Rabu, 28 Mei 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


12 suspek termasuk gadis ditahan

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh MOHD. HAFIZ. ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

DUA suspek ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung dua pelajar dirogol oleh 38 individu di Ketereh, 20 Mei lalu di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/Irwan Majid

KOTA BHARU 28 Mei - Seramai 12 individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dua pelajar dirogol oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini, Selasa lalu.

Salah seorang yang ditahan ialah seorang remaja berusia 15 tahun yang dipercayai turut menjadi mangsa rogol dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 40 tahun itu ditahan di Kampung Hutan Pasir dan Kampung Padang Lembek, Ketereh. pada semalam dan awal pagi ini.

"Empat suspek yang ditahan semalam, direman selama enam dan tujuh hari bermula hari ini dan kita akan mendapatkan perintah tahanan reman untuk lapan lagi suspek pagi esok. Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Pemeriksaan kita mendapati 11 lelaki yang ditahan positif dadah dan kita juga akan menjalankan ujian air kencing terhadap gadis yang ditahan itu," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Kota Bharu di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang remaja perempuan berdepan pengalaman menakutkan apabila dia dan rakannya menjadi mangsa 'kenduri seks' 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini, 20 Mei lalu.

Mangsa yang berumur 15 tahun itu seterusnya telah membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh, semalam.

Sementara itu, Azham berkata, polis turut menubuhkan sebuah pasukan siasatan khas bagi memburu suspek lain yang dipercayai sedang bersembunyi.

Katanya, kes rogol yang melibatkan 38 individu itu adalah luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kita akan terus memburu suspek-suspek itu dan percaya mereka akan dapat diberkas dalam tempoh terdekat," katanya.

Tambah beliau lagi, hasil siasatan awal yang dijalankan pihaknya, mangsa telah dirogol dan disyaki turut diliwat di sebuah rumah kosong yang dijadikan lokasi penagihan dadah oleh suspek-suspek.

Menurut beliau, pihaknya percaya suspek-suspek juga berada di bawah pengaruh dadah sehingga sanggup melakukan perbuatan kejam itu.

Komando maut, 2 cedera terkena tembakan

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

ANGGOTA polis melakukan siasatan berhubung kejadian seorang anggota tentera yang maut ditembak rakannya di hadapan kedai serbaneka 24 jam di Pekan Lahad Datu, Sabah, semalam.

KOTA KINABALU 28 Mei - Seorang anggota komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbunuh manakala dua orang awam cedera selepas seorang anggota pasukan itu secara tiba-tiba melepaskan empat das tembakan yang dipercayai untuk meleraikan satu kekecohan di hadapan kedai serbaneka 24 Jam di Pekan Lahad Datu, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mangsa, Lans Koperal Muhamad Fiffixzafey Mat Hussin, 28, berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, cedera di bahagian kiri dadanya sebelum meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kedua-dua orang awam yang cedera itu berusia 31 dan 38 tahun serta bekerja sebagai penjaga kelab malam.

"Seorang daripada mereka cedera di betis kiri manakala seorang lagi cedera di bahagian belakang sebelah kiri badan dan sedang menjalani rawatan di Hospital Lahad Datu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hamza berkata, semasa kejadian, anggota tentera yang melepaskan tembakan itu sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) di daerah berkenaan.

Kata beliau, siasatan di tempat kejadian pula menjumpai empat kelongsong peluru bersaiz 5.56 milimeter disyaki daripada senjata M16 dan kesan tompokan darah.

Katanya, suspek melarikan diri selepas insiden berkenaan dan usaha memburunya sedang giat dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan 307 kerana membunuh serta cubaan bunuh.

"Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang kerana keadaan keselamatan terkawal dan kes itu tidak melibatkan suspek dari luar," katanya.

Sumber memberitahu, setakat pukul 4.30 petang ini, seramai 14 individu termasuk 11 daripadanya anggota tentera ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi membantu siasatan.

"Kesemua anggota tentera itu dipercayai berada di lokasi kejadian," ujarnya.

Sementara itu, Tentera Darat (TD) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pasukan tersebut turut menjalankan siasatan dalaman bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan.

Jelas kenyatan itu, insiden tersebut tidak menjejaskan sebarang ketenteraman awam dan tiada kaitan dengan isu keselamatan di perairan pantai Sabah.

"Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga hasil siasatan diperoleh oleh pihak polis dan TD," kata kenyataan itu lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved