Khamis, 15 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jambatan lama dinaik taraf

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Harun Aziz (lima dari kiri ) meninjau jambatan baharu yang telah siap dibina di Kampung Padang Kabu, Simpang Empat, Baling, Kedah, semalam.

BALING 14 Mei - Masyarakat Siam di Kampung Padang Kabu di sini berasa gembira apabila satu-satunya jalan perhubungan ke kampung mereka iaitu sebuah jambatan telah dibaiki.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Tawoon Boon Seng berkata, jambatan itu merupakan laluan utama bagi penduduk kampung tersebut.

Jambatan ini adalah jalan utama penduduk kampung untuk keluar masuk membawa hasil-hasil pertanian mereka.

Keadaan jambatan yang rosak amat menyulitkan sehinggakan untuk membawa setandan pisang penduduk perlu meredah sungai," katanya ketika ditemui di Kampung Padang Kabu di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Aziz berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat dan akan membantu untuk mengatasi masalah mereka.

Penduduk kampung ini perlu berterima kasih kerana kerajaan sentiasa peka dengan masalah mereka dan segala kesusahan tersebut akan diatasi dengan seberapa segera yang boleh," katanya.

Kata Harun, jambatan yang dahulunya hanya selebar 1.2 meter itu telah diperbesarkan dan dibaiki menjadi tiga meter lebar dengan panjang 12 meter.

Dengan perlebaran ini maka ia memudahkan urusan orang-orang kampung untuk berulang alik menggunakan jambatan baharu ini dengan kenderaan yang lebih besar," katanya lagi.

Dalam pada itu, penduduk kampung Voon Chya Liang, 37 melahirkan rasa gembira dan terharu dengan pembinaan jambatan itu.

Saya dan keluarga amat gembira dengan jambatan baharu ini yang lebih lebar dan lebih kukuh daripada sebelum ini," katanya.

Tambahnya, selepas ini ramai lagi penduduk di situ akan membina rumah kerana pasir, batu-bata, kayu, papan dan sebagainya dapat dibawa masuk ke kampung tersebut.

Pendaftar nikah diminta berhati-hati - JAIK

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

ALOR SETAR 14 Mei - Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menasihatkan pendaftar nikah di negeri ini agar memeriksa dengan teliti surat kebenaran berkahwin sebelum menjalankan urusan akad nikah berikutan wujudnya sindiket nikah ekspres yang dikesan di Kuala Kedah baru-baru ini.

Ketua Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, terdapat 540 pendaftar nikah di Kedah dan mereka perlu memastikan surat kebenaran berkahwin yang ditunjukkan oleh pasangan yang ingin bernikah merupakan surat yang dikeluarkan secara sah oleh pejabat agama daerah.

Zaman sekarang pelbagai perkara boleh dipalsukan dan saya ingin nasihatkan agar pendaftar-pendaftar nikah ini berhati-hati jangan terlalu mudah terima surat kebenaran berkahwin.

Mereka perlu teliti dahulu surat berkenaan sama ada ia dikeluarkan oleh pejabat agama daerah sebelum menjalankan proses akad nikah kerana kita tidak mahu kejadian di Kuala Kedah berulang," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 6 Mei lalu, melaporkan Jawatankuasa Bertindak Anak-Anak Kariah Masjid Tunku Abdul Putra, Kuala Kedah di sini meminta JAIK mengambil tindakan terhadap kegiatan nikah poligami ekspres yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan pasangan yang mahu bernikah menggunakan sindiket itu perlu membayar kira-kira RM3,000 dan akan memperoleh sijil nikah beberapa hari selepas akad nikah dilakukan.

Menurut Syeikh Ahmad Faisol, JAIK juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran untuk mengesan alamat sebenar pasangan yang dipercayai bernikah dengan menggunakan sindiket nikah ekspres itu.

Kita sedang di dalam peringkat untuk mengenal pasti alamat tepat bagi pasangan tersebut kerana kita dapati alamat yang digunakan di dalam daftar nikah ialah alamat di Kuala Kedah sedangkan pasangan terbabit tidak menetap di situ, ada yang tinggal di luar daerah Kota Setar.

Kita akan cuba kesan alamat sebenar mereka dan selepas itu pasangan yang terlibat akan dipanggil untuk siasatan lanjut," jelasnya.

Tambah beliau, JAIK meminta pasangan yang telah bernikah dengan menggunakan sindiket tersebut agar segera tampil ke pejabat agama daerah untuk mengetahui status perkahwinan mereka atau jumpa pendaftar nikah bagi memperbetulkan kembali jika pernikahan diragui.

Lelaki ditemui maut

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

LUMUT 14 Mei - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Dinding dekat Kampung Bharu, Sitiawan di sini semalam ditemui mati lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, mangsa, Low Yong Kiong, 51, yang berasal dari Johor dijumpai oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira pukul 7.30 pagi.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Berdasarkan bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa mati lemas dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes ini.

Kita telah membuka kertas siasatan dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang semalam, Yong Kiong dikatakan pergi ke sebuah tempat pengumpulan pasir dan batu di Kampung Bharu di sini untuk berjumpa dengan rakannya.

Bagaimanapun, kehilangan lelaki itu hanya disedari selepas pekerja di tempat berkenaan menjumpai topi dan selipar mangsa yang dihanyutkan air.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved