Utusan Online - Keluarga |
Posted: Menyumbang melalui Kedai AmalOleh SHOLINA OSMAN Kedai Amal. Melihat namanya saja sudah dapat ditelah bahawa kewujudannya adalah untuk tujuan kebajikan. Premis yang terletak di Lorong Medan Tuanku 1, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, sekali pandang ia seperti kedai menjual barang terpakai. Ini disebabkan kebanyakan barangan yang terdapat di dalamnya adalah yang terpakai sumbangan orang ramai. Ia kemudian dijual dengan harga berpatutan dan hasil jualan itu didermakan untuk golongan fakir miskin dan memerlukan. Kehadirannya mungkin kurang diketahui, namun kedai yang di kendalikan oleh Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah) menjadi saluran terbaik bagi orang ramai beramal dengan cara yang mudah. ''Kedai Amal ini menerima apa sahaja barangan terpakai yang ingin didermakan oleh orang ramai seperti pakaian,'' kata Presiden Ukhwah, Datuk Rahim Baba. Selepas itu katanya, semua barangan itu akan dijual semula bagi mendapatkan wang tunai untuk didermakan. ''Kiranya umpama sistem tukar barang atau barter. Barang sumbangan ini akan ditukarkan menjadi wang tunai kerana ia lebih mudah untuk digunakan bagi memenuhi kehendak mereka yang memerlukan,'' katanya. Rahim berkata, kalau sekadar sumbangan baju biasanya bukan semua orang memerlukannya. Sebab itu Kedai Amal diwujudkan mulai Julai tahun lalu. Katanya, semenjak dibuka kedai itu banyak menerima sumbangan barang-barang terpakai daripada orang ramai. "Kedai Amal ini menerima apa sahaja barang yang disumbangkan. Daripada pakaian kanak-kanak dan orang dewasa hingga kepada barang-barang hiasan, lampu, aksesori wanita, kasut, cenderamata dan sebagainya,'' kata Rahim. Katanya, setiap barangan yang diterima itu biasanya akan ditapis terlebih dahulu supaya hanya yang berkualiti dijual. Kedai itu katanya, diuruskan oleh pengurus kedai, Faridah Talib yang akan menentukan harga pada setiap baju dan barang yang ada. Rahim berkata, setakat ini Kedai Amal itu memang dikenali khususnya di kalangan pelancong luar yang menginap di hotel-hotel berhampiran. ''Biasanya mereka datang untuk membeli baju kurung dan sebagainya bagi merasai sendiri pakaian orang Melayu,'' katanya. Harga yang ditawarkan serendah RM5 untuk sehelai baju kurung. Ia memang sesuai untuk golongan pelancong yang ingin merasai berpakaian ala Melayu ketika melancong ke negara ini. Rahim memberitahu setakat ini harga barangan yang dijual bermula dari RM5 hingga RM100. Biasanya setiap barang yang diletakkan di situ tidak ada tawar menawar kerana harga diletakkan adalah tetap. ''Lagipun harga yang diletakkan di sini adalah mengikut kualiti barang yang selayaknya,'' katanya. Bagaimanapun jelas Rahim, ada juga penderma sanggup menyumbangkan barangan baru dan belum digunakan. Katanya, kebanyakan daripada penderma suka membeli-belah di luar negara. Tetapi apabila pulang didapati barangan itu mereka tidak perlukan. ''Daripada dibiarkan begitu sahaja dan rosak maka mereka menyerahkannya ke Kedai Amal,'' kata Rahim. Katanya, ada juga yang sanggup menyerahkan cenderamata perkahwinan seperti bekas telur dari seramik. Jelasnya, barang seramik juga digemari oleh pelancong luar untuk dijadikan cenderamata. Katanya, di Kedai Amal itu juga terdapat baju kulit dan bulu yang sesuai untuk dipakai oleh mereka yang mahu ke negara yang beriklim dingin. ''Harga baju ini dijual dengan harga yang murah jika dibandingkan dengan kedai lain,'' katanya. Bagaimanapun katanya, setiap jualan di Kedai Amal ini bukan hak milik untuk koperasi Ukhwah. ''Biasanya hasil jualan yang akan diperoleh cuma antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan,'' kata Rahim. Daripada hasil jualan itu, pihaknya akan memilih mana-mana rumah anak yatim, orang tua dan sebagainya untuk didermakan. Selain itu, kata Rahim, ada juga pihak yang membeli barangan secara borong di Kedai Amal dan menyuruh pihaknya menghantar ke mana-mana tempat yang ingin didermakan. Kata beliau, pihaknya memang mempunyai perkhidmatan percuma untuk menghantar barangan yang dimahukan oleh pembeli. Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya hanya memberikan sumbangan hasil dari jualan di Kedai Amal untuk golongan fakir-miskin di Semenanjung sahaja. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Posted: Untung untuk orang susahKONSEP Kedai Amal oleh Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah) juga turut menarik perhatian Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan. Ini kerana apa sahaja barangan yang disumbangkan oleh orang perseorangan dan kumpulan akan dijual oleh Kedai Amal ini di mana semua keuntungan akan diserahkan kepada yang memerlukan. Puteri UMNO Wilayah turut menyerahkan pakaian yang telah dikumpulkan selama beberapa hari di kalangan ahli untuk disumbangkan ke Kedai Amal. Ketuanya, Zauyah Zainuddin yang merangkap Ketua Puteri UMNO bahagian Bandar Tun Razak memberitahu, projek mengumpul pakaian ini khusus untuk Ketua Pemuda UMNO Cawangan Jalan Sekilau, Razali Mohd. Isa. ''Pengumpulan dari pakaian amal ini khusus untuk meringankan beban yang ditanggung oleh Razali dan keluarganya yang kini sedang sakit,'' katanya. Beliau berharap menerusi jualan pakaian ini di Kedai Amal iakan dapat disumbangkan kepada Razali. Katanya, Razali yang juga seorang pekerja sambilan mempunyai empat anak kini sedang bertarung dengan penyakit ketumbuhan otak. Berikutan itu baru-baru ini, Zauyah bersama Naib Ketua Bahagiannya, Sharifah Aminah Al Habshee telah menyerahkan sumbangan pakaian terpakai itu ke Kedai Amal tersebut. Zauyah berkata, ini merupakan kerjasama yang sumbangan pertama Puteri UMNO Wilayah kepada Kedai Amal. ''Puteri memang tahu ada Kedai Amal ini kerana ia terletak sederet dengan Koperasi Putri Terbilang Malaysia Berhad (Koputeri),'' katanya. Sehubungan itu, katanya, ini merupakan cara terbaik untuk beramal di mana antara sesama ahli yang berusaha untuk mendermakan pakaian masing-masing. Beliau berkata, konsep yang diperkenalkan oleh Kedai Amal lebih baik di mana ia dapat menjual semula pakaian yang telah disumbangkan oleh orang ramai. Katanya, Razali yang kini sedang terlantar di hospital dapat menggunakan sumbangan kewangan itu bagi membiayai kos operasi pembedahan dan juga untuk kegunaannya sekeluarga. Menurut Zauyah, dia memang tidak menghadapi masalah untuk mengumpul sumbangan kerana kesemua ahli bersedia menderma mana-mana pakaian yang kebanyakannya masih elok. Beliau berharap selepas ini dengan sumbangan daripada Puteri ini akan dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan dari segi kewangan. Zauyah berkata, pihaknya juga percaya selepas ini akan terus melakukan aktiviti bagi mengumpulkan sumbangan pakaian terpakai ini supaya dapat diserahkan kepada Kedai Amal tersebut. Katanya, cara memberikan sumbangan berbentuk pakaian dan barangan ini lebih mudah kerana Kedai Amal ini pula akan menjualnya supaya dapat disumbangkan kepada orang yang memerlukannya dalam bentuk tunai. Zauyah juga berharap akan ada pihak lain turut memberikan sumbangan pakaian dan sebagainya untuk dijual oleh Kedai Amal ini. Selain itu, katanya, ada baiknya juga bukan sekadar pelancong malah juga orang tempatan untuk datang membeli-belah di Kedai Amal ini. Beliau berkata ini kerana setiap hasil jualan di kedai ini akan disumbangkan dalam bentuk wang kepada pihak yang memerlukan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan