Utusan Online - Feminin |
Posted: 02 Jun 2014 08:14 PM PDT Oleh mariatul qatiah zakaria Hartini Halim menunjukkan teknik rawatan Carbon Assist Facial. KULIT muka berminyak dan liang roma atau pori-pori terbuka merupakan antara masalah yang sering menghantui wanita. Masalah ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti pemakanan yang tidak seimbang atau tidak betul, perubahan hormon, tekanan, dan perubahan cuaca. Walaupun boleh disembunyikan dengan penggunaan alat solek, ia masih boleh menjejaskan kecantikan wajah. Untuk itu, dalam usaha mengatasi masalah tersebut, banyak spa-spa kecantikan yang menawarkan perkhidmatan untuk mengecilkan pori serta membebaskan kulit daripada berminyak. Pemilik Tini's Spa Beauty Slimming, Hartini Halim, 35, berkata, masalah kulit berminyak serta pori-pori terbuka berkait rapat antara satu sama lain. Katanya, bagi membantu wanita yang mempunyai masalah tersebut, dia menawarkan rawatan Carbon Assist Facial. Tambahnya lagi, rawatan tersebut yang menggunakan teknik cahaya dari Korea, merupakan teknik yang sangat berkesan dan selamat. "Ini kerana selain dapat memberi kesan serta merta, teknik ini juga dapat meningkatkan keanjalan dan meningkatkan kolagen kulit, serta menjadikan warna kulit muka lebih sekata. "Apa yang pasti, rawatan yang berharga RM380 ini mampu mengembalikan keyakinan diri masing-masing," ujarnya ketika ditemui di spanya yang terletak di G17, Jalan Dagang B/3A, Taman Dagang, Ampang, Selangor. Berbicara lanjut mengenai rawatan Carbon Assist Facial, Hartini menjelaskan penggunaan gel karbon dengan bantuan teknik cahaya dapat menghaluskan permukaan kulit wajah. Katanya lagi, rawatan yang mengambil masa kira-kira satu jam itu, akan menarik keluar segala kotoran yang terdapat pada kulit muka dan pada masa yang sama mengecilkan pori-pori. Hasilnya sudah boleh kelihatan walau dengan sekali rawatan, namun dia menasihatkan agar ia diteruskan sehingga sekurang-kurangnya lima kali rawatan (minimum). "Bagi mendapatkan hasil yang lebih baik, pelanggan digalakkan mendapatkan rawatan sehingga 10 kali sebelum disusuli dengan rawatan sebulan sekali. "Lagi pun rawatan tersebut tidak hanya terhad kepada mereka yang bermasalah dengan kulit berminyak serta pori-pori terbuka, tetapi ia juga sesuai untuk mereka yang mengalami masalah kulit lain seperti jerawat yang serius, kulit muka kusam, dan kulit muka yang kurang anjal," katanya. Beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 8 malam, kepada mereka yang ingin mendapatkan rawatan juga dinasihatkan agar membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang masalah. Kepada pembaca-pembaca Mega yang membawa artikel ini ke Tini's Spa akan mendapat rawatan Carbon Assist Facial pada harga istimewa, RM88 sahaja. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang www.tinispa.com.my. |
Nurul Huda perkenal jenama sendiri Posted: 02 Jun 2014 08:14 PM PDT Oleh MERAN ABU BAKAR Nurul Huda Ibrahim menunjukkan koleksi baju yang terdapat di Butik Waffiya yang terletak di Shah Alam, Selangor. BERCAKAP mengenai baju muslimah, semua mengetahui bahawa ia sudah semestinya menutup aurat, labuh, longgar, warna-warna yang tidak terlalu terang dan paling penting, si pemakai nampak sopan. Tidak semestinya jubah hitam, baju kurung atau dres, fesyen baju muslimah sebenarnya mempunyai pengertian yang lebih luas bergantung di mana anda hendak memakainya. Contohnya jika mahu ke majlis atau pejabat, jubah, dres labuh atau baju kurung memang sesuai. Namun jika anda hendak melakukan tugasan di luar pejabat, ke luar daerah, membeli-belah atau bercuti, sudah tentu anda mahukan pakaian yang sesuai dan selesa. Memikirkan kehendak muslimah golongan muda, Nurul Huda Ibrahim, 31, memberanikan diri mengeluarkan fesyen baju Muslimah di bawah label beliau sendiri, iaitu Wafiyya by Dollscarf. Sebagai pengeluar, beliau sendiri yang membuat rekaan, menjahit dan seterusnya menjual. Bertemu dengan Nurul Huda di butiknya di Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7, Shah Alam baru-baru ini, beliau berkata, sebagai seorang Islam, sudah menjadi tanggungjawabnya bagi menyediakan pakaian yang sesuai dengan masyarakat Islam dan mengikuti garis panduan yang ditetapkan. "Saya menyedari bahawa terdapat pengeluar baju Muslimah yang bukan Islam. Jika mereka boleh membuat pakaian muslimah, mengapa kita sebagai orang Islam tidak boleh melakukannya kerana kita lebih memahami kehendak agama dalam berpakaian. "Semua rekaan baju yang terdapat di Wafiyya seperti baju-t labuh lengan panjang, jubah daripada kain baju-t, skirt dan seluar palazzo saya reka sendiri. Setiap minggu pasti terdapat rekaan baru dan dalam seminggu saya dapat menghasilkan lima rekaan. "Kesemua rekaan ini menggunakan kain baju-t daripada seratus peratus kapas dan kapas lycra yang tidak bercorak atau yang bercorak bunga, abstrak dan geometri. Apa yang pasti setiap rekaan adalah labuh menutup punggung dan longgar," kata Nurul Huda yang memiliki Ijazah Kreatif Multimedia daripada Universiti Multimedia, Cyberjaya. Beliau menambah, bagi setiap rekaan yang eksklusif dan terhad ini pula akan dibuat sebanyak 300 helai baju dan dalam seminggu sebanyak 1,500 baju dapat dikeluarkan. Pada masa ini, Wafiyya katanya, sudah menghasilkan 186 rekaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan berumur antara 17 tahun sehingga 35 tahun. Menurut beliau, corak baju sentiasa akan ditukar dan beliau tidak mengulang corak yang sama untuk sesuatu rekaan. Pelanggan tetap juga sering memberikan pandangan mengenai rekaan dan corak yang sedang disukai pada masa sekarang. Cara penjagaan yang mudah turut menarik hati pelanggan untuk membeli. Bagi mendapatkan stok kain dengan corak-corak terkini, beliau sendiri akan ke China setiap tiga bulan sekali dan akan membeli sebanyak 200 gulung kain. Jelas ibu kepada seorang anak, Armandsyah Gazi, 4, bagi menjual dan memasarkan baju yang dikeluarkan, beliau mempunyai seramai 50 orang stokis yang aktif di seluruh negara dan ejen tanpa modal yang mengedarkan gambar baju kepada pelanggan yang kemudian memesan mengikut kod dan setelah pembayaran dibuat, baju akan dipos terus kepada pelanggan. Bagi menjadi stokis pula kata beliau, seseorang itu hanya perlu membeli secara borong sebanyak 100 helai baju dan ke atas dan akan mendapat diskaun sebanyak 40 peratus. Stokis yang ada pada masa ini berjaya menjual sehingga 1,000 helai baju seminggu dan beliau tidak menghadapi masalah bagi menjual stok yang ada. Beliau turut menggalakkan pelanggan untuk membeli secara borong dan memulakan perniagaan sendiri di kedai atau butik. Ini berdasarkan daripada pengalaman beliau sendiri yang pada awalnya menjadi ejen tanpa modal dan pernah menjual jenama orang lain. Melalui usaha gigih, akhirnya pada tahun 2013, beliau berjaya membina nama sendiri dan memulakan perniagaan ini. Mempunyai seramai 10 orang pekerja, pengeluaran baju dibuat di kilang beliau yang juga terletak di Shah Alam. Kualiti jahitan dan potongan sentiasa dipantau bagi memastikan setiap helai yang dihasilkan memuaskan hati pelanggan. Berharga di antara RM49 sehingga RM139 sehelai, Nurul Huda menambah, pelanggan yang ingin membeli secara runcit juga boleh membeli sendiri dengan melawat butiknya yang menyediakan beratus-ratus koleksi yang mengikut kehendak pelanggan. "Walaupun sasaran utama saya ialah golongan sederhana namun semua boleh memakai dan disuai padankan mengikut keselesaan. Contohnya baju-t labuh Wafiyya boleh dipakai bersama skirt labuh, seluar palazzo dan jeans dan jika digayakan bersama aksesori, si pemakai nampak bergaya dan menarik. "Bagaimanapun dalam masa terdekat ini, saya akan mengeluarkan pula fesyen yang lebih moden kontemporari bagi golongan wanita yang mahukan gaya yang lebih eksklusif," kata anak sulung daripada empat beradik ini lagi.Mengenai saingan, tambah Nurul Huda yang berasal dari Johor ini, terdapat pengeluar pakaian muslimah bukan Islam yang menggunakan nama Melayu yang mengaut keuntungan daripada perniagaan tersebut. Untuk itu, beliau tidak mahu pelanggan terkeliru dan mereka harus bijak memilih pakaian muslimah daripada pengeluar Islam sendiri. Berminat dengan rekaan Wafiyya, anda boleh menghubungi 03-33591719 atau sales@dollscarf.com |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan