Selasa, 3 Jun 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kempen keselamatan di Bentong

Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT

Oleh Zamzurina Ahmad
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Kakitangan Allianz Malaysia dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya mengedarkan pelekat keselamatan kepada pengguna jalan raya semasa Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya peringkat daerah di Dataran Tras, Bentong, baru-baru ini. - IHSAN/JKJR

BENTONG 3 Jun - Sebanyak 600 pelekat keselamatan untuk penunggang motosikal diedarkan pada Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya peringkat daerah yang berlangsung di Dataran Tras, di sini baru-baru ini.

Kempen dengan kerjasama syarikat insurans, Allianz Malaysia dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu turut mengedarkan 50 topi keledar kepada penunggang motosikal terpilih.

Pengurus Allianz Malaysia Temerloh, Nazaruddin Ab. Majid berkata, kempen terbaharu ini sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memberi kesedaran keselamatan jalan raya terutama kepada penunggang motosikal.

"Pengedaran 600 pelekat reflektif ini diharapkan dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal terutama pada waktu malam.

"Selain itu, 50 penunggang motosikal yang menggunakan topi keledar tidak selamat sama ada lama atau tidak diluluskan pihak berkuasa juga menerima topi keledar baharu," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Menurut Nazaruddin, dalam kempen berkenaan, 20 buah kerusi khas untuk keselamatan kanak-kanak di dalam kereta turut diedarkan.

"Di samping itu, 10 pengguna kenderaan bermotor pertama tiba di kempen itu turut diberikan pelan 'Enhanced Road Warrior' selama setahun secara percuma, produk yang menggabungkan bantuan termasuk menunda sehingga 600 kilometer sekiranya berlaku kerosakan kenderaan dan juga perlindungan insurans.

"Keselamatan adalah keutamaan dan kami percaya adalah penting untuk mendidik orang ramai mengenai keselamatan jalan raya dan memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran terhadap keselamatan," jelasnya.

Katanya, Allianz Malaysia secara aktif telah mempromosikan keselamatan jalan raya melalui kerjasama dengan pihak JKJR dan sebanyak 88 kempen advokasi telah diadakan di seluruh negara dengan 400 kakitangan Allianz terlibat dalam kempen ini.

Lebih 600 sertai Larian Amal Universiti Malaysia Pahang untuk bantu anak yatim

Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT

Lebih 600 peserta dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama anak-anak yatim mengambil bahagian dalam program Larian Amal Penyayang di sekitar kampus UMP Pekan, baru-baru ini.

KUANTAN 3 Jun - Lebih 600 peserta dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama-sama dengan anak-anak yatim mengambil bahagian dalam program Larian Amal Penyayang di sekitar kampus UMP Pekan, baru-baru ini.

Program anjuran Kelab Penyayang dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP itu bertujuan mengumpul dana, selain menjalinkan hubungan erat antara warga universiti dengan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Permata Camar, Permata Insyirah dan Rumah Amal Hembusan Kasih Sayang.

Pengarah program, Fatin Nabila Sazali berkata, untuk menceriakan lagi anak-anak yatim itu, pelakon, Fauzi Nawawi dan Betty Benafe turut memeriahkan Bicara Santai Bersama Selebriti.

Katanya, antara yang dikongsikan dua artis berkenaan adalah amalan budaya hidup sihat iaitu sentiasa bijak meluangkan masa untuk tampil sihat, cergas dan merencana masa depan untuk berjaya dalam kehidupan.

"Penganjuran program ini merupakan sebahagian usaha menyemai budaya prihatin dalam kalangan mahasiswa UMP untuk mendekatkan diri dengan masyarakat dan golongan kurang bernasib baik.

"Mereka memerlukan kasih sayang dan dorongan menuju ke arah kehidupan yang lebih baik dan sebagai mahasiswa, kami terpanggil memberikan harapan dan semangat kepada mereka untuk menjadi cemerlang," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, sebanyak RM3,500 berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai termasuk warga UMP yang disampaikan Pengarah Pusat Kokurikulum UMP, Ramle Abid untuk diserahkan kepada ketiga-tiga rumah anak yatim tersebut.

Kuantan 160 dapat sambutan

Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT

Shafik Fauzan Sharif (dua dari kanan) diiringi Idros Yahya (kanan) beramah mesra bersama peserta Kuantan Century Ride di Padang MPK 1, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 3 Jun - Sejak mula diperkenalkan pada 2012, penyertaan peserta dalam acara kayuhan basikal yang terbesar di Pantai Timur, Kuantan Century Ride (Kuantan 160) sentiasa meningkat setiap tahun.

Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Idros Yahya berkata, jumlah peserta yang menyertai acara itu pada tahun ini adalah 2,147 berbanding 1,911 (2013) dan 780 (2012).

"Jumlah negara yang menyertai acara ini juga meningkat pada setiap tahun iaitu 13 pada 2012, 23 (2013) dan 25 (2014).

"Jadi, kita berharap Kuantan 160 ini akan terus mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pengayuh-pengayuh tegar bukan sahaja di dalam negara ini, malah di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penutupan Kuantan 160 yang diadakan sempena memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014 di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, di sini kelmarin.

Pada sebelah pagi, pelepasan peserta disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Sementara itu, Idros berkata, Kuantan 160 bukan acara lumba basikal tetapi diadakan bagi menggalakkan sukan berbasikal, mempromosi gaya hidup sihat, memperkenal destinasi serta meningkatkan sosioekonomi di negeri ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved