Utusan Online - Jenayah |
Posted: Mayat bayi dalam beg tangan
SEREMBAN 29 Julai - Entah ke mana perginya sifat kemanusiaan segelintir individu yang bertindak kejam membuang bayi tidak berdosa walaupun perbuatan seperti itu sering didedahkan oleh media. Tetapi itulah yang masih berlaku apabila seorang penunggang motosikal menemui mayat seorang bayi lelaki dalam sebuah beg tangan wanita di Kilometer 282.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara berhampiran susur masuk Nilai dekat sini petang ini. Penunggang motosikal itu, Azmi Talib, 44, memberitahu, dia menemui beg tangan itu kira-kira pukul 2.30 petang ketika dalam perjalanan dari Muar, Johor menuju ke Kuala Lumpur. Menurutnya, dia singgah di bawah jejambat berkenaan untuk berehat seketika sebelum ternampak satu beg tangan wanita berwarna hitam berhampiran lokasi kejadian. "Ingin tahu apa yang ada di dalam beg itu, saya membuka beg tangan tersebut dan nampak satu objek yang dibalut dengan tuala berwarna putih. "Sebaik sahaja memegang objek itu, saya dapati ia lembik dan terkejut apabila melihat kaki bayi terkeluar dari hujung tuala berkenaan sebelum menghubungi pihak polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, bayi berkenaan dipercayai berketurunan Melayu dan baru dilahirkan kerana masih terdapat tali pusat. "Polis turut menemui satu bungkusan plastik mengandungi uri tidak jauh dari lokasi beg tangan itu dijumpai," katanya. Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. | ||
Bayi baru lahir ditinggalkan kepada sepasang suami isteri Posted: Bayi baru lahir ditinggalkan kepada sepasang suami isteriALOR SETAR 29 Julai - Sepasang suami isteri yang ingin menjamu selera di sebuah kedai makan di Shahab Perdana di sini terkejut apabila seorang gadis meninggalkan bayi lelaki yang dipercayai baru lahir kepada mereka. Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi, Ahmad Zaidi Muin, dan isterinya, Marina Midon, masing-masing berusia 34 tahun didatangi seorang gadis meminta isterinya memegang sebentar seorang bayi yang berbungkus dengan tuala berwarna coklat dengan alasan untuk ke tandas. "Ketika itu kami baru tiba dari Kuala Nerang untuk menjamu selera di kedai makan kegemaran kami dan boleh dikatakan tiap minggu kami akan ke sini. "Saya baru sahaja meletakkan kereta sebelum seorang gadis berusia lingkungan awal 20-an datang meminta kami jaga bayinya untuk ke tandas namun selepas sejam, dia tidak muncul-muncul," katanya di sini, malam tadi. Menurut Ahmad Zaidi, dia dan isterinya kemudian membawa bayi itu ke rumah abangnya di Pokok Sena sebelum dinasihatkan membuat laporan polis. "Kami kemudian membawa bayi lelaki ini ke Balai Polis Alor Setar kira-kira pukul 12 malam untuk melaporkan hal ini kerana bimbang kami dituduh menculik bayi tersebut," katanya yang sudah lapan tahun berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata Tambahnya, tiada sebarang dokumen atau surat ditinggalkan oleh gadis tersebut kepada mereka. Dia juga percaya bayi ini baru dilahirkan kerana terdapat kesan darah pada muka bayi ini. Ahmad Zaidi dan isteri juga berhasrat untuk mengambil bayi ini sebagai anak angkat mereka. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes tersebut dan bayi lelaki itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut. "Bayi berkenaan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan