Utusan Online - Utara |
- Kaji semula pemberian bazar Ramadan
- Malam Kilauan Cahaya Istana Arau meriah
- Usahawan bumiputera perlu kreatif, berani
Kaji semula pemberian bazar Ramadan Posted: 01 Jun 2014 01:01 PM PDT Oleh SAFINA RAMLI ALOR SETAR 1 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO Kedah mahu Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengkaji semula sistem pemberian tapak perniagaan bazar Ramadan pada masa depan bagi membanteras kegiatan menjual tapak pada harga yang tidak masuk akal. Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ia penting bagi memastikan hanya mereka yang betul-betul mahu berniaga sahaja mendapat tapak perniagaan yang ditawarkan agensi berkenaan. "Kami ada menerima laporan mengenai aktiviti tidak sihat ini membabitkan segelintir peniaga bazar Ramadan yang tidak jujur dan menjual semula tapak mereka dengan harga tinggi demi mahu mengaut keuntungan mudah. "Perkara ini sudah lama berlaku namun semakin ketara pada tahun ini. Bayangkan, sebuah tapak bazar Ramadan yang ditawarkan oleh MBAS pada harga RM3,000 sebelum ini kini dijual pada harga RM11,000 hingga RM13,000 kepada peniaga. "Keadaan ini jika tidak dikawal bukan sahaja menidakkan hak orang lain yang layak untuk mendapat peluang berniaga malah tempiasnya mungkin dirasai pengguna melalui peningkatan harga barangan dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Menurut Shaiful Hazizy, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kegiatan itu dipercayai didalangi sekumpulan peniaga bazar Ramadan sendiri yang memohon beberapa tapak menggunakan nama berbeza. "Golongan ini sangat licik dan merancang kegiatan itu dengan teliti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Kini selepas permohonan diluluskan mereka kini giat melobi peniaga-peniaga lain dan menawarkan tapak perniagaan dengan harga yang berkali-kali ganda," ujarnya. Katanya, pihaknya berharap MBAS lebih bertegas bagi memastikan perkara berkenaan tidak berulang semula pada masa hadapan sekali gus meredakan perasaan tidak puas hati kepada peniaga lain yang mengharapkan peluang untuk menambah pendapatan semasa bulan Ramadan. "Kita harap tahun depan, MBAS dapat perketatkan syarat permohonan tapak perniagaan bazar Ramadan selain mengkaji latar belakang pemohon sama ada mempunyai kaitan dengan pemohon-pemohon lain atau tidak. "Pada masa yang sama pemantauan juga perlu dilakukan di tapak-tapak bazar Ramadan yang disediakan bagi memastikan hanya peniaga yang diberikan permit sahaja dibenarkan berniaga di tapak berkenaan," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Shaiful Hazizy turut meminta agar pihak berkuasa tempatan di negeri itu dapat memperluaskan kawasan bazar Ramadan sedia ada di samping memberi lebih peluang kepada golongan muda. "Setiap tahun banyak kawasan perumahan baharu dibuka di seluruh negeri ini sekali gus menyaksikan permintaan terhadap bazar Ramadan semakin meningkat dalam kalangan masyarakat setempat. "Pada masa yang sama, sediakan juga peluang perniagaan kepada golongan muda yang berminat untuk berniaga memandangkan peluang yang ditawarkan ketika ini agak terhad," katanya. |
Malam Kilauan Cahaya Istana Arau meriah Posted: 01 Jun 2014 01:01 PM PDT TUANKU Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan) berkenan bergambar bersama pengunjung yang hadir di Galeri Istana Arau ketika hari terakhir Malam Kilauan Cahaya Istana Arau sempena Hari Keputeraan Ke-71 Raja Perlis di Istana Arau, Perlis, malam semalam. ARAU 1 Jun - Kegembiraan rakyat yang berpeluang masuk ke Galeri Diraja sempena Malam Kilauan Cahaya Istana Arau menjadi berganda apabila Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat sama malam tadi. Baginda juga berkenan untuk beramah mesra dengan rakyat yang ingin melihat wajah baginda dengan lebih dekat. Selain itu orang ramai juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan gambar kenangan bersama dengan baginda. Pengunjung juga berpeluang melawat Galeri Diraja yang memaparkan banyak barangan sejarah istana. Galeri ini dibuka kepada awam pada Malam Kilauan Cahaya Istana Arau yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis. Malam Kilauan Cahaya Istana Arau telah diadakan pada 23 dan 24 Mei lalu yang dikendalikan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis manakala pada 30 dan 31 Mei pula oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mulai pukul 9 malam hingga 11.30 malam. Kawasan istana yang dihiasi cantik dengan lampu bergemerlapan ini menjadi tumpuan ribuan rakyat yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini. Selain itu juga diadakan acara panorama mistik cahaya dan persembahan kebudayaan. Turut diadakan pertunjukan bunga api sebagai mengakhiri acara. Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang menyediakan barangan elektrik seperti televisyen LED, ketuhar, kipas angin, seterika serta hamper barangan makanan. |
Usahawan bumiputera perlu kreatif, berani Posted: 01 Jun 2014 01:01 PM PDT SHABUDDIN Yahaya (dua dari kanan) memegang salah satu produk keluaran bumiputera semasa menghadiri majlis perasmian Ekspo Usahawan Bumiputera 2014 di Kubang Menerong, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kelmarin. TASEK GELUGOR 1 Jun - Sikap kreatif dan berani meneroka pasaran baharu perlu ada dalam diri usahawan bumiputera di negeri ini. Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Shabudin Yahaya berkata, langkah itu perlu agar usahawan bumiputera lebih kompeten dan berdaya saing dalam meningkatkan dan menambahkan keupayaan mereka. "Hanya dengan ini, penyertaan bumiputera dalam pembangunan ekonomi akan menjadi lebih berkesan dan mapan. "Usahawan bumiputera juga perlu meningkatkan jaringan kerjasama sesama sendiri kerana semua bentuk produk dan perkhidmatan yang diperlukan masyarakat dapat disediakan oleh mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PenBEX) 2014 di Dataran Transformasi Usahawan di Kubang Menerong dekat sini, semalam. Lebih 350 usahawan dan 50 jabatan dan agensi kerajaan menyertai PenBEX bermula semalam hingga 8 Jun ini. Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, bidang keusahawanan merupakan bidang yang luas untuk diterokai dan mampu menjanjikan pulangan yang lumayan. Katanya, walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi tetapi usahawan perlu kreatif dan inovatif dalam meminimumkan risiko dan meluaskan potensi produk. "Usahawan juga perlu meneroka bidang keusahawan baru, kaedah pembungkusan produk, perkhidmatan terkini, strategi pemasaran dan pasaran baharu termasuk menggunakan medium internet," katanya. Shabudin yakin ekspo ini merupakan sebuah landasan yang boleh membimbing usahawan untuk memantapkan produk dan perkhidmatan ke arah menjayakan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera di negeri ini. Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Usahawan dan Koperasi Bumiputera negeri, Muhamad Farid Saad berkata, PenBEX kali ini menyasarkan 100,000 pengunjung dengan penjualan RM2 juta. Menurutnya, PenBEX tahun lalu mencatat jualan RM1.4 juta dengan 85,000 orang pengunjung. Katanya, pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan PenBEX seperti pameran dan jualan, bengkel keusahawanan, pertandingan sukan rakyat, dan persembahan hiburan oleh beberapa artis terkenal. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan