Selasa, 3 Jun 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Kolej vokasional diperluas

Posted: 01 Jun 2014 01:00 PM PDT

Zainuren Mohd. Nor menyampaikan anugerah cemerlang SPM 2013 kepada seorang pelajar Kolej Vokasional Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PENUBUHAN kolej vokasional kian diperluas termasuk di daerah setiap negeri bagi memastikannya dapat diakses dengan mudah oleh pelajar luar bandar, kata Timbalan Pengarah Pengoperasian Sekolah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan, Zainuren Mohd. Nor.

Menurut beliau, dengan perluasan itu akan memastikan tiada istilah pelajar tercicir atau terkecuali daripada menikmati kemudahan pendidikan berasaskan kemahiran yang menepati keperluan pasaran kerja dan pihak industri.

"Program pengajian yang ditawarkan di kolej vokasional berdasarkan kehendak semasa pemain industri dan sebelum menamatkan pengajian mereka akan menjalani latihan industri bagi memantapkan lagi ilmu kemahiran sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

"Pada masa sama, pelajar turut dibekalkan dengan kemahiran akademik, kendiri dan sebagainya bagi memastikan mereka dibekalkan dengan ilmu secukupnya," katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Cemerlang Kolej Vokasional Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kolej Vokasional Setapak, Ruslan Zainudin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kolej itu, Datuk Dr. Badaruddin Nordin.

Selain meraikan 30 pelajar kolej tersebut yang berjaya mendapat keputusan 5A, 6A dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013, majlis itu turut meraikan pensyarah dan pelajar kolej yang cemerlang dalam kursus masing-masing.

Tegas Zainuren, selain mengkhususkan program pengajian yang berkualiti, kerajaan turut mengambil inisiatif mempelbagaikan kerjasama dan melakukan perjanjian bersama dengan pihak industri bagi menyediakan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada lepasan pelajar kolej vokasional.

"Bukan sahaja memastikan peluang pekerjaan yang luas kepada lepasan kolej vokasional, usaha yang dilakukan ini adalah untuk memberi keselesaan dan kemudahan pendidikan yang lebih baik kepada pelajar untuk menguasai lebih mendalam bidang kemahiran setanding dengan negara-negara maju lain," jelasnya.

Oleh sebab itu, kata Zainuren, pelajar atau mana-mana pihak yang berminat melanjutkan pengajian khususnya dalam bidang kemahiran perlu bijak mengambil kesempatan menikmati kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan melalui kolej vokasional ini.

Beliau turut memuji pencapaian pelajar dan pensyarah Kolej Vokasional Setapak yang turut tersenarai antara sekolah cemerlang SPM 2013 dan tercalon sebagai salah satu sekolah yang menerima Anugerah Baiah kebangsaan baru-baru ini.

Sekolah Dalam Hospital ceria sepanjang cuti sekolah

Posted: 01 Jun 2014 01:00 PM PDT

Raziah M. Daud (duduk, dua dari kanan) bersama tenaga pengajar beramah mesra dengan kanak-kanak yang menyertai Program SDH di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

CUTI sekolah kali ini amat memberi makna kepada pelajar di Sekolah Dalam Hospital (SDH) sekitar Lembah Klang apabila tiga organisasi mengambil inisiatif bagi memenuhi masa lapang kanak-kanak tersebut dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan kepada mereka.

Presiden Persatuan Kebangsaan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (NAECCEM), Datin Radziah M. Daud berkata, pelbagai program diatur sebagai kesinambungan kepada projek cuti sekolah yang pernah diadakan ketika musim cuti sekolah Mac lalu.

"NAECCEM bersama dua organisasi lain iaitu Persatuan Taska Negeri Selangor dan Fakulti Pendidikan Awal Kanak-kanak Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar) akan mengadakan aktiviti bagi memenuhi masa cuti sekolah selama dua minggu ini.

"Antara aktiviti yang akan dijalankan termasuklah bercerita, lukisan dan kraf, muzik dan pergerakan dan banyak lagi," katanya ketika menjalankan program sulung cuti sekolah NAECCEM di SDH Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SDH yang merupakan hasil inisiatif isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di bawah Projek Hati Nurani diwujudkan dengan tujuan menyediakan kemudahan persekolahan kepada pelajar yang menerima rawatan.

Setakat ini, SDH sudah diwujudkan di sepuluh hospital seluruh negara.

Tiga lagi SDH yang akan dibuka tahun ini ialah di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Likas, Sabah.

Radziah yang juga Timbalan Pengerusi Projek Hati Nurani SDH berkata, dalam tempoh Januari sehingga April tahun ini, sepuluh SDH mencatat jumlah kehadiran pelajar berjumlah 11,305 kehadiran.

Mengulas lanjut mengenai program cuti sekolah di SDH, beliau berkata, aktiviti dijalankan di enam SDH yang dipilih sekitar Lembah Klang.

Katanya, program dijalankan NAECCEM di SDH seperti PPUM pada 28 Mei lalu dan Hospital Selayang (2 Jun), Persatuan Taska Negeri Selangor di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) (3 Jun) dan Hospital Ampang (6 Jun) manakala Unitar di Hospital Serdang (30 Mei) dan Institut Pediatrik Kuala Lumpur (4 Jun).

Tambahnya, program ini akan diperluas ke semua SDH pada masa hadapan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved