Selasa, 3 Jun 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Sebak meruntun di tembok penjara

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEORANG banduan mencium tangan ibunya pada program Jalinan Kasih sempena Hari Ibu bersama penghuni Penjara Seremban.

SEREMBAN 2 Jun - Sebaik sahaja lagu Ibu, engkaulah ratu hatiku dinyanyikan sekumpulan penghuni Penjara Seremban di sini, sembilan ahli keluarga mereka berada di Dataran Penerimaan Penjara Seremban, mula sebak dan mengesat air mata.

Bukan itu sahaja, apabila lagu-lagu meruntun jiwa serta persembahan puisi dan lagu bertajuk Ibu yang disampaikan oleh penghuni penjara itu, masing-masing semakin sayu dan menggenggam erat anak dan suami yang turut serta berada di dataran berkenaan.

Inilah senario yang dapat disaksikan pada program Jalinan Kasih sempena Hari Ibu bersama penghuni Penjara Seremban yang bertemakan Juwita Ratu Hatiku yang diadakan di penjara berkenaan di Temiang baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Penjara Seremban, Mohd. Hafizey Yahaya serta pegawai kanan penjara berkenaan.

Lebih menjadikan program yang cuma beberapa jam itu terkesan apabila lagu bertajuk Biar bulan berbicara sendiri didendangkan, jelas terpancar perasaan tidak sabar ahli keluarga untuk memeluk dan berbual dengan anak yang dikasihi.

Sehinggalah kesemua ibu yang hadir dipanggil ke hadapan untuk memotong kek dan disuapkan oleh anak masing-masing, rindu untuk bersemuka dengan orang dikasihi ini terlerai sudah.

Menurut salah seorang penghuni penjara, Rosli (bukan nama sebenar), 46, yang menyampaikan ucapan mewakili rakan mereka, peluang bertemu dengan keluarga setelah sekian lama berada di penjara ini bagi menjalani hukuman amat dinantikan.

"Walaupun kehidupan kami dikelilingi tembok batu dan berpagar berduri serta terpisah jauh daripada keluarga, namun masih ada yang sanggup memberi simpati kepada kami.

"Kami menerima pemulihan dari segi mental, fizikal, akhlak dan moral, malah lebih terasa apabila Penjara Seremban mengizinkan kami bersemuka dengan ahli keluarga," katanya dalam ucapan di Penjara Seremban.

Rosli berasal dari Tanjung Malim, Perak menjalani hukuman dua tahun penjara atas kesalahan dadah merupakan bekas kerani sebuah bank dan terpisah dengan isteri sejak 2002 apabila terlibat dengan dadah pada usia 25 tahun.

"Kedua-dua anak saya, kini belajar di universiti dan kolej matrikulasi. Saya menyesal dengan perbuatan ini dan berjanji tidak akan melakukannya lagi," katanya yang empat kali dimasukkan ke dalam penjara atas kesalahan sama.

Sementara ibunya, Madiah Nos (bukan nama sebenar), 66, peluang bertemu anaknya itu amat dinantikan dan berdoa semoga dia tidak mengulangi semula kesalahan dadah.

"Saya sebak apabila melihat beliau berucap mewakili kawan-kawannya. Saya tidak mahu melihat dia kembali ke dalam penjara semula," katanya.

Dalam pada itu, Nathan (bukan nama sebenar), 39, yang mempunyai enam orang anak berkata, dia insaf selepas enam kali dimasukkan ke dalam penjara atas kesalahan dadah selepas ditahan di rumahnya di sini.

"Saya tinggal lima bulan lagi untuk menamatkan hukuman di penjara ini dan satu perkara membuatkan saya tidak mahu lagi terlibat apabila anak-anak menyuruh saya memikirkan kasih dan sayang yang sudah jauh. Mereka merindui saya.

"Apabila keluar kelak, mereka mahu saya membawa anak-anak makan ketam dan bercuti di Port Dickson. Saya tidak sabar menunggu masa untuk dibebaskan," katanya yang berasal dari Bahau.

Bagi Mohd. Afrat (bukan nama sebenar), 33, dari Petaling Jaya, Selangor, dia dimasukkan ke dalam penjara setelah didapati bersalah mencetak wang palsu di Port Dickson.

"Saya sebelum itu dimasukkan ke penjara Tapah, Perak dan baharu sebulan dipindahkan di penjara ini. Saya terperangkap dengan pujukan kawan dan akhirnya saya ditangkap kerana terlibat dalam sindiket wang palsu," katanya.

Tambahnya, apa yang berlaku ini satu pengajaran malah ini bukanlah cara betul untuk menjadi kaya.

Isterinya, Norashikin, 30, sentiasa memberikan semangat dan menunggu kepulangannya kelak selepas selesai menjalani hukuman sehingga 2017.

Bagi Lim, 33, yang menerima hukuman enam tahun kerana kesalahan merompak berkata, dia terharu kerana dikunjungi oleh nenek, ibu, abang dan anak buahnya dalam program Hari Ibu ini.

"Siapa pun akan merasa sebak dan gembira. Begitulah juga ibu saya dan berada dalam penjara ini memberi banyak pengajaran. Saya telah melakukan kesalahan dan menerima hukuman. Ini tidak akan saya ulangi lagi," katanya yang berasal dari Jinjang, Kuala Lumpur.

Di akhir pertemuan di penjara ini, cukup jelas menunjukkan raut wajah kegembiraan ibu dan anak-anak mereka, malah detik bersemuka ini telah digunakan secukupnya sehinggalah dikejutkan pegawai penjara apabila memaklumkan, "kepada ahli keluarga dan penghuni anda ada masa 10 minit sahaja lagi."

Penulis meninggalkan mereka melengkapkan baki 10 minit dengan pelukan dan genggaman tangan yang sukar untuk dilepaskan. Benarlah kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Jangan kecewakan hati ibu bapa selepas bebas

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

MOHD. Hafizey Yahaya (berdiri, dua dari kanan) beramah mesra dengan banduan dan ahli keluarga mereka ketika menghadiri program Jalinan Kasih sempena Hari Ibu di Temiang, Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 2 Jun - Bersemuka dengan ibu dan ahli keluarga bagi penghuni penjara adalah satu nikmat yang patut disyukuri kerana ia jarang dilakukan.

Timbalan Pengarah Penjara Seremban, Mohd. Hafizey Yahaya berkata, ini adalah inisiatif pihak penjara untuk memberikan kesejahteraan keluarga dalam kalangan penghuni supaya kehadiran itu memberikan motivasi untuk pemulihan mereka ketika berada dalam hukuman.

"Apabila bebas kelak, hayati dan renunglah wajah ibu bapa serta keluarga anda sementara masih berkesempatan dan jagalah hati mereka dan jangan sesekali mengecewakan hati mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jalinan Kasih sempena Hari Ibu bersama penghuni Penjara Seremban bertemakan Juwita Ratu Hatiku yang diadakan di penjara berkenaan di Temiang, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, majlis tersebut adalah program pemulihan yang dijalankan oleh Jabatan Penjara untuk semua penghuni yang layak dan dipilih berdasarkan kelakuan baik serta tidak pernah melanggar peraturan penjara sepanjang berada di sini.

"Penghuni harus memanfaatkan peluang yang ada kerana pertemuan bersemuka begini jarang dilakukan kepada setiap perjumpaan penghuni dengan keluarga adalah melalui telefon di Tempat Perjumpaan Penjara sahaja.

"Bagi ahli keluarga penghuni pula, berikanlah mereka peluang untuk berubah dan menerima mereka semula dengan hati terbuka," katanya.

Pada masa sama, Mohd. Hafizey menyeru semua penghuni penjara supaya insaf dan tidak mengulangi kesilapan lampau sehingga menyebabkan kebimbangan dan keresahan dalam keluarga.

"Kesejahteraan keluarga anda semua adalah melalui keinsafan diri anda. Jika anda berjaya mengharungi liku-liku kehidupan di luar penjara dengan baik apabila dibebaskan kelak, ia adalah keinsafan sebenar yang amat diharapkan oleh ahli keluarga masing-masing," katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, beliau berkata, terdapat sejumlah 695 penghuni Penjara Seremban ketika ini di mana majoritinya melibatkan kesalahan dadah tegar.

"Kita memberikan pemulihan kerana konsep lalu seperti tahan dan dera sudah tidak diamalkan lagi dalam penjara, sebaliknya ia menggunakan pendekatan tahan dan pulih supaya program yang dijalankan itu benar-benar memberi impak apabila penghuni dibebaskan kelak.

"Maka empat fasa telah dilalui penghuni di bawah Program Pembangunan Insan iaitu orientasi seperti kawad, insan berkaitan didikan agama dan nilai murni, kemahiran untuk melengkapkan mereka dalam asas jati diri seperti bertukang, dobi, menjahit dan akhir sekali ialah pra bebas di mana penghuni menyertai aktiviti bersama masyarakat," katanya.

Menurut beliau, adalah diharap penghuni yang dibebaskan mampu merubah cara kehidupan dan bersama-sama dalam masyarakat membina kehidupan baharu yang lebih tersusun dan baik bersama ahli keluarga masing-masing.

Pemikiran songsang perlu diketepi

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

MOHAMAD Hasan (depan, kiri) bersama jemaah mendengar ceramah Israk Mikraj yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki as Sanusi di Masjid Kompleks Pusat Islam Rantau, Seremban, malam semalam.

SEREMBAN 2 Jun - Peradaban dan pemikiran songsang perlu diketepikan dalam menghalakan umat Islam ke jalan yang benar apatah lagi ketika dunia sedang menghina agama suci ini selepas dianggap sebagai ancaman besar kepada sejagat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemahaman yang betul serta petunjuk yang diberikan dalam al-Quran dan sunah hendaklah dipatuhi supaya stigma kebimbangan dan penghinaan dunia terhadap Islam dapat dikikis.

"Kita harus melihat bagaimana agama Islam yang suci ini dimomokkan dengan kisah buruk kononnya ia merupakan ancaman kepada dunia keseluruhannya.

"Lebih mendukacitakan selepas kejadian 11 September 2001 di empat siri serangan termasuklah Menara Berkembar World Trade Center (Pusat Dagangan Dunia) di Bandar Raya New York, pertuduhan negatif terhadap agama Islam semakin menebal, katanya.

Mohamad berucap dalam majlis sambutan Israk Mikraj di Masjid Kompleks Pusat Islam Rantau, dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, isteri beliau, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin; Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Mohd. Shukor Sabudin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Selamat Paigo; Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Kamal Amran Kamarudin serta beberapa ketua jabatan.

Ceramah Israk Mikraj telah disampaikan oleh ahli MAINS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Akidah majlis berkenaan, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki as Sanusi.

Kata Mohamad, agama Islam di negara ini juga sedang terancam akibat kecetekan ilmu serta pembawaan pemikiran sendiri tanpa merujuk kepada pakar dalam mengeluarkan sesuatu hujah.

"Kita sendiri yang melakukan perpecahan ini. Perpaduan umat Islam adalah benteng terakhir dalam memastikan negara ini terus kekal harmoni dan terbela, ujarnya.

Sementara itu, Syeikh Muhammad Fuad dalam ceramahnya menyatakan, adalah mendukacitakan apabila umat Islam hari ini menilai ilmu seseorang bukan berdasarkan kepada kebenaran sebaliknya melalui kepetahan berbicara.

Maka, sebab itulah banyak hujah yang tidak betul keluar dari mereka yang tidak berilmu dan dibimbangi menuju ke arah pemahaman yang tidak betul.

"Sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu, apatah lagi agak-agak dan kemudian betul, ia tetap salah. Jadi selidiklah betul-betul apabila bercakap mengenai fatwa kerana apa yang kita keluarkan itu adalah hukum bagi sesuatu perkara, ujar beliau yang juga Ahli Majlis Fatwa negeri.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved