Utusan Online - Kota |
Posted: Festival KL 2011 hambarOleh SITI AISHAH YUSOFF
KUALA LUMPUR 13 Julai - Festival Kuala Lumpur yang berlangsung selama sebulan bermula 1 Julai lalu menyediakan sebanyak 122 acara merangkumi pelbagai bidang seperti seni tampak, permainan tradisi dan seni persembahan. Tahun ini merupakan tahun ketujuh festival itu diadakan tetapi penganjurannya pada kali ini seperti tidak mendapat perhatian daripada masyarakat, yang dilihat berpunca daripada kurangnya publisiti. Salah satu aktiviti yang sedang berlangsung ialah persembahan kesenian yang turut menampilkan persembahan seni muzik tradisional Melayu di Kampung Budaya 1 Malaysia, Menara Kuala Lumpur di sini. Bagaimanapun, aktiviti yang sepatutnya meriah itu kelihatan hambar berikutan tidak mendapat sambutan daripada orang ramai walaupun persembahan yang diberikan sangat menarik dan jarang dapat disaksikan. Seorang petugas di Kampung Budaya itu mengakui, persembahan kesenian yang diadakan di situ sejak minggu lepas kurang mendapat sambutan sedangkan ia sukar dapat ditonton kecuali jika ada festival seperti itu. "Agak mengecewakan kerana tidak ramai pengunjung yang datang untuk menyaksikan persembahan kesenian yang diadakan ini walaupun ia dibuka secara percuma. "Kurangnya promosi dan persiapan pada saat akhir oleh pihak penganjur mungkin merupakan salah satu faktor pengunjung tidak tahun mengenai pesta ini. "Namun, saya bangga kerana mereka yang membuat persembahan tetap bersemangat dan sentiasa memberikan yang terbaik," katanya ketika ditemui di sini. Dia menambah, jumlah pengunjung yang datang ke festival itu juga tidak ramai seperti Festival Terengganu yang diadakan pada 18 hingga 26 Jun lalu. Sementara itu, seorang pengunjung, Wafa Mohamad, 50, berkata, dia datang ke festival itu untuk melihat keistimewaan budaya yang terdapat di Malaysia. "Saya gembira kerana tempat pameran ini sangat cantik tetapi kami mengalami masalah kerana di sini tidak disediakan petugas yang boleh menerangkan secara terperinci keistimewaan tempat dan persembahan yang diadakan di sini," jelasnya. Pengunjung lain, Norman Stephens, 70, berkata, dia sangat gembira kerana dapat mengenali budaya Malaysia secara lebih dekat menerusi festival itu. Dia yang sudah empat tahun tinggal di negara ini mengakui persembahan alat muzik tradisional yang terdapat di negara ini sangat istimewa dan perlu dipromosikan dengan lebih meluas. Persembahan kesenian di Kampung Budaya itu bermula dari pukul 10.30 pagi sehingga pukul 7.00 malam dan akan berakhir pada 17 Julai ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Jangan berlembut lagiOleh NURUL SAADAH MAMAT
KUALA LUMPUR 13 Julai - Orang ramai yang kesal dengan tindakan berterusan pemberi pinjaman menampal iklan secara haram pada papan tanda dan kemudahan awam di ibu kota menggesa pihak berkuasa supaya tidak lagi berlembut dengan kumpulan itu. Mereka yang ditemui di sini hari ini menyuarakan rasa muak dan benci dengan sikap pemberi pinjaman termasuk ceti haram atau ah long yang menjadikan kemudahan awam seperti hak mereka sendiri. Seorang pesara kerajaan, Aziz Jantan, 60, berkata, tindakan ah long menampalkan iklan-iklan pada papan tanda boleh menjejaskan pemandangan dan tidak sepatutnya dibiarkan berlaku lagi di ibu negara. "Tindakan menutup papan tanda dengan iklan-iklan pinjaman dan pelaburan menyusahkan orang ramai kerana tidak dapat melihat dengan jelas papan tanda tersebut seperti nama jalan dan ini akan menyusahkan mereka mencari arah destinasi yang dituju," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurut Aziz, pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya bertegas terhadap golongan itu kerana mereka boleh telah merosakkan harta benda awam. Sementara itu, Mohd. Ramli Abd. Rahman, 56, berkata, dia kesal kerana pihak berkuasa masih tidak tegas dengan membiarkan aktiviti ah long itu berterusan tanpa tindakan sewajarnya. "Bagaimana kita hendak menawarkan suasana yang menarik di negara kita kepada pelancong sekiranya papan-papan tanda pun tidak terjaga dan dibiar dirosakkan oleh ah long," kata pekerja sebuah syarikat swasta itu. Seorang lagi penduduk, Aminah Mat Nor, 46, pula berkata, PBT seharusnya bijak menangani masalah itu supaya ah long tidak menampal iklan dengan sesuka hati sehingga menutup nama jalan pada papan tanda dan boleh menyusahkan orang ramai terutamanya pelancong asing. "Perbuatan mereka boleh menyebabkan suasana di ibu negara menjadi tidak menarik dan dipandang rendah oleh pelancong luar. "Pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu supaya mereka tidak mencacatkan pemandangan di ibu kota," katanya. Saraswati Nagappan, 24, pula beranggapan orang ramai tidak sepatutnya terpedaya dengan iklan-iklan yang ditampal oleh ah long. "Biasanya mereka ini menampal iklan pada tiang, dinding dan pondok-pondok telefon. Perbuatan ini boleh menjatuhkan imej negara dan sekali gus menjejaskan kebersihan ibu kota," katanya. Sementara itu, Sabrina Hee, 23, pula berkata, aktiviti menampal iklan itu akan berakhir sekiranya pihak berkuasa mengambil langkah tegas ke atas orang yang nama atau nombor telefonnya tercatat pada iklan pinjaman haram tersebut. "Selain itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pula perlu memandang serius masalah ini dengan membersih dan menanggalkan semua iklan yang ditampal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut dan meletakkan petugas untuk mengintip dan menahan mereka yang terlibat," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Kerugian peniaga Bukit Bintang RM100 juta Posted: Kerugian peniaga Bukit Bintang RM100 jutaKUALA LUMPUR 13 Julai – Pusat beli-belah dan hotel di sekitar Bukit Bintang mengalami kerugian teruk akibat perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada Sabtu lalu. Ketua Pegawai Operasi Peruncit dan Penasihat Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia, Joyce Yap berkata, berdasarkan pemantauan awal, kerugian itu bukan sahaja berlaku pada hari berkenaan bahkan ia telah bermula sejak awal minggu lalu. Beliau mengambil contoh pusat beli-belah Pavillion, beberapa pameran yang dijadualkan berlangsung sepanjang minggu lalu terpaksa dibatalkan kerana bimbang tiada pengunjung selain boleh mengganggu keselamatan pengunjung dan pelancong. ''Kita bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian dalam aspek jualan tetapi kita juga terpaksa mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk mengukuhkan keselamatan di seluruh kawasan pusat beli-belah. ''Buat masa ini tiada angka yang tepat tetapi kita anggarkan ia melibatkan jumlah RM100 juta. Jika ditambah dengan kerugian hotel di kawasan berkenaan, jumlahnya mungkin lebih dari itu,'' katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pameran Foto Berkelas Dunia di sini hari ini. Pameran tersebut disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen. Terdahulu, Yen Yen menggesa semua pusat beli-belah agar mewujudkan program berbentuk kesenian bagi menarik lebih ramai pelancong yang sekali gus mampu menambah pendapatan sektor tersebut. Menurut beliau, kementerian memuji langkah pusat beli-belah Pavilion kerana mengambil inisiatif menjemput pelukis antarabangsa bagi mengadakan pameran secara terbuka. ''Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan jumlah pelancong asing ke Malaysia tetapi ia dapat meningkatkan kesedaran rakyat untuk menghargai erti kesenian. ''Menerusi cara ini kita di kementerian juga dapat bekerjasama dengan pusat beli-belah iaitu dengan menawarkan pakej-pakej pelancongan bagi menggiatkan lagi sektor berkenaan,'' katanya. Foto-foto pada pameran tersebut merupakan hasil karya jurufoto terkenal China, Yang Yuan Xing yang mempamerkan sebanyak 60 foto yang diambil dari pelbagai negara dan kesemua foto itu adalah untuk dijual. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan