Isnin, 2 Jun 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kembara Berakit saksi keindahan alam

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Salah satu pasukan yang menyertai program Kembara Berakit Sungai Pahang tiba di Jeti Pekan

MARAN 2 Jun - Menyusuri Sungai Pahang merupakan pengalaman berharga bagi mereka yang mahukan kelainan dalam pengembaraan kerana dapat menyaksikan keindahan alam sekitar selain menyelami kehidupan masyarakat yang tinggal di tebing sungai.

Keunikan yang ada pada khazanah alam itu menyaksikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri menganjurkan program Kembara Berakit Sungai Pahang sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 Mei lalu.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin di Dataran Esplanade, Temerloh yang menyaksikan 210 peserta tempatan dan antarabangsa menyusuri Sungai Pahang sejauh 69 kilometer dengan rakit tradisional.

Aktiviti itu merupakan kesinambungan penganjuran ekspedisi berakit Sungai Pahang yang telah dianjurkan sejak 2001 oleh kerajaan negeri.

Ekspedisi berkenaan membabitkan tiga hentian iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Guai dan Kampung Baru Bor, Bera serta berakhir di Jeti Lama Chenor di sini.

Setiap hentian memaparkan aktiviti penduduk kampung dengan acara disediakan antaranya pertandingan memukat dan menjala, pengkisahan malam unggun api, demonstrasi masakan Pahang dan pertandingan masakan ikan patin serta ayam kampung.

Pemilihan Jeti Lama Chenor sebagai lokasi terakhir kembara berkenaan amat tepat kerana buat pertama kalinya tempat itu mengumpulkan pencinta budaya dan peserta berkenaan bagi mengimbau pengalaman silam masyarakat terdahulu.

Chenor bukan sebarang destinasi kerana di sini tercatat pelbagai halaman bertulis dan lisan sejarah silam keagungan masyarakat Melayu Pahang seperti pertabalan Sultan Ahmad I di Kampung Raja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail berkata, di sini munculnya ramai pahlawan Pahang yang memberi aspirasi kepada kehidupan masyarakat merdeka tanpa dijajah.

Menurutnya, dalam era moden ketika ini siapa tidak kenal nasionalis Ibrahim Yaakob yang dilahirkan di Kampung Kertau atau penulis serta penyanyi lagu rakyat terkenal, Ariffin Said yang berasal dari Kampung Batu Bor.

"Bumi Chenor menjadi kediaman keturunan Wan pada zaman dahulu selaku pewaris keluarga bangsawan tetapi mereka hidup bersama rakan rakyat biasa tanpa garis pemisah dalam menongkah arus zaman," katanya ketika berucap dalam program penutup kembara berkenaan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pemilihan yang dibuat oleh JKKN negeri di lokasi itu amat tepat kerana dapat mempamerkan elemen kebudayaan dan jati diri masyarakat Melayu yang semakin terhakis akibat perubahan hidup masa kini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah JKKN, Mesran Yusop berkata, ekspedisi itu membawa peserta menikmati panorama alam yang terdapat di sepanjang sungai itu selain menyelami kehidupan masyarakat di tebing sungai.

"Mereka juga berpeluang menjalankan aktiviti memancing dan menjala ikan serta udang di atas rakit. Kalau bernasib baik mereka memperoleh ikan patin atau ikan jelawat liar dan jika dijual boleh mencecah harga ratusan ringgit sekilogram.

"Ini antara keistimewaan Sungai Pahang sejak zaman berzaman lagi dan generasi baharu jangan mudah lupa akan anugerah Allah yang membawa kemakmuran kepada rakyat dan Pahang," ujarnya.

Seorang penduduk Chenor, Khairul Amin Osman berkata, sejarah Jeti Lama Chenor di sini membuktikan tempat itu pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan penting daripada pedagang dahulu.

Menurutnya, kawasan itu perlu dibangunkan semula dengan bangunan lebih moden tanpa meminggirkan ciri-ciri tradisionalnya untuk tatapan pelancong dan generasi baharu mengenai sejarah kegemilangan lokasi berkenaan.

"Kegemilangan Chenor akan lebih terserlah jika kerajaan negeri dapat mengangkat martabat kawasan itu sebagai pekan budaya di Pahang kerana di sini sudah wujud elemen usaha memartabatkan kebudayaan Pahang yang terkenal itu," katanya.

Selain itu seorang peserta kembara berakit, Mohamed Azizuddin Ahmad berkata, dia teruja apabila disambut dipinggir sungai dan menikmati secawan air tebu yang diisi di dalam buluh.

Tambahnya, menikmati minuman di dalam bekas tersebut merupakan satu pengalaman menarik kerana amalan tersebut tidak lagi wujud pada zaman kini.

Sementara itu, dalam pertandingan rakit tercantik Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Bera dipilih sebagai johan dengan memenangi hadiah wang tunai RM2,000 manakala tempat kedua disandang Perbadanan Kraf Pahang (RM1,500) dan ketiga, Lembaga Pertubuhan Peladang (RM1,000).

Tingkatkan latihan belia Cina

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com

LAU Lee (tujuh dari kiri) dan Zulkifli Ya'acob (lapan dari kiri) bersama penduduk Tionghua sempena Kempen Kesedaran Empower ECERDC di Sungai Jan, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 2 Jun - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) diminta membantu menganjurkan lebih banyak latihan akademik dan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Cina berpendapatan rendah di daerah ini selaras dengan konsep 1Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, bantuan ECERDC itu diperlukan bagi menjana pusat pertumbuhan baharu di kawasan penempatan kaum itu berasaskan bidang ekonomi, sosial dan pembangunan modal insan.

Beliau berkata, masyarakat Cina di daerah ini turut mengharapkan ECERDC dapat menaik taraf kemudahan asas di penempatan mereka seperti di Kampung Damak, Kampung Batu Balai, Kampung Sungai Lekok dan Sungai Jan.

"Kerjasama antara ECERDC dan kerajaan negeri sudah tentu mampu membuahkan hasil terbaik bagi kesejahteraan penduduk kampung baru yang sebahagiannya adalah peniaga kecil dan petani.

"Salah satu aspek yang saya fikir sesuai bagi mencapai matlamat ini ialah dengan memperbanyakkan latihan keusahawanan dan akademik yang sinonim dengan peranan ECERDC," katanya kepada pemberita selepas menutup Kempen Kesedaran Empower ECERDC Jerantut di Sungai Jan, di sini kelmarin.

Yang hadir sama Pengarah Urusan Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia, Zulkifli Ya'acob.

Program sehari itu dihadiri 100 penduduk Tionghua dari kawasan penempatan kampung baharu daerah Jerantut.

Menurut Lee, bagi belia lepasan sekolah di kampung baharu, latihan berasaskan bidang automotif, pertanian dan pemprosesan produk makanan komersial secara moden dilihat sesuai bagi golongan tersebut.

Katanya, ini memandangkan belia Cina lebih gemar bekerja di kedai membaiki motosikal dan kenderaan tanpa latihan sistematik bagi mengutip pengalaman sedangkan ini menyebabkan mereka menerima upah yang rendah.

"Dengan pendekatan latihan bersistematik dalam bidang automotif misalnya, belia Cina termasuk kaum lain dapat menimba pengetahuan dan pengalaman secara singkat dan berkesan serta lebih cepat memulakan perniagaan masing-masing.

"Begitu juga dalam sektor pertanian dan pemprosesan makanan, pendekatan secara tradisional yang didominasikan golongan agak berusia wajar diambil alih belia Tionghua berasaskan latihan program Empower ECERDC," katanya.

Kata Lee, usaha ECERDC ini dapat membantu para belia terutama mereka yang tidak mempunyai kelulusan baik dalam pelajaran untuk berdikari setelah peluang untuk menceburi pekerjaan makan gaji di sektor awam atau swasta seakan tertutup.

"Pihak saya akan memberi kerjasama dan bantuan lojistik kepada ECERDC untuk melaksanakan program tersebut yang terbukti membuahkan kejayaan dalam usaha membantu kerajaan membentuk pelajar cemerlang dan pengusaha yang berpendapatan tinggi," katanya.

Pelajar SMK Padang Tengku terima bimbingan UMP

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

BADRA Isa Abdul Hamid (duduk, lima dari kanan) dan Wan Nazrul Helmy Wan Mohd. Zain (duduk, empat dari kiri) bersama ahli Kelab In-Smartive UMP dan pelajar yang mengikuti program Kem Interaksi Pemimpin Muda di Kuala Lipis, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 2 Jun - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Kem Interaksi Pemimpin Muda (In-Team) melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tengku dekat sini bagi membentuk sahsiah dan keyakinan diri peserta ke arah kecemerlangan akademik.

Program musim cuti selama tiga hari dua malam itu dijayakan oleh Kelab In-Smartive UMP membabitkan 20 mahasiswa UMP dan 79 pelajar terdiri daripada pengawas dan ahli jawatankuasa asrama sekolah.

Majlis penutupan program dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Badra Isa Abdul Hamid kelmarin.

Yang hadir sama, Penasihat Kelab In-Smartive UMP, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd. Zain; Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Padang Tengku, Harinawati Hussain dan Presiden Kelab In-Smartive, Asraf Ahmad.

Sempena majlis berkenaan, Badra Isa turut menyampaikan anugerah peserta terbaik kepada Aqwa Afiq Sabri, 16, dan Nor Laili Razali, 17.

Bercakap kepada pemberita, Wan Nazrul Helmy berkata, modul interaksi In-Smartive yang dilaksanakan semasa program itu telah dirangka ke arah pembentukan nilai kepemimpinan, integriti serta menjana sahsiah remaja.

"Kita memfokuskan pelajar luar bandar di Padang Tengku kerana sekolah ini antara yang berpotensi di Lipis meliputi akademik, kokurikulum dan pembinaan insan selain kerjasama erat antara PIBG dengan pentadbir sekolah," katanya.

Menurut beliau, antara modul dirangka pensyarah dan mahasiswa UMP sempena program itu adalah Tak Kenal Maka Tak Cinta, Last Man Standing, D.I.C.E, The Burj, Sembang Santai, Halaqah Jiwa dan beberapa segmen lain.

Sementara itu, Badra Isa berkata, PIBG mengalu-alukan program motivasi dan pencernaan fikiran membabitkan kumpulan pelajar di luar bandar yang sangat menagih pengetahuan daripada pensyarah dan penuntut menara gading.

"Saya akui dan yakin modul In-Smartive merupakan transformasi pemikiran pelajar di sini ke arah berkeyakinan menzahirkan nilai sahsiah, integriti sebagai pelajar remaja sekali gus bersiap siaga menghadapi cabaran semasa belajar, kerjaya dan sebagai pemimpin masa akan datang," katanya.

Tambahnya, program itu juga antara kegiatan yang bermanfaat menambah nilai pembelajaran di sekolah di samping mengikut landasan yang betul berasaskan bidang pembangunan modal insan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved