Ahad, 17 Julai 2011

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Tanaman harumanis diperhebat

Posted:

Tanaman harumanis diperhebat

Tanaman harumanis diperhebat

Laporan oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI dan KHAIRUNNISA SULAIMAN



BENTUK dan rupanya cukup menggiurkan. Aromanya pula pasti menawan hati sesiapa saha dan akan membuka selera untuk menikmatinya.

Itulah kehebatan harumanis, sejenis mempelam dari Perlis yang kini menjadi kegilaan atau menimbulkan keghairahan ramai tidak kira di mana sahaja.

Sama ada di makan begitu sahaja atau dihidang bersama pulut, keenakan harumanis tetap memukau.

Sebab itu ia menggamit kehadiran ramai ke Perlis walaupun musimnya hanya sekali dalam setahun.

Musimnya pula cukup singkat. Hanya sebulan atau sebulan setengah dalam setahun. Sebab itu ia membuatkan ramai yang tidak sabar malah sanggup berebut-rebut untuk mendapatkan harumanis.

Walaupun musimnya kali ini baru sahaja berakhir, ramai masih bertanyakan tentang harumanis khususnya di kalangan penduduk luar negeri Perlis.

Faktor tersebut juga menyebabkan pengeluaran dan pasaran harumanis sentiasa tidak mencukupi setiap tahun sehingga membuatkan agensi terlibat memikirkan langkah tertentu untuk menampung permintaannya yang tinggi.

Bagi tahun ini, segala-galanya bermula pada penghujung April sehingga Jun apabila orang ramai 'berpesta' meraikan kedatangan harumanis yang sekali gus menyebabkan harganya meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Negeri Perlis, Sabry Ahmad mempunyai jawapan mengenai keistimewaan harumanis yang kini bukan sahaja digemari di dalam negeri malah 'menyeberangi' lautan sehingga ke Jepun.

Beliau menjelaskan, seindah namanya, mempelam tersebut cukup manis dan enak dimakan jika ia masak cukup tempohnya atau setelah mengeluarkan aroma yang harum.

"Apabila ia mengeluarkan aroma yang harum, mempelam ini sudah boleh dimakan. Disebabkan rasanya yang manis itulah antara faktor ia digelar harumanis.

"Selain itu, keunikan harumanis ialah kerana kulitnya tetap hijau walaupun sudah masak. Ia tidak boleh dimakan sewaktu masih muda atau dibuat jeruk kerana rasanya akan menjadi masam," jelasnya.

Pada tahun lalu, Perlis mengeluarkan kira-kira 244 tan metrik harumanis yang bernilai RM 1.17 juta meliputi tanaman di kawasan seluas 257.9 hektar.

"Musim ini pengeluaran harumanis sebanyak 400 tan metrik dengan setiap tahun dirancang pertambahan pengeluaran sebanyak 200 hektar setahun," tambah beliau.

Walaupun pengeluarannya meningkat, namun masih belum mencukupi untuk menampung permintaan.

Bayangkan belum pun habis musim, harumanis yang dijual di Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat sudah kehabisan stok.

"Begitu juga dengan hasil tanaman pengusaha harumanis di Perlis masih gagal menampung keperluan semasa yang kian meningkat saban tahun," tambah beliau.

Saiz negeri yang kecil, hanya berkeluasan 810 kilometer persegi atau 81,713.90 hektar, tentulah agak sukar untuk menambah kawasan penanaman harumanis.

Justeru, tenaga pelbagai agensi seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) digembleng untuk mencari kaedah mengatasi kekurangan harumanis setiap tahun.

Antara pilihan ialah mempergunakan seluas-luasnya kawasan penanaman di samping menggalakkan penduduk negeri paling kecil di Malaysia itu sekurang-kurangnya menanam sepohon harumanis.

"Ladang-ladang terbiar dipulihkan. Pokok-pokok yang tidak berhasil ditebang untuk ditanam semula dengan harumanis bagi meningkatkan pengeluaran.

"Kerajaan negeri memperuntukan RM1.8 juta setahun untuk membangunkan industri harumanis dengan sasaran tanaman seluas 1,000 hektar menjelang 2015," kata beliau.

Begitu juga dengan penjagaan tanaman harumanis, Jabatan Pertanian memperkenalkan pembalut khas yang diimport bagi menjaga kualiti buahnya.

"Memang buah yang mula keluar dari pokok akan dibalut. Lazimnya dengan kertas suratkhabar. Tetapi ia lebih berkualiti jika dibalut dengan pembalut khas yang dipasarkan oleh Jabatan Pertanian.

"Pembalut baru ini mempunyai lapisan dalam gelap, di hujungnya pula tersedia dengan dawai bagi memudahkan petani mengikat tangkai buah selepas dibalut dan hasilnya cukup memuaskan kerana ia (harumanis) nampak bersih dan segar," kata beliau.

Di samping itu, kata beliau, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Pertanian Negeri Perlis mendaftarkan nama harumanis Perlis sebagai harta intelek.

"Pendaftaran ini untuk mengesahkan bahawa harumanis yang berkualiti hanya mempelam dari Perlis berdasarkan kesesuaian muka bumi selain menjaga reputasinya.

"Menerusi pendaftaran harta intelek, barulah tindakan boleh diambil ke atas peniaga yang menjual mempelam jenis lain tetapi menggunakan nama harumanis," kata beliau.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tips tanam salad

Posted:

Tips tanam salad

Tips tanam salad


Salad sangat popular sebagai menu bagi mereka yang tidak mengambil makanan berasaskan daging.


SALAD (Lactuca sativa) dari famili Asteraceae mula ditemui di kawasan Timur Laut Tengah, Mesir.

Terdapat enam jenis varieti yang popular iaitu butterhead (L.sativa var. capitata), salad cina (L.sativa var.asparagina), crisphead, looseleaf (L.sativa var.crispa), romaine (L.sativa var.romana) dan summer crisp atau Batavian.

Selain sedap dimakan salad juga boleh dijadikan hiasan.

Ia juga mempunyai nilai perubatan seperti penawar kepada masalah insomia atau gangguan tidur.

Zat besi, kalsium,fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C. Magnesium dan zink pada salad mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai lactucarium yang bertindak sebagai sedatif.

Daun salad juga bertindak menenangkan dan melapangkan fikiran, sekali gus menghilangkan segala keresahan.

Daun ini juga kaya dengan karotin, serat dan air yang dapat menghilangkan rasa dahaga dan juga bertindak melancarkan sistem pernafasan.

Oleh yang demikian, salad dikatakan sejenis sayuran antioksidan.

Penanaman

*Sesuai ditanam di kawasan yang agak sejuk

*pH yang sesuai ialah 5.5 -6.5

*Boleh ditanam menggunakan biji benih

*Boleh ditanam terus atau disemai terlebih dahulu di dalam talam (tray) semaian

*Naungan/teduhan perlu terutama di peringkat semaian iaitu dari mula disemai hingga hari ke-10.

*Kurangkan naungan dua atau tiga hari sebelum mengubah untuk memberikan penyesuaian kepada anak semaian. Daun-daun kelapa boleh digunakan sebagai naungan.

*Sediakan batas dan gaul dengan bahan organan (tahi ayam berproses)

*Selepas dua minggu, pindahkan anak benih semaian ke atas batas

*Jarak yang disyorkan ialah 20 sm antara pokok dan antara baris.

Pengairan

*Pengairan dilakukan dua kali sehari iaitu pagi dan lewat petang menggunakan air yang bersih tanpa klorin kecuali pada musim hujan.

*Pengairan boleh dilakukan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis.

Pembajaan

*Pembajaan awal dilakukan sewaktu penyediaan batas iaitu dengan menggaulkan bahan organan dan kompos sewaktu menggembur tanah.

*Jika menggunakan kaedah tanam terus, selepas dua minggu tabur baja organan sebanyak 10 gram di sekeliling setiap pokok

*Pembajaan kali kedua dilakukan pada minggu ke-4. Baja organik ditaburkan di sekeliling batas sebanyak 20 gram. Gembur tanah agar tidak padat.

Kawalan rumpai

*Rumpai yang tumbuh di atas batas dan di antara pokok perlu dibuang bagi mengurangkan persaingan nutrien dan cahaya matahari.

*Rumpai yang tumbuh di luar batas boleh dimesin dengan mesin pemotong rumput.

Kawalan perosak, penyakit

*Biasanya salad jarang diserang oleh perosak mahupun penyakit.

*Serangga perosak tidak suka makan salad kerana getah pada daun salad adalah pahit. Oleh kerana sifat itu, salad boleh dijadikan sebagai tanaman repellent (penghalau serangga perosak).

*Penyakit kulapuk downy dan reput pangkal sering menyerang tanaman salad. Ini adalah disebabkan oleh saliran tanah yang teruk.

*Cara kawalan yang boleh dibuat ialah buang tanaman yang telah diserang dan perbaiki saliran tanah kawasan tersebut.

*Buat racun organik menggunakan campuran bunga Marigold (bunga tahi ayam) yang telah dikisar halus, air dan sedikit sabun. Sembur pada pokok yang berpenyakit.

Penuaian

*Tuai pada minggu ke enam atau ketujuh selepas diubah ke batas (kaedah semaian)

*Tuai pada minggu ke 8-9 jika menggunakan kaedah tanam terus.

*Potong bahagian batang yang hampir dengan tanah. Akar tanaman dibiarkan mereput di dalam tanah.

*Penuaian elok dilakukan pada awal pagi atau lewat petang bagi mengurangkan 'stres' pada tanaman yang boleh menyebabkan tanaman cepat layu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved