Utusan Online - Timur |
- Karnival Mini Batu Rakit meriah
- Ambil wuduk guna air busuk
- Tahap kebersihan belum memuaskan - Takiyuddin
Karnival Mini Batu Rakit meriah Posted: Karnival Mini Batu Rakit meriahOleh ADNAN MOHAMAD Peserta pertandingan memancing dilepaskan sempena Karnival Mini Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit Bersama Nelayan di Taman Rekreasi Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu, baru-baru ini. KUALA TERENGGANU 25 Julai – Karnival Mini Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit Bersama Nelayan berlangsung di Taman Rekreasi Pantai, Batu Rakit dekat sini baru-baru ini, dalam suasana meriah dan menarik penglibatan masyarakat dalam pelbagai kegiatan. Program lebih terarah kepada komuniti nelayan, kelompok terbesar dalam DUN berkenaan yang membuka penempatan terawal di situ yang namanya mengambil sempena hamparan batu di permukaan laut seumpama rakit kira-kira 300 meter dari pantai. Program sehari itu dapat membantu merapatkan hubungan antara penduduk dan mengukuhkan semangat kekitaan yang menjadi kekuatan dalam kehidupan masyarakat di perkampungan tradisi. Pada masa yang sama, ia mencerminkan komitmen para pemimpin setempat yang terus mengorak langkah menggerakkan agenda pembangunan dalam usaha merealisasikan harapan dan impian, seiring aspirasi rakyat Batu Rakit. Perasmian karnival itu disempurnakan Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud Al-Muktabillah Shah yang kemudiannya turut serta dalam kegiatan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN itu. Tengku Baharuddin yang juga Presiden Persatuan Permotoran Terengganu tiba dengan konvoi 40 penunggang motosikal berkuasa tinggi. Kerabat diraja itu turut beramah-mesra dengan penduduk dan turun padang untuk menziarah empat buah rumah keluarga miskin di Kampung Hilir Darat Batu Rakit dan Wakaf Chagak selain menangkap ikan bersama nelayan. Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat memberitahu, kehadiran Tengku Seri Temenggong Raja ke majlis itu menunjukkan kerabat diraja dekat dengan kehidupan rakyat. Antara acara yang meriahkan suasana adalah sukaneka yang menarik penglibatan masyarakat pelbagai peringkat usia selain pertandingan memancing, mewarna, persembahan silat gayong, demonstrasi kebakaran dan membakar biji gajus di samping cabutan bertuah. "Program yang diadakan ini merupakan salah satu usaha kami merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa di kawasan ini. Ia dapat dijayakan dengan kesepakatan penduduk," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit berkata, kegiatan itu juga secara tidak langsung dapat memperkasakan perjuangan rakyat bersama pemimpin setempat bagi meningkatkan keharmonian dan kesejahteraan hidup. Tengku Baharuddin ketika berucap merasmikan majlis tersebut berharap program seumpama itu dapat dianjurkan secara berkala yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai terutama golongan muda. "Pendedahan pelbagai kegiatan kepada orang muda amat diperlukan agar kehidupan mereka tidak terbiar serta terjebak dalam kegiatan tidak sihat yang boleh merosakkan masa depan mereka sendiri," katanya. Sementara itu, seorang penduduk, Lua Beng Soon, 54, dari Kampung Pantai Batu Rakit berkata, program itu meriah dan menggembirakan penduduk. "Masyarakat Cina di sini tidak ketinggalan menyertai acara pada karnival ini bersama orang Melayu supaya dapat mengeratkan lagi hubungan antara kami dengan mereka," ujarnya. Seorang lagi penduduk, Azuar Aripin, 30, dari Kampung Pengkalan Atap mencadangkan supaya kerajaan mengadakan karnival seperti itu setiap tahun di DUN berkenaan. Ini kerana, katanya, kerajaan dapat menyalurkan sebarang maklumat serta mengadakan gerai-gerai pameran dari jabatan kerajaan bagi manfaat kepada pengunjung. "Menerusi program ini juga, kita dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk kampung serta dapat melakukan kerja-kerja amal seperti gotong-royong membersih kubur, membaikpulih atau membina rumah orang miskin," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Ambil wuduk guna air busukOleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH 25 Julai - Masalah yang dihadapi oleh lebih 100 jemaah Madrasah Pak Kassim Kampung Alor Hijau, Selising dekat sini yang terpaksa menggunakan air berbau busuk untuk berwuduk, mendapat perhatian Yayasan Tengku Temenggong Kelantan (YTTK). Dalam kunjungan ke madrasah itu hari ini, Tengku Muhammad Fakhry Petra bersama rombongannya, telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM4,000 bagi membolehkan pembinaan menara tangki air sedia ada di madrasah tersebut disiapkan segera. Tangki air itu jika disiapkan, akan membolehkan madrasah berkenaan menerima bekalan air bersih berbanding ketika ini mereka bergantung pada sumber air perigi. Sumbangan itu diterima Imam madrasah berkenaan, Mahmod Zakaria dalam satu majlis ringkas. Pada kunjungan itu, Tengku Muhammad Fakhry turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa selain menziarahi warga tua, Che Man Che Min, 72, yang menghidap penyakit lumpuh sejak dua tahun lalu. Pengerusi jawatankuasa madrasah itu, Mohamad Yaakub berkata, keprihatinan kerabat diraja Kelantan untuk menyelesaikan masalah berkenaan, amat melegakan ahli jemaah terutama menjelang bulan Ramadan ini. "Kami bagi pihak pengurusan madrasah mengucapkan berbanyak terima kasih dengan peruntukan bantuan yang dihulurkan kepada rakyat jelata," katanya. Sementara itu, isteri Che Man, Siti Zaharah Mamat, 63, tidak menduga kehadiran rombongan Tengku Muhammad Fakhry. "Sumbangan yang dihulurkan dan ramah mesra untuk bertanya khabar tentang suami mak cik yang terlantar sakit amat dihargai. Riak wajah suami mak cik menunjukkan kegembiraan di atas lawatan yang tidak kami duga sebelum ini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Tahap kebersihan belum memuaskan - Takiyuddin Posted: Tahap kebersihan belum memuaskan - TakiyuddinKOTA BHARU 25 Julai - Kerajaan Pas Kelantan mengakui tahap kebersihan di negeri ini masih belum mencapai tahap memuaskan disebabkan sikap sesetengah penduduk yang kurang prihatin terhadap perkara itu. Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak teragak-agak meningkatkan penguatkuasaan selepas ini ke atas premis niaga dan individu yang tidak menjaga kebersihan. Beliau berkata, kerajaan negeri yang menyambut baik teguran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berhubung sikap rakyat yang mengabaikan aspek kebersihan, akan mengadakan program gotong-royong secara besar-besaran di setiap daerah melibatkan pihak berkuasa tempatan, Exco kerajaan negeri dan penduduk setempat. Katanya, beliau sendiri akan turun padang dalam program gotong- royong perdana antara Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah serta Pasar Borong Wakaf Che Yeh, esok. "Sesetengah penduduk kurang cakna dengan kebersihan dan keceriaan. Contoh paling jelas adalah sikap anak- anak kita di sekolah yang mana mereka mengikut peraturan menjaga kebersihan semasa waktu belajar tetapi apabila berada di tempat awam sikap bertanggungjawab itu hilang entah ke mana. "Saya amat berbesar hati dengan keprihatinan Tuanku yang sanggup mencemar duli membersihkan kawasan pantai bagi menjadi contoh dan model yang harus diikuti semua rakyat. "Kita mestilah mengambil ingatan kerana kebersihan adalah tanggungjawab yang mesti dipikul bersama-sama dan bukannya diletakkan ke atas bahu pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai keprihatinan Sultan Muhammad V mencemar duli dalam program gotong- royong membersih Pantai Sri Tujoh, Tumpat anjuran Pertubuhan Kerabat Diraja Al-Muhammadi. Baginda juga dilaporkan menegur sikap rakyat negeri ini yang tidak mempunyai kesedaran tinggi menjaga kebersihan terutama masjid dan tandas. Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, bagi memastikan usaha dan teguran baginda itu tidak sia-sia, semua pihak mestilah berazam untuk mengubah sikap dan menjadikan kebersihan sebagai agenda penting bersama. Ditanya mengenai prestasi PBT dalam menjaga kebersihan, beliau berkata, PBT sudah melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dan amat memerlukan kerjasama erat seluruh masyarakat bagi membantu menjayakan tugas berkenaan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan