Utusan Online - Johor |
Posted: 27 May 2014 12:26 PM PDT Oleh MUHAMMAD ZIKRI HASNI Mohammad mendengar penjelasan daripada seorang usahawan yang menyertai Seminar Usahawan Ekonomi dan Keusahawanan anjuran Biro Ekonomi UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian, kelmarin. PONTIAN 27 Mei - Golongan usahawan di negeri ini diminta merebut peluang disediakan oleh pelbagai pihak termasuk institusi kewangan yang menyediakan dana bagi membolehkan mereka meningkatkan pengeluaran produk masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, peluang yang disediakan kepada usahawan terutama pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) mampu melonjakkan daya saing mereka ke peringkat lebih tinggi. Beliau berkata, sumbangan pengusaha IKS terhadap ekonomi negara amat besar kerana produk yang dihasilkan mampu memenuhi keperluan pengguna tempatan selain dipasarkan ke luar negara. "Bagaimanapun, untuk berjaya mereka perlu mempunyai ilmu pengetahuan tentang selok-belok perniagaan termasuk dalam soal pembungkusan, pelabelan, pemasaran, kewangan dan sebagainya. "Ini ditambah dengan keupayaan menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memasarkan produk mereka secara dalam talian yang kini telah menjadi cara untuk menembusi pasaran yang lebih luas," katanya semasa merasmikan Seminar Usahawan Ekonomi dan Keusahawanan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini semalam. Yang turut hadir dalam seminar anjuran Biro Ekonomi UMNO Bahagian Pontian ialah Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Bahagian Pontian, Faridah Abd. Kadir; Naib Ketua, Muhammadan Ahmad; Ketua Wanita, Hasrunizah Hassan dan Ketua Pemuda, Mohd. Helmi Buang. Kira-kira 500 peserta menghadiri seminar sehari yang turut dimeriahkan dengan pameran serta jualan produk oleh pengusaha IKS tempatan serta beberapa agensi berkaitan termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional. Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut dan Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, kerajaan sentiasa berusaha membantu pengusaha IKS supaya golongan itu terus berdaya saing dengan pemain industri lain. "Ini dengan memberikan mereka pinjaman menerusi dana yang disediakan bagi menambah modal perniagaan supaya mereka boleh menambah pengeluaran serta beroperasi dalam premis yang lebih selesa," katanya sambil memberitahu daerah ini mempunyai kira-kira 200 usahawan termasuk pengusaha IKS dalam pelbagai bidang. |
Pertandingan melukis remaja Johor terima 421 penyertaan Posted: 27 May 2014 12:26 PM PDT KOH Bee Yee (tiga dari kiri), Intan Najwa Johari (dua dari kiri), Oii Josephine (kiri), Pu Chee Lim (tiga dari kanan), Ho Hui Shi (dua dari kanan) dan Nurul Fatin Nazira Nazatul Dzahir menunjukkan hadiah dan trofi masing-masing pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis Peringkat Remaja Negeri Johor di Galeri Seni Johor Bahru, kelmarin. JOHOR BAHRU 27 Mei - Sebanyak 71 buah sekolah menengah dengan 421 penyertaan karya seni visual telah menyertai Pertandingan Melukis Peringkat Remaja Johor Ke-8 yang diadakan di Galeri Seni Johor di sini. Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Muhamad Fuad Radzuan berkata, daripada jumlah karya yang diterima, sebanyak 26 karya terpilih dan layak menerima hadiah daripada dua kategori iaitu menengah atas dan menengah rendah. Katanya, antara tujuan pertandingan itu adalah untuk memberi pendedahan kepada generasi muda agar dapat meningkatkan semangat patriotik terhadap negara amnya dan negeri ini khususnya. "Selain itu, ia turut membuka minda golongan remaja mengenai perkembangan semasa serta kemajuan yang terdapat di tanah air sendiri. "Hasil karya ini juga sudah pasti akan menjadi wadah dan sebuah dokumentasi yang berharga untuk tatapan dan kajian pewaris tamadun era mendatang," katanya ketika berucap merasmikan dan menyampaikan hadiah pertandingan tersebut yang bertemakan 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada,' di Galeri Seni Johor di sini semalam. Sementara itu Panel Pengadil, Baharin Samsuri@Khusil ketika mengulas hasil karya-karya tersebut berkata, para peserta dapat melukis dan mentafsirkan tema dengan baik dan berkesan. "Walaupun tema yang diberikan agak mencabar kerana keperluan menggambarkan tema melalui imej figura manusia, namun begitu penyertaan bagi kedua-dua kategori dapat menampilkan karya yang bermutu. "Jelas ia bukan sekadar pertandingan tetapi bukti penilaian peserta ketika mengolah karya dan secara keseluruhan pertandingan ini boleh menjadi acara yang lebih menyeluruh dalam kalangan remaja negeri ini serta menjadi dokumentasi yang baik dan bernilai tinggi," katanya. Dalam pertandingan itu, Koh Bee Yee dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Canossion Convent, Kluang diumumkan sebagai johan bagi kategori sekolah menengah atas dan pra universiti. Sementara itu, Oii Josephine dari SMK Tasek Utara 2, memenangi tempat kedua manakala Intan Najwa Johari dari SMK Sultan Abdul Jalil menduduki tempat ketiga. Bagi kategori menengah rendah pula, johan dimenangi oleh Pu Chee Lim dari SMK Banang Jaya, Batu Pahat, tempat kedua menjadi milik Ho Hui Shi dari SMK Taman Bukit Indah dan tempat ketiga pula milik Nurul Fatin Nazira Nazatul Dzahir dari SMK Benut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan