Khamis, 14 Julai 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Urus 24 hektar kebun sayur

Posted:

Urus 24 hektar kebun sayur

Urus 24 hektar kebun sayur

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my


Zulkarnain Sahudin menunjukkan buah petola yang ditanam di kebunnya di Kampung Mandah, Kuala Kangsar.


KUALA KANGSAR 13 Julai - Bidalan 'ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi' adalah amat tepat bagi menggambarkan kisah anak muda yang bertekad untuk berbudi ke pada tanah.

Jika dahulu, Zulkarnain Sahudin, 33, lebih kerap turun ke kebun sayur kerana mengikut ayahnya, tetapi kini beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar bagi memastikan usaha yang dirintis ayahnya itu terus berjaya.

Hari ini, beliau bukan sahaja seorang pekebun sayur tetapi pengurus ladang yang bertanggungjawab ke atas enam pekerja, termasuk ahli- ahli keluarganya.

Walaupun pernah berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah kilang swasta hingga menjadi seorang penyelia, namun, akhirnya beliau balik ke kampung untuk menjadi petani moden.

Bermula pada keluasan 1.35 hektar kira-kira 15 tahun lalu dengan tanaman timun, Zulkarnain tidak menoleh kebelakang dan terus menambah keluasan tanaman sayurnya sehingga mencapai keluasan 24 hektar.

Kebun sayur yang diusahakan secara Ladang Kontrak dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dilengkapi ke mudahan air titis untuk menyiram tanaman secara sistematik.

''Saya buat berperingkat dan sepanjang tempoh itu melalui pelbagai masalah tetapi melihat kepada kehijauan serta hasil yang terbentang di depan mata menguatkan lagi semangat untuk terus maju," katanya.

Menurutnya, masalah tetap ada selepas benih ditanam seperti ancaman penyakit, lambakan sayuran di pasaran dan cuaca.

Bagaimanapun tegas beliau, itu semua asam garam perlu ditempuhi walaupun adakalanya menyebabkan kerugian.

Bercerita lanjut, Zulkarnain memberitahu, ladangnya kini ditanam dengan timun, petola, terung panjang dan bulat, peria dan labu air.

Ia akan ditukar ke tanaman sayuran lain bergantung kepada kesesuaian dan pasaran semasa.

Dalam mengendalikan ladangnya itu, beliau menggunakan enam orang pekerja tetap dan dibantu bapa serta isterinya.

''Saya sendiri akan turun ke ladang dari pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari, sebelum di sambung dari pukul 3 hingga 7 petang setiap hari," katanya.

Bagi mewujudkan kemudahan asas di ladangnya, beliau telah membelanjakan sebanyak RM200,000 bagi membina sistem air titis dan RM160,000 bagi membersihkan kawasan ladang menerusi pinjaman daripada Agro Bank.

Mengenai tanah yang diguna kan bagi ladang tersebut, beliau menerangkan, ia merupakan kawasan tanah terbiar di Kampung Mandah yang disewa daripada pemiliknya.

Zulkarnain berkata, beliau banyak mendapat bantuan dan khidmat nasihat daripada pejabat pertanian seperti membenih dan teknik-teknik menjaga bagi memajukan ladangnya.

Di samping itu, kerjasama daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Senggang, Manong turut membantunya untuk terus maju.

Menurut ayah kepada empat anak itu, 50 peratus daripada sayurnya dijual melalui FAMA dan baki dijual di pasar Kuala Kangsar, Sungai Siput, Selayang, Kuala Lumpur, Parit dan pasar harian.

''Sehingga ini masalah pasaran tidak timbul kerana telah membuat perjanjian bersama FAMA dan permintaan daripada peniaga harian juga menggalakkan.

''Selalunya peraih datang sendiri ke ladang mendapatkan bekalan sayur," katanya.

Zulkarnain berkata, beliau pernah mengalami kerugian hampir RM50,000 akibat serangan penyakit pokok.

Menurutnya, beliau sedia memberi nasihat kepada golongan belia dan lepasan institut pengajian tinggi (IPT) untuk menceburi bidang itu kerana rezeki berada di mana-mana asalkan sanggup berusaha dengan gigih.

Sementara itu, Zulkarnain turut meminta pihak berkuasa membina jalan tar sejauh empat kilometer menghubungkan ladangnya ke jalan utama serta mendalamkan anak sungai berhampiran ladangnya itu.

Mereka yang ingin berkongsi maklumat atau melihat sendiri ladang sayur boleh menghubungi Zulkarnain di talian 014-9402498.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lima beranak hidup daif

Posted:

Lima beranak hidup daif

Lima beranak hidup daif

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my


Mohd. Syukri Yusof bersama Norlalila Aysikin Mohd. Noor dan dua daripada anak mereka yang hidup dalam keadaan daif di Kampung Terat Batu, Padang Serai, Kedah, semalam.


PADANG SERAI 13 Julai - Setiap insan sering mengimpikan untuk tinggal di rumah besar bak mahligai. Namun, tidak semua dilahirkan ke dunia ini mampu mencapai apa yang diimpikan itu.

Malah, ada yang terpaksa tinggal dalam rumah hampir roboh hanya layak dipanggil bangsal. Bagi insan yang masih hidup dalam serba kemiskinan, hakikat itu terpaksa diterima.

Begitulah kehidupan keluarga Mohd. Syukri Yusof, 30, terpaksa berteduh daripada hujan dan panas dalam sebuah bangsal bekas tempat sarang burung walit, di Kampung Terat Batu, Mukim Sidam Kanan, dekat sini.

Mohd. Syukri berkata, dia dan isteri, Norlalila Aysikin Mohd. Noor, 28, bersama tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun tinggal di situ sejak empat tahun lalu.

"Rumah ini milik seorang taukeh Cina dan dia bermurah hati memberikan kami sekeluarga tumpang sejak 2007. Pada asalnya, ia dijadikan tempat sarang burung walit. Namun, selepas berpindah ke premis lain, mereka masih benarkan kami tinggal di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mohd. Syukri yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata, dengan pendapatan antara RM10 hingga RM15 sehari, dia tidak mampu membina atau menyewa rumah di tempat lain.

"Saya terpaksa tinggal di sini kerana tiada pilihan. Tambahan pula dekat dengan sekolah anak sulung saya belajar iaitu di Sekolah Kebangsaan Guar Lobak," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bangsal didiami lima beranak itu bukan hanya sempit malah tidak mempunyai bilik serta bekalan air bersih.

Lebih menyedihkan, kesemua mereka tidur di atas lantai simen tanpa beralaskan sehelai tikar atau tilam.

Pembantu kedai itu memberitahu, ada kalanya dia dan keluarga terpaksa bergantung hidup kepada belas kasihan jiran-jiran untuk mendapatkan makanan atau barang keperluan lain.

"Selain bekerja di kedai makan, saya juga ambil upah dengan membuat kerja-kerja seperti menebas rumput atau membersihkan kawasan seperti diminta penduduk kampung," katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Padang Serai, Ahmad Zubib Saad ketika mengunjungi rumah keluarga itu berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

"Selain itu, saya juga akan memajukan permohonan keluarga ini untuk mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Pembangunan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) daerah Kulim, Ahmad Maidin memberitahu, pihaknya sedang menimbang untuk memindahkan keluarga terbabit ke penempatan Keda bersesuaian sekiranya ada kekosongan.

"Keluarga ini perlu dipindahkan ke kawasan lain agar mereka boleh menikmati kehidupan lebih baik," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penduduk mula terasa kesan jerebu

Posted:

Penduduk mula terasa kesan jerebu

Penduduk mula terasa kesan jerebu

IPOH 13 Julai - Keadaan berjerebu yang melanda beberapa kawasan di negeri ini masih belum mencapai tahap menjejaskan aktiviti penduduk.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan termasuk di Jalan Tasek yang mencatat indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat mendapati, orang ramai tetap bebas melakukan aktiviti seharian dan masih belum mengambil langkah pencegahan seperti menggunakan topeng muka.

Bagaimanapun, beberapa penduduk yang ditemui mengakui keadaan berjerebu berterusan selama dua hari ini menyebabkan mereka mengalami sesak nafas, sakit tekak dan pedih mata.

Seorang pesara, Razali Othman, 56 berkata, keadaan jerebu di Jalan Tasek berlarutan sejak dua hari lalu, namun semakin buruk awal pagi ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan penglihatannya pedih dan kabur setiap kali menunggang motosikal.

"Saya menyangka masalah jerebu ini sudah selesai semalam, tetapi apabila bangun pagi hari ini, saya melihat jerebu masih lagi ada," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu seorang peniaga makanan, Kamisah Yunus, 39, memberitahu, dia mengalami sesak nafas selain tekaknya terasa perit kerana menghidu udara kotor akibat jerebu.

"Sekarang ini saya memang kerap minum air kosong sebab selalu sahaja dahaga dan tekak berasa perit.

"Saya berharap pihak berwajib dapat membantu mengatasi masalah jerebu ini secepat mungkin kerana ia akan menjejaskan kehidupan penduduk yang terpaksa menghidu udara tercemar," katanya.

Seorang penduduk, Rohani Mohd. Taufik, 50, pula berkata, walaupun keadaan jerebu tidak terlalu teruk, namun, ia tetap menjejaskan kesihatan penduduk sekitar daerah itu.

"Sejak dua hari lalu, kawasan di sini memang berjerebu ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang panas menyebabkan tekak terasa perit dan sukar bernafas.

"Saya ada menyediakan topeng muka serta menasihatkan anak-anak untuk minum lebih banyak air, namun, langkah penyelesaian sepenuhnya masalah jerebu ini patut juga dilaksanakan oleh pihak kerajaan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved