Utusan Online - Mahkamah |
Tidak temui mayat di lokasi didakwa Posted: Tidak temui mayat di lokasi didakwaOleh NOOR AZMAH IBRAHIM SHAH ALAM 14 Julai – Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak menemui mayat atau sebarang tulang manusia di Ladang Gadong, Banting dekat sini yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi. Supritendan Denis Leong Sung Kuai (gambar), 49, mengakui gagal menjumpai bukti-bukti tersebut walaupun turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) semasa membuat pemeriksaan bersama pasukannya dalam operasi mencari mangsa-mangsa pada 9, 10 dan 11 September tahun lalu. Beliau yang merupakan pegawai staf, Unit Siasatan Khas, Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkata, kerja-kerja menggali di beberapa bahagian dalam ladang kelapa sawit itu juga tidak mendatangkan hasil yang positif. ''Kami membawa anjing untuk melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat mayat ditanam di kawasan ladang tersebut pada 9 September 2010. ''Jengkaut juga digunakan untuk kerja-kerja menggali di bahagian hadapan, berhampiran rumah kayu atau sangkar burung dan pondok rehat di dalam kawasan ladang itu,'' katanya ketika menjawab soalan peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan. Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38. Bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh kesemua mangsa di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu. Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Sementara itu, Ketua Pasukan Siasatan Tempat Kejadian (CSI) di Makmal Forensik, Asisten Superintendan (ASP) Zainol Hisham Abu, 40, pula memberitahu, beliau membuat lakaran rajah kasar tempat kejadian jenayah di Sungai Panchau, Banting pada 12 September 2010 atas arahan ketuanya, Supritendan Azari Abdul Rahman . Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata, semasa berada di lokasi tersebut, beliau turut melihat tiga juruselam daripada Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1, Pulau Pinang sedang mencari bahan bukti di dalam sungai itu. ''Apabila bahan bukti ditemui, mereka akan menyerahkan kepada Azari. Saya cuma bantu kendalikan barang-barang kes,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani. Semasa memberi keterangan, Zainol Hisham pada awalnya dilihat tidak selesa sehingga menyebabkan Idham bertanyakan sekiranya saksi sedang menggigil. Saksi yang ketawa mendengar soalan itu mengakui menggigil. Beliau kemudiannya dilihat tenang sehingga selesai memberi keterangan. Koperal Merzuki Shahrim yang mengetuai operasi pencarian di Sungai Pancau dalam keterangannya pada Isnin lalu memberitahu, beliau menjumpai beberapa bahan bukti termasuk serpihan-serpihan disyaki tulang di dalam sungai tersebut. Beliau yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-22 juga mengesahkan menemui gulungan dawai, cebisan logam dengan kesan terbakar, sebilah pisau, guni plastik bertulis Tapioca 50 KG dan anak kunci di lokasi yang sama. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari kesembilan bersambung pada 25 Julai ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Raja Azmi ditangkap lagiOleh SUWARNI MOKHTAR
SHAH ALAM 14 Julai – ''Awak tidak datang ke mahkamah sebanyak tiga kali. Ini menunjukkan awak tidak hormat mahkamah. Maaf sahaja tidak cukup. Saya terpaksa menangguhkan perbicaraan banyak kali.'' Walaupun bercakap dengan nada lembut, sesiapa yang mendengar kata-kata Hakim Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC), Hakim Datuk Lim Yee Lan itu turut dapat merasakan ketegasan dan kekecewaan beliau terhadap penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman. Penerbit filem '... Dalam Botol' itu dibawa ke mahkamah di sini hari ini kira-kira pukul 2.30 petang ini oleh pihak polis selepas waran tangkap yang dikeluarkan baru-baru ini disempurnakan kira-kira pukul 9.45 pagi di kediamannya di Ukay Perdana, Hulu Kelang dekat sini. Waran tangkap tersebut merupakan kali kedua dikeluarkan oleh hakim tersebut bagi kes saman sivil berhubung penjualan sebidang tanah seluas 14.2 hektar dengan harga RM5.9 juta. Pada 19 Ogos tahun lalu, Raja Azmi yang merupakan defendan kedua dalam kes saman itu ditahan di Balai Polis Pandan Indah, Ampang Jaya selepas dia membuat laporan polis terhadap isteri Roslin, Nurhayati Othman, 40, yang didakwa mengugutnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) Dia ditahan selepas tidak hadir beberapa kali ke perbicaraan membabitkan dirinya, suaminya, Jalani Sidek dan syarikat mereka, Equal Alliance Sdn. Bhd. yang dinamakan sebagai defendan. Mereka disaman oleh ahli perniagaan, Hamzah Abdul Majid atas dakwaan bersubahat dengan LBS Bina Holdings Sdn. Bhd. dan pengarahnya, Joey Lim Hock Guan apabila menjual tanah itu kepada syarikat pembinaan tersebut. Sedangkan, pihak defendan didakwa telah berjanji untuk menjual hartanah tersebut kepada Hamzah sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian bertarikh 21 Februari 1996 dengan harga RM4.9 juta. Menjawab pertanyaan Hakim Yee Lan mengenai kegagalannya hadir ke mahkamah, Raja Azmi, 52, menyatakan ia bukanlah satu perkara yang disengajakan kerana dia telah dimasukkan ke hospital. ''Pada pagi itu, lepas bangun saya pengsan. Kemudian saya ke hospital dan doktor menyatakan terdapat satu tulang di leher yang tidak berada di tempat yang sepatutnya telah menekan saraf menyebabkan bekalan oksigen ke otak tersekat,'' jelasnya. Di hospital itu juga, seorang lagi doktor yang telah memeriksa matanya menyarankan dia membuat pembedahan untuk membuang ketumbuhan (cyst) kecil yang terdapat pada organ penglihatannya itu. ''Saya berada di hospital selama empat hari,'' katanya tanpa menyatakan nama hospital yang merawatnya dan turut berjanji akan menyerahkan sijil cuti sakit (MC) kepada mahkamah selepas 'seseorang' membawa sijil itu dari rumah,'' ujarnya. Hakim Yee Lan kemudian menyatakan, disebabkan dia hadir ke mahkamah atas waran tangkap, dia sepatutnya dimasukkan ke penjara sehingga tarikh perbicaraan akan datang iaitu pada 22 Julai ini. Bagaimanapun, hakim itu sanggup 'berlembut' dengan menyatakan akan membebaskannya jika isteri kepada bekas pemain badminton negara itu boleh mengemukakan jaminan sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin. Peguam yang mewakili plaintif juga menyatakan jumlah ikat jamin tersebut sesuai kerana walaupun Raja Azmi seorang yang muflis, dia tinggal di sebuah rumah berkembar dan pada kali terakhir sapina diserahkan kepadanya, penerbit itu sedang memandu sebuah kereta Mercedes Benz. ''Tetapi saya tidak punya apa-apa kecuali kata-kata. Itu bukan kereta saya, itu kereta syarikat dan ia bukannya di bawah nama saya. Saya tidak ada apa-apa,'' bidasnya. Hakim Yee Lan sebelum menangguhkan prosiding itu mengurangkan jumlah jaminan kepada RM30,000 dengan dua penjamin. Raja Azmi membayar jaminan tersebut kira-kira pukul 4.30 petang. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan