelajar luar bandar untuk mengikuti pengajian di kota metropolitan Kuala Lumpur. Tujuan asrama itu dibina adalah untuk menempatkan pelajar-pelajar luar bandar di sekolah-sekolah terbaik seperti Victoria Institution, Cochrane Kuala Lumpur, Aminuddin Baki dan St. John agar mereka terdedah dengan pembelajaran urban.

Objektif ini memang tersurat dalam penubuhan Yayasan Selangor pada 5 November 1970 lalu. Jika asrama ini ditutup, ia mestilah dicarikan ganti yang lebih baik daripada ini. Jika tidak, mereka menutup peluang pelajar-pelajar bumiputera untuk belajar di Kuala Lumpur.

Sememangnya rakyat cukup maklum dengan situasi tidak menyenangkan di Selangor dalam tempoh tiga tahun ini. Sejak PKR dan sekutunya, DAP memerintah Selangor, terdapat semacam satu usaha terancang pakatan dalam merencatkan pendidikan anak Melayu.

Dahulu, ketika Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hendak membina kampus UiTM di Serendah, ditolaknya oleh Abdul Khalid dengan pelbagai alasan. YBK dilanyak kiri dan kanan hanya kerana tidak mahu menuruti permintaan Abdul Khalid supaya melantik beliau sebagai bos.

Akhirnya rakyat Selangor rugi besar apabila kampus UiTM itu berpindah ke Melaka hasil tindakan pantas dan bijak Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Tahun lepas pula sekali lagi pakatan pembangkang menutup Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sungai Besar atas alasan tidak efisien. Sedangkan IKYS adalah penempatan yang diwujudkan untuk pelajar Melayu yang gagal dalam SPM tetapi berminat dalam kursus teknikal.

Tiga tahun, tiga pusat pendidikan anak Melayu ditutup. Universiti Industri Selangor (Unisel) pula sedang mengalami kerugian dan semakin terpinggir serta tidak lagi menjadi pilihan pelajar.

Adakah ini usaha terancang pakatan pembangkang PKR, Pas dan DAP untuk melanyak pendidikan anak Melayu? Kenapa Pas senyap? Mana perginya pejuang-pejuang 'pakatan rakyat' yang prihatin? Mana pergi ADUN-ADUN Pas yang heboh dengan 'Negeri Berkebajikan' yang dilaung-laungkan itu.

Rakyat Selangor bukannya buta. Rakyat Selangor sudah buka mata atas segala tindakan kerajaan negeri Selangor dalam bidang pendidikan. Justeru, agak melucukan pula apabila slogan 'Selangorku' dimunculkan oleh Abdul Khalid.

Kerana itu amat tepat dan kena pada masanya kini rakyat Selangor merenung sejenak janji-janji pakatan pembangkang atau Barisan Alternatif dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-12 tempoh hari.

Baru-baru ini dikatakan ada perjumpaan penduduk dengan Azmin Ali dan dibangkitkan penduduk tentang janji pakatan mahu memberi hadiah sebanyak RM1,000 seorang kepada setiap anak Selangor sebaik-baik sahaja menerima tawaran kemasukan ke mana-mana institusi pengajian tinggi.

Namun PKR cuba berdolak-dalik dengan menyatakan duit RM1,000 itu mahu diagihkan pula kepada keluarga miskin yang berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan.

Slogan terbaru 'Selangorku' hanyalah sekadar kain rentang yang dijaja di merata-rata dengan gambaran 'kehebatannya'. Sedangkan pengisian komponennya kosong belaka. Cukup-cukuplah berbohong kepada rakyat Selangor.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved