Rabu, 28 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Agenda holistik jana pelajar

Posted: 27 May 2014 12:26 PM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan (tengah) bersama bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah sempena Majlis Sembang Santai Alumni di Dewan Besar sekolah itu, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 27 Mei - Mengangkasa prestasi pelajar di setiap sekolah perlu ada agenda holistik yang bukan tertumpu kepada pelajar semata-mata, tetapi memfokuskan juga kepada peningkatan sumbangan serta prestasi guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni dan disiplin pasukan.

Formula perkasa ini dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai intipati kecemerlangan pendidikan, selaras dengan hasrat menempatkan Negeri Sembilan sebagai pusat ilmu yang berjaya.

"Untuk mengangkasa prestasi, kita tidak boleh lupa untuk meningkatkan juga prestasi guru dan pendukung yang lain supaya sekolah berkenaan cemerlang secara holistik, baik dari segi akademik, kokurikulum, sahsiah dan nilai-nilai murni," katanya.

Mohamad berucap pada majlis Sembang Santai Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah dekat sini hari ini.

Kata beliau, dalam aspek guru umpamanya, bakat dan kepakaran yang ada pada mereka hendaklah dicungkil dan diberi peluang secukupnya untuk mencurah bakti kepada anak bangsa.

"Optimumkan kepakaran serta ilmu yang dipelajari dahulu dan dikembalikan semula kepada pelajar. Pada masa yang sama, guru juga perlu tingkatkan ilmu supaya pelajar dapat menerima pembaharuan dalam pendidikan.

"Jangan pula beranggapan semua perkara ini tidak penting atau ada perasaan dalam diri seperti susah untuk datang ke sekolah. Kita mesti sentiasa berlapang dada dan akhirnya nanti, kita akan merasai kejayaan itu melalui hasil kerja sebuah pasukan," ujar beliau.

Mengenai PIBG dan alumni pula, Mohamad mahu melihat kesepakatan dalam meningkatkan prestasi pelajar dan sekolah.

"Walaupun masing-masing ada tanggungjawab dalam aliran yang sama, janganlah ada sengketa. Sama-samalah kita menjayakan agenda kecemerlangan pelajar dan sekolah ini, sekali gus menjadikan negeri ini sebagai pusat ilmu yang berjaya.

"Saya ingatkan supaya jangan ada pula individu 'menebuk kapal' yang sedang belayar cantik ini. Sama-samalah kita belayar, walaupun dilanda badai dan pastikan matlamat tercapai," ujar Mohamad.

Mengulas aspek disiplin berpasukan, Mohamad turut menegaskan jangan sesekali ia dicabul dengan perasaan hasad dan dengki.

"Dalam menjayakan agenda pasukan, kita perlu disiplin yang tinggi. Jika ada ketirisan, segeralah dibaiki dan pastikan setiap yang dilakukan itu berpaksikan kepada keikhlasan dan niat yang betul," ujar beliau.

RM93 juta bantu usahawan Mara Negeri Sembilan

Posted: 27 May 2014 12:26 PM PDT

Salmah Hayati Ghazali bersama Amer Rahmat (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian Karnival Hijab Stailista di Seremban Plaza, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

SEREMBAN 27 Mei - Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM93 juta kepada Mara negeri ini bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah Mara (Keusahawanan), Salmah Hayati Ghazali berkata, program tersebut merangkumi latihan keusahawanan, pembangunan pemasaran dan promosi, pembangunan standard perniagaan, pembangunan kontraktor IBS, program usahawan teknikal dan kemudahan pembiayaan perniagaan.

Beliau berkata, peruntukan itu perlu disalurkan kepada para usahawan yang layak tahun ini.

"Mara berharap kemudahan di bawah program pembangunan usahawan ini dapat dimanfaatkan oleh semua usahawan khususnya yang berada di Negeri Sembilan untuk meningkatkan jumlah jualan dan seterusnya berupaya melonjakkan prestasi perniagaan masing-masing.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera melalui inisiatif memperhebat keusahawanan dan perniagaan bumiputera," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Hijab Stailista di Seremban Plaza dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Mara negeri Negeri Sembilan, Amer Rahmat.

Beliau berkata, Negeri Sembilan mempunyai ramai usahawan pengeluar iaitu individu yang memproses dan menghasilkan produk sendiri.

Oleh itu, tambahnya, para usahawan berkenaan seharusnya menggunakan peluang membuat hebahan dan mempromosikan produk keluaran mereka melalui pelbagai cara.

Jelasnya, karnival seumpama itu turut memberi ruang kepada para usahawan mempromosikan produk masing-masing di samping mendapat peluang mencipta jaringan perniagaan dengan usahawan lain.

"Saya gembira dengan Karnival Hijab Stailista pada kali ini yang mengetengahkan dan mempamerkan pelbagai produk usahawan tekstil dengan rekaan fesyen berunsur Islamik.

"Tahniah saya ucapkan kepada lima syarikat dalam kluster tekstil iaitu Zureen Collection, Busana Nurkhaizah, Marsha Anggun, Infinity Laily dan Qisya Bridal yang membuat pelancaran produk baharu sempena karnival ini," katanya.

Salmah Hayati juga melahirkan penghargaan kepada penganjur iaitu seluruh warga kerja Mara Negeri Sembilan serta Persatuan Penyewa Seremban Plaza (Puspaza) yang telah berusaha gigih dan bertungkus-lumus menjayakan karnival berkenaan.

INNOFEST 2014 capai matlamat

Posted: 27 May 2014 12:26 PM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Ahmad Yusoff Hassan (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Md. Rawi Mahmud pada majlis penutup INNOFEST 2014 di Dewan Besar Kampus Induk Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini. - UTUSAN/Gaie Uchel

MELAKA 27 Mei - Festival Inovasi Antarabangsa 2014 (INNOFEST 2014) berjaya mencapai matlamatnya dengan mengumpul lebih 440 projek penyelidikan daripada sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Program selama dua hari anjuran Persatuan Inventif, Inovatif dan Pemikir Kreatif (ASCIIC) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu turut mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ketua pengarah program, S. Kanthaan berkata, penganjuran INNOFEST 2014 itu bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman kepada mahasiswa universiti dan dan pelajar sekolah mengetengahkan idea dan bakat masing-masing.

"Festival inovasi ini secara tidak langsung memberi ruang kepada mereka menjana idea bernas, meningkatkan tahap kreativiti dan inovasi serta kemahiran insaniah untuk menyumbang kepada bidang sains dan teknologi," katanya.

Festival tersebut dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, pelajar peringkat sijil, peringkat diploma, sarjana muda dan peringkat penyelidik.

Bagi kategori sekolah rendah, anugerah pencapaian tertinggi dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist 2 Melaka dan Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Sementara bagi kategori sijil, Kolej Komuniti Tasek Gelugor muncul juara dengan produk 'Kurma Flakes' manakala Kolej Komuniti Batu Pahat dengan inovasinya Batik in Fibreglass turut meraih anugerah.

Bagi kategori diploma pula dimenangi oleh peserta dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan ciptaan Mesin Proses Pengasingan, UTeM dengan produk 'V Smart Mobile Power Supply', Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) 'Smart Recycle Bin' dan 'Machine Clamping' dari Politeknik Merlimau.

Pemenang menerima sijil dan pingat disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Md. Rawi Mahmud yang mewakili Ketua Menteri.

Yang hadir sama Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Dr. Izaidin Abdul Majid.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved