Utusan Online - Selatan |
- Simulasi tingkatkan mutu penyelamat
- 23 agensi teruji melalui Mehdex 2011
- Hanya 10% polis diberi cuti perayaan
Simulasi tingkatkan mutu penyelamat Posted: Simulasi tingkatkan mutu penyelamat Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM SIMULASI bencana yang diadakan berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, baru-baru ini bertujuan menilai kecekapan semua agensi penyelamat dalam menghadapi situasi kemalangan yang besar. MELAKA 4 Ogos - Kemalangan ngeri melibatkan dua buah bas pada 10 Oktober lalu di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat di sini yang meragut 13 nyawa telah menggemparkan negara. Bagaimanapun, pada 28 Julai lalu, masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan 'tragedi' kedua di negeri ini yang 'meragut' 11 nyawa. Dalam kejadian di Kilometer 210 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, di sini, sebuah lori tangki terbabas selepas tayarnya pecah sebelum merempuh sebuah bas yang sedang memotong. Ekoran rempuhan itu, bas yang membawa 40 pelajar sekolah yang bertolak dari Melaka Sentral itu gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Bas terbabit kemudiannya terbalik dan menghempap sebuah kereta yang sedang laju di lorong kanan. Lebih tragis apabila sebuah kereta yang mengekori rapat kereta yang dihempap bas itu turut gagal mengawal kenderaannya dan cuba mengelak namun gagal dan merempuh pembahagi jalan. Tidak lama selepas itu, sebuah lori yang sarat dengan muatan tong berisi asid tidak sempat memperlahankan kenderaan lalu melanggar bas yang terbalik itu menyebabkan beberapa tongnya tercampak keluar. Akibat mahu mengelak tong yang bergolek di atas jalan, sebuah van yang membawa beberapa penumpang telah terbabas dan merempuh cerun di sebelah kiri lebuh raya berkenaan. Dalam suasana kelam-kabut dan hujan lebat ketika itu, jeritan dan rintihan mangsa meminta tolong kedengaran silih berganti. Ada beberapa mangsa cuba untuk menyelamatkan diri di samping ada yang terbaring berlumuran darah. Lalu lintas di kedua-dua arah di lebuh raya berkenaan mula sesak apabila pengguna mula memperlahankan kenderaan untuk melihat dan tidak kurang juga yang berhenti untuk memberikan bantuan. Tim Ronda PLUS yang kebetulan berada di lokasi kejadian segera berhubung dengan bilik kawalan PLUS untuk mendapatkan bantuan. "Satu kemalangan di Kilometer 210 arah utara Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh melibatkan sebuah bas ekspres 40 tempat duduk, sebuah lori tangki petrol, sebuah lori tiga tan membawa tong berisi asid, sebuah van dan dua buah kereta. "Mangsa yang terlibat dianggarkan seramai 60 orang dan dipercayai ada kematian, mohon bantuan segera," demikian maklumat yang disampaikan Tim Ronda PLUS dan berkumandang di corong radio pusat kawalan PLUS yang menjadi agensi pertama untuk memberikan bantuan awal. Pasukan penyelamat lain tiba kira-kira 30 minit selepas menerima laporan tersebut. Operasi menyelamat mangsa itu hanya dijalankan selepas Pasukan Menangani Bencana Bahan Kimia (Hazmat) mengesahkan kawasan kemalangan bebas daripada ancaman toksid akibat tumpahan asid. Insiden mencemaskan selama hampir tiga jam ini merupakan simulasi bagi Latih Amal Pengurusan Bencana Kemalangan Lebuh Raya Negeri Melaka 2011 (Mehdex 2011).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Omar Kaseh berkata, latihan berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kecekapan agensi masing-masing dalam menghadapi bencana. Katanya, latihan ini meliputi pelbagai aspek termasuk komunikasi yang berkesan, penyampaian maklumat, koordinasi agensi di kawasan bencana dan mengelakkan daripada pertindihan tugas di antara agensi terlibat yang boleh menyebabkan kerugian dari segi masa dan tenaga. "Semasa kemalangan di Tol Simpang Ampat tahun lalu yang meragut 13 nyawa, ramai yang tampil membuat aduan bahawa risiko kematian dapat dikurangkan sekiranya bantuan tiba dengan cepat. "Hal ini berlaku kerana keadaan jalan raya yang begitu sesak dan mengganggu kelancaran agensi penyelamat dan bantuan tiba di lokasi kejadian pada masa yang ditetapkan," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mehdex 2011 di Menara Persekutuan, di sini, baru-baru ini. Latih amal itu dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR). Ia dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Besar Melaka. Omar berkata, menerusi latihan seumpama ini, kecekapan menyelamat semua agensi dapat dipertingkatkan selain aspek pengurusan lokasi kejadian yang perlu dititikberatkan. Dalam latihan kali ini, lebih 200 anggota dan pegawai dari 23 agensi terlibat di samping 60 yang berlakon sebagai mangsa. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
23 agensi teruji melalui Mehdex 2011 Posted: 23 agensi teruji melalui Mehdex 2011
MELAKA 4 Ogos - Sistem komunikasi yang berkesan merupakan aspek terpenting dalam menghadapi sesuatu bencana kerana setiap agensi dapat memendekkan tempoh masa bertindak terhadap maklumat yang diterima. Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Sophian Isswandy Ismail berkata, dalam menguruskan bencana, pelbagai aspek perlu diberikan perhatian termasuk soal komunikasi, penyaluran maklumat dan pembahagian tugas di lokasi bencana. Justeru, katanya, bagi meningkatkan kecekapan semua agensi di bawah jawatankuasa pengurusan bencana, MKN memikul tanggungjawab menganjurkan pelbagai program dan latihan kepada pelbagai agensi. "MKN merupakan agensi yang bertanggungjawab menyelaras dasar berkaitan keselamatan negara dan arahan mengenai langkah keselamatan termasuk gerakan keselamatan, ketenteraman awam dan perkara melibatkan keselamatan di seluruh negara," katanya baru-baru ini. Beliau berkata, melalui Mehdex 2011, kecekapan lebih 23 agensi teruji dalam pelbagai aspek termasuk kemahiran berkomunikasi, menyelamat, mengurus lokasi bencana dan prosedur serta garis panduan yang perlu dipatuhi. Katanya, selain mewujudkan hubungan dan koordinasi yang mantap antara agensi penyelamat dan bantuan serta pemulihan, Mehdex 2011 juga meningkatkan tahap 'inter-operability' antara agensi dalam mengendalikan bencana atau keadaan yang memerlukan tindakan secara bersepadu. "Dan yang terpenting dalam latih amal ini adalah mengesan kelemahan dalam penyaluran maklumat dan komunikasi antara agensi yang merupakan aspek penting dalam menguruskan sesuatu bencana," katanya. Menurutnya, memandangkan Malaysia bukan sebuah negara yang sering ditimpa bencana, agensi penyelamat perlu sentiasa dilatih agar berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan. | ||
Hanya 10% polis diberi cuti perayaan Posted: Hanya 10% polis diberi cuti perayaanOleh NORIZAN ABDUL MUHID MELAKA 4 Ogos - Hanya lima hingga 10 peratus anggota polis di negeri ini akan diberi cuti pelepasan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti, kata Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye. Beliau berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memastikan bilangan anggota yang mencukupi. Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan pihaknya membuat perancangan awal terutama untuk menempatkan anggota di kawasan tumpuan orang ramai menjelang perayaan. "Setakat ini, kita masih menunggu arahan Bukit Aman berhubung pemberian cuti anggota namun di peringkat awal ini, kita merancang hanya untuk melepaskan segelintir anggota sahaja iaitu lima hingga 10 peratus anggota bercuti menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya pada majlis penyerahan cek sumbangan kerajaan negeri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam kepada Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri di sini hari ini. Cek sumbangan keseluruhan berjumlah RM53,000 itu diserahkan kepada 11 jabatan IPK negeri termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, IPD Jasin dan IPD Alor Gajah. Kata Ghee Lye, langkah keselamatan yang diambil juga termasuk meningkatkan rondaan dan usaha pencegahan jenayah dengan menempatkan anggota di bank dan mesin automatik di kawasan tumpuan orang ramai. Sementara itu, menurut Mohd. Ali, sumbangan cek berjumlah RM53,000 itu merupakan hasil kutipan Tabung Pahlawan tahun ini yang setakat ini mencecah kutipan sebanyak RM100,000. Kata beliau, majlis penyerahan sumbangan kepada anggota polis akan diadakan minggu depan di IPK negeri yang akan turut dihadiri Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan