Khamis, 15 Mei 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


FAM tunggu kehadiran Wolfgang Sidka

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my

Wolfgang SIDKA

KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih Iraq, Wolfgang Sidka muncul nama terbaharu yang berminat untuk mengendalikan Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa mereka sedang menunggu kedatangan warga Jerman itu untuk ditemuduga.

Bekas pemain Werder Breman, Sidka pernah melatih skuad kebangsaan Iraq dan Bahrain akan bersaing dengan calon-calon lain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk K. Rajagobal.

Sebelum ini, bekas pemain Real Madrid dan Barcelona, Luis Milla bersama jurulatih Mozambique, Gern Engels antara calon yang berminat untuk melatih skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya masih dalam proses penilaian terakhir sebelum nama jurulatih baharu dijangka diumumkan bulan depan.

Beliau juga mengesahkan FAM telah mengadakan pertemuan dengan Engles kelmarin dan sedang menilai beberapa calon lain.

Memang benar, kita ada pertemuan (dengan Engles) semalam (kelmarin). Kami dalam proses temuduga yang mana FAM sedang mengenal pasti seorang dua calon lagi dalam sesi temuduga ini.

Sidka adalah calon terbaharu yang berminat dengan jawatan ini. Kami akan menunggu kedatangannya dalam tempoh terdekat.

Nama calon yang melepasi saringan temuduga terakhir akan dibawa ke dalam Mesyuarat Exco FAM untuk diluluskan oleh jawatankuasa FAM," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Akhbar kelmarin melaporkan, Milla dan Engels, masing-masing telah menyatakan minat untuk melatih skuad negara, yang ketika ini dibimbing oleh jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee.

Selain mereka berdua, Rudi Voller (bekas pemain Jerman), Peter Reid (bekas jurulatih Thailand) dan Zdenek Zeman (bekas jurulatih AS Roma) juga dikatakan memasang impian untuk menjadi jurulatih baharu Harimau Malaya.

Begitupun, FAM masih tidak dapat melupakan episod duka dalam misi memburu khidmat pakar asing sebagaimana badan persatuan itu pernah dikecewakan oleh Phillipe Troussier.

Bekas jurulatih Jepun itu dikatakan terlalu demanding apabila menuntut perjanjian yang tidak masuk akal, sehingga menyebabkan FAM terpaksa membatalkan niat untuk mendapatkan khidmatnya.

Antara tuntutan tidak masuk akal yang dimahukan oleh Troussier adalah mahu mendapatkan kemudahan paling canggih, permukaan padang harus mantap dan beliau boleh meninggalkan FAM bila-bila masa jika tidak berpuas hati dengan suasana di negara ini dengan bersyarat, gaji dibayar meskipun telah meletak jawatan.

Tambah Hamidin, pihaknya masih tidak terdesak untuk mencari calon-calon jurulatih baharu Harimau Malaya.

Selepas kami gagal mencapai persetujuan dengan Troussier, FAM telah mengadakan pertemuan dengan ramai jurulatih lain.

Sesi temuduga ini berlaku di dalam dan luar negara. Kami hanya menunggu proses pemilihan saringan terakhir dalam hal ini," katanya.

Semangat 1992 jadi inspirasi

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my

Rashid Sidek (kiri) berbincang sesuatu dengan Lee Chong Wei ketika sesi latihan pusat skuad negara ke Piala Thomas di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan yang bakal menggalas misi pada kejohanan Piala Thomas 2014 boleh menjadikan kejayaan Malaysia pada 1992 sebagai insprasi untuk mereka mengulangi kejayaan yang sama.

Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek memberitahu, ketika itu semangat berpasukan dan tidak mudah patah semangat merupakan elemen penting untuk mencipta kejayaan.

Paling penting jangan patah semangat, para pemain perlu melihat segala harapan serta tekanan yang diletakkan ke atas mereka sebagai cabaran untuk mereka berikan persembahan terbaik.

Sama macam 1992, kami tidak terlalu bagus sangat tetapi semangat berpasukan menjadi pemangkin untuk kami berjaya," katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini semalam.

Skuad negara akan berangkat ke New Delhi, India hari ini bagi memulakan kempen Piala Thomas/Uber yang akan berlangsung 18-25 Mei.

Skuad Piala Thomas dibarisi oleh Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Liew Daren, Goh Soon Huat dalam acara perseorangan lelaki, manakala beregu lelaki dibarisi Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, Tan Boon Heong-Chan Peng Soon dan Lim Khim Wah-Goh V Shem.

Mengulas mengenai sesi latihan yang bakal dijalankan di New Delhi, Rashid berkata, pihaknya akan lebih tertumpu untuk membiasakan pemain dengan lokasi kejohanan selain penerapan elemen-elemen positif bagi mengelakkan rasa gugup ketika beraksi.

Semasa di New Delhi para pemain akan menjalani latihan ringan bagi mengelakkan kecederaan bagi membolehkan mereka mencapai sasaran realistik ke separuh akhir," katanya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan final sebagai sasaran yang perlu dipenuhi skuad Piala Thomas, manakala pasukan Piala Uber pula membawa misi untuk mencari slot sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

Skuad Piala Thomas negara berada di dalam kumpulan C bersama tuan rumah, India, Jerman dan Korea Selatan manakala skuad Piala Uber berada dalam kumpulan D bersama Jepun, Denmark dan Jerman

Sementara itu, ketua pasukan yang juga perseorangan ketiga negara, Liew Daren berharap dapat mengulangi kejayaan yang pernah dikecapi skuad kebangsaan pada 1992 dengan memberikan aksi terbaik sepanjang berlangsungnya kejohanan itu.

Katanya, para pemain di dalam skuad itu mampu menghadapi tekanan yang diberikan kerana kebanyakan mereka pernah beraksi di pentas antarabangsa.

"Mungkin orang luar melihat pasukan ini sebagai pasukan yang lemah tetapi sebenarnya kami tidak lemah dan paling penting kami hanya perlu beraksi dengan baik semasa kejohanan.

Pasukan perlu menjadi juara peringkat kumpulan sekiranya ingin melangkah jauh sekiranya menjadi naib juara peringkat kumpulan, sukar untuk kami pergi lebih jauh," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved