Khamis, 15 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Resah setiap kali hujan lebat

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Penduduk, Nazar Hussin Gohar menunjukkan paras lumpur akibat banjir kilat yang merosakkan beberapa peralatan elektrik di rumahnya di Kampung Melayu Batu 16, Rawang, Selangor baru-baru ini. - UTUSAN/Halim Khalid

RAWANG 14 Mei - Kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di Jalan Sepakat, Kampung Melayu Batu 16 di sini, masih belum ada penyelesaian dan penduduk terpaksa berdepan bencana itu setiap kali hujan lebat melanda kawasan berkenaan.

Penduduk mendakwa, projek jalan raya berdekatan kediaman mereka dan sungai yang tidak diselenggara dengan baik menjadi punca utama kejadian yang berlaku lebih enam kali sejak dua tahun lalu.

Lebih malang lagi apabila hujan lebat sejak tiga hari lalu mengakibatkan banjir kilat yang turut membawa lumpur, batu dan pasir dari tapak projek tersebut.

Dalam kejadian terbaharu itu, hampir 15 buah rumah terjejas termasuk kediaman di kawasan tinggi yang sebelum ini tidak pernah berdepan masalah berkenaan.

Walaubagaimanapun, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri tiada pihak yang ambil tahu masalah itu dan sedia membantu mengatasi kesulitan yang telah lama membelenggu penduduk.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, seharusnya mereka yang berasa bertanggungjawab terhadap kejadian itu turun padang membantu penduduk.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu baru-baru ini mendapati banyak kerosakan harta benda terpaksa ditanggung penduduk. Rumah mereka juga kotor dan kerja-kerja pembersihan terpaksa dilakukan dan ia umpama tradisi setiap kali hujan lebat.

Jika dilihat dengan mata kasar, kawasan tersebut boleh dianggap sebagai kediaman idaman kerana suasananya damai dan tidak sesak dengan kenderaan yang menjadi masalah utama di kota.

Malangnya, keindahan tersebut semakin terhakis akibat masalah banjir kilat yang kerap menghantui penduduk.

Menurut penduduk, mereka pernah diberi pampasan sekali dan ia tidak dapat menghilangkan keperitan yang ditanggung setiap kali dilanda banjir kilat.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut mempersoalkan tindakan pemaju projek berkenaan yang hanya membersihkan kawasan perumahan berdekatan tapak projek dan mengabaikan kediaman yang lain.

Mereka juga sudah letih merintih dan kini berharap ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa sekali gus menamatkan derita banjir berulang kali di kawasan itu.

Penduduk sudah tidak tahan tanggung derita

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

Mohd. Khairil Hafiz Abd. Rani menunjukkan longgokan pasir yang dihanyutkan oleh banjir kilat di Kampung Melayu Batu 16 Rawang.

RAWANG 14 Mei - Penduduk di Kampung Melayu Batu 16 di sini meminta masalah banjir kilat yang dihadapi mereka diatasi segera oleh pihak bertanggungjawab kerana ia berlarutan sejak dua tahun lalu.

Seorang pesara, Nazar Hussin Gohar, 64, berkata, banjir kilat baru-baru ini menyebabkan rumahnya dilanda air lumpur dan dia terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk membersihkan kediamannya.

Bayangkan, selama tiga hari rumah saya dalam keadaan kotor dan peralatan elektrik turut terjejas. Lebih menyedihkan apabila bilik tidur juga tidak dapat digunakan untuk tidur dan berehat," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Seorang pemandu teksi, Syed Azman Nazar Hussin, 36, pula memberitahu, banjir kilat yang kerap melanda kawasan itu turut menyebabkan dia kehilangan punca pendapatan.

Setiap kali banjir, saya tidak dapat keluar memandu teksi kerana terpaksa membersihkan rumah dan ini menjejaskan pendapatan saya," katanya.

Syed Azman berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab mengambil berat masalah mereka dan tampil dengan jalan penyelesaian bagi isu tersebut.

Pendapat sama dikongsi oleh pesara, Hashim Hud, 56, yang kecewa kerana terpaksa menanggung kerugian setiap kali bencana itu berlaku.

Banyak peralatan di rumah saya rosak dan saya rugi kira-kira RM40,000 ekoran banjir kilat kali ini," ujarnya.

Katanya, jika masalah itu tidak diatasi segera, dibimbangi ia akan menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian lebih besar pada masa akan datang.

Menurut pengurus di syarikat swasta, Ahmad Shukur Ab. Aziz, 30, sudah banyak kali aduan dibuat kepada wakil rakyat namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

Kami sudah tidak tahan kerana terpaksa berdepan banjir kilat. Malah tong gas di dapur rumah saya pernah dihanyutkan air sehingga ke hadapan rumah," katanya.

Bas percuma mula operasi di PJ

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Alinah Ahmad (tengah) menunjukkan isyarat bagus selepas mencuba perkhidmatan bas percuma PJ City Bus di Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya semalam. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

PETALING JAYA 14 Mei - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan perkhidmatan bas percuma PJ City Bus kepada orang ramai mulai hari ini bagi mengurangkan kesesakan di sekitar bandar raya ini.

Bagi tujuan itu, sebanyak 10 buah bas dengan 60 tempat duduk milik Syarikat Rapid Bus Sdn. Bhd. akan beroperasi membawa penumpang dengan kekerapan perjalanan antara 10 hingga 15 minit dari pukul 6 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, MBPJ meletakkan sasaran sebanyak 60 peratus daripada kira-kira 700,000 penduduk Petaling Jaya menggunakan perkhidmatan kenderaan awam terutamanya bas manakala 40 peratus lagi menggunakan kenderaan persendirian pada tahun ini.

Berbanding sebelum ini, sebanyak 80 peratus daripada penduduk menggunakan kenderaan sendiri manakala hanya 20 peratus menggunakan kenderaan awam. Dengan adanya perkhidmatan bas percuma diharapkan jumlah penggunaan kenderaan persendirian akan berkurangan," katanya.

Beliau demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Perkhidmatan Bas Percuma PJ City Bus di Hentian Bas di Jalan Yong Shook Lin, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Mohd. Taib dan Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Mohd. Azam Omar.

Alinah berkata, perkhidmatan bas percuma ini diharapkan dapat memenuhi kehendak warga Petaling Jaya yang mahukan satu sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang benar-benar menepati masa.

Perkhidmatan ini tidak akan bermakna sekiranya kita gagal memenuhi kehendak sebenar penumpang yang tidak suka menunggu lama.

Saya mengharapkan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan mulai hari ini, para penumpang dapat memberikan maklum balas mengenai kecekapan perkhidmatan bas ini kepada MBPJ," katanya.

Menurutnya lagi, perkhidmatan percuma hanya akan dinikmati oleh rakyat tempatan manakala warga asing akan dikenakan tambang jika menaiki bas tersebut.

Kita sedar orang ramai bimbang kemungkinan warga asing mendominasi perkhidmatan bas ini, sebab itulah ia percuma kepada rakyat tempatan sahaja," katanya.

Perkhidmatan bas itu dilengkapi dengan perkhidmatan WiFi percuma dan paparan LED serta turut mesra penumpang orang kurang upaya.

Bas percuma itu beroperasi di laluan sejauh 28 kilometer bermula dari Hab Bas di Jalan PJS 3/2 yang sedang dibangunkan dan melalui jalan-jalan utama di sekitar Petaling Jaya.

Antaranya Jalan Templer, Jalan Othman, Jalan Yong Shook Lin, Pusat Bandar Seksyen 2, Jalan Penchala, Jalan Semangat, Jalan Universiti dan Jalan Gasing.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved