Rabu, 28 Mei 2014

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Joy Revfa ukir nama di Indonesia

Posted: 28 May 2014 12:07 AM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar AZIE GRAPHY
Pakaian ALLYA MYSARA
Solekan SOFIA ABBAS
(Akademi Kecantikan Artistik Diyana)

Joy Revfa Sofia Mohd. Amin

Ketika ini nama Datin Joy Revfa Sofia Mohd. Amin meniti di bibir sutradara dan penerbit filem Indonesia.

Ironinya, bukan sebagai pelakon biarpun memiliki wajah yang cukup komersial untuk bergelar bintang, sebaliknya karyawan filem melihat bakat pada jari-jemarinya dalam menyempurnakan solekan kesan khas atau mengikut istilahnya, SFX makeup.

Kebolehan tersebut membuatkan dia diberi kepercayaan menata rias artis-artis bukan saja di layar perak bahkan oleh stesen-stesen televisyen dan band-band terkenal di negara itu.

Siapa sangka anak kelahiran Kuantan, Pahang ini, dalam diam mengukir nama di negara orang terlebih dahulu sebelum mengukuhkan kedudukan dalam industri solekan di tanah air sendiri.

Walau baru berusia 27 tahun, kehebatan Joy Revfa memang diiktiraf malah dia pernah diundang pelbagai pihak termasuk sebagai tetamu bagi rancangan temubual di Radio Jakarta City fm, berikutan kebangkitan teknik terbaru solekan semburan berus angin ( makeup airbrush) di negara itu.

Dia juga telah berjaya mencuri tumpuan wartawan dan pengarah filem dalam acara perasmian solekan teknik semburan di Thamrin City, Jakarta, pada 2010.

Lima tahun menetap di Jakarta, membuatkan dia tidak kekok bergaul dan mencari peluang karier di negara orang.

Ramai menganggap solekan perkara yang remeh, tetapi ia sebenarnya memberikan kesan tertentu terhadap apa yang hendak disampaikan.

Sebagai contoh dalam industri drama dan perfileman, solekan boleh dikatakan menyumbang kepada lebih 50 peratus kepada kejayaan sesebuah filem selain komitmen pelakon dan jalan cerita yang baik," katanya membuka cerita.

Joy Revfa mengakui, bukan mudah bagi orang luar sepertinya mendapat kepercayaan pengarah dari seberang sekali gus menonjolkan karya seni biarpun dalam bentuk solekan.

Segala halangan berjaya ditempuhi oleh ibu muda ini yang sejak dari zaman remajanya sudah terdedah dengan dunia solekan hasil daripada tunjuk ajar ibunya, jurusolek terkenal, Sofia Abbas.

Segala cerita bermula, apabila dia melanjutkan pelajaran peringkat diploma dalam bidang fotografi dan solekan fesyen di Puspita Martha Tilaar International School, Jakarta.

Selepas tamat belajar dia dipilih sebagai jurusolek solekan kesan khas bagi filem The Perfect House arahan pengarah terkenal Indonesia, Affandi Abdul Rachman.

Filem tersebut telah memenangi beberapa anugerah di Festival Filem Cannes, di Perancis, Festival Filem Puchon, Korea, di Singapura dan Hong Kong, selain Filem Festival Antarabangsa Indonesia.

Kehebatan Joy Revfa dalam dunia solekan tidak terbatas apabila diberi peluang menata rias kesan khas untuk filem-filem antarabangsa terkenal dan pernah bergabung untuk mencipta kesan khas zombi untuk pertunjukan Halloween Horror Night 2011 di Universal Studio, Singapura.

Kekuatan atau kemahiran yang saya miliki dalam menghasilkan solekan semburan berus angin dan kesan khas untuk filem secara tak langsung mendapat perhatian pengarah dan produser filem Indonesia.

Sebelum melanjutkan pengajiannya tentang ilmu solekan khas di Hollywood, dia sempat dilamar sebagai penata rias solekan teknik semburan oleh pengarah filem terkenal Indonesia, Foazan Rizal dan Hanung Bramantyo, yang mengarah filem-filem hebat seperti Ayat-ayat Cinta, Perempuan Berkalung Cinta dan banyak lagi.

Malah nama Joy Revfa terus menjadi bualan apabila bertanggungjawab menata rias pelakon utama filem hebat Indonesia, Habibie & Ainun.

Dalam filem yang berkisar tentang percintaan presiden Indonesia ketiga ini, saya diberi tanggungjawab untuk merias solekan khas untuk pelakon utamanya, Bunga Citra Lestari.

Bayangkan hampir dua bulan saya tinggal Indonesia dan Jerman menyertai penggambaran. Pengalaman ini terlalu manis bagi saya dan membuka peluang memperkenalkan seni dan karya di negara orang," ujar ibu kepada Muhammad Arryan Firdaus berusia tiga bulan itu.

Habibie & Ainun

Seronok bercerita mengenai pengalamannya dalam set penggambaran Habibie & Ainun, Joy Revfa sebelum itu telah membuat keputusan untuk menyambung pengajian teknik solekan khas di Hollywood.

Namun, setelah dilamar oleh pengarah filem tersebut, dia menangguhkan misi ke Amerika Syarikat.

Penggambaran bermula waktu bulan puasa pada 2012. Tugas saya setiap hari mencantikkan dan membuat efek tua dengan kedutan pada wajah Bunga persis isteri bekas presiden Indonesia itu, Hasri Ainun.

Saya tidak menggunakan efek yang benar-benar tua terhadap Bunga kerana kami mengikut kehendak pengarah dan produser, lagi pun Ibu Ainun sendiri sehingga akhir hayatnya juga masih muda dan anggun.

Alhamdulillah, reaksi penggemar filem Indonesia dan pihak produksi terhadap penampilan Bunga dalam filem itu sangat positif," katanya.

Akademi kecantikan

Mahu berkongsi ilmu dimiliki dengan anak tempatan, Joy Revfa bekerjasama dengan ibu dan kakaknya di Akademi Kecantikan Artistik Diyana.

Tiga beranak itu bertungkus lumus membangunkan akademi tersebut dari tahun 1999 sehingga mendapat pentauliahan daripada Jabatan Pensijilan Kemahiran (JPK).

Di akademi, kami sering terlibat dengan program-program di bawah jabatan kerajaan dan swasta seperti program kecantikan, solekan dan penampilan diri.

Kami juga telah membantu pelajar-pelajar yang lahir daripada Akademi Kecantikan Artistik Diyana untuk membuka salun-salun, selain memberi kemahiran kepada ibu-ibu tunggal yang tiada punca pendapatan," ujarnya yang kini kembali menetap di Shah Alam, Selangor, selepas berumah tangga dengan seorang ahli perniagaan.

Bazaar Bayahista himpun usahawan muda

Posted: 28 May 2014 12:07 AM PDT

Oleh NURSYAMIMI SAIDI
Gambar KAMAL BASIR WAHAB

Mas Emieyati Samsudin (tengah) bergambar bersama model yang memperaga busana muslimah pada majlis Pra Pelancaran Baazar Bayahista Anjuran Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Penggunaan internet memberi banyak kelebihan bagi menjana pendapatan dengan cara mudah, ringkas dan cepat.

Sekarang ini pun, pelbagai jenis produk dipasarkan melalui internet dari produk kecantikan hingga pakaian, kelengkapan rumah dan sebagainya sama ada yang berjenama atau mampu milik.

Melihat kepada perkembangan semasa butik talian di media sosial, ramai dapat membayangkan lambakan fesyen muslimah yang bukan sahaja membariskan variasi rekaan jubah moden, malah pilihan kasual untuk wanita berhijab.

Pergerakan Puteri UMNO tidak ketinggalan mengambil inisiatif mengadakan program Bazaar Bayahista 2014 dengan mengumpulkan usahawan muda, khususnya fesyen muslimah yang beroperasi dalam talian, untuk mempromosi dan memasarkan dengan lebih meluas produk mereka.

Program tersebut menghimpunkan seramai 10 pereka busana muslimah serta lebih 70 usahawan dalam talian untuk mempromosi produk masing-masing.

Menurut Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsudin, program kali pertama yang dianjurkan ini diadakan khas bagi membantu usahawan muda yang masih baharu dan selama ini hanya beroperasi dalam talian memperkenalkan perniagaan mereka kepada pengguna.

Memandangkan perniagaan dalam talian kian mendapat tempat di hati para pengguna, kami merasakan ia mempunyai potensi pasaran yang sangat bagus untuk diterokai oleh generasi muda.

Kami berasa terpanggil untuk membantu mereka melalui satu acara yang besar dan membabitkan penyertaan banyak pihak. Melalui program ini, prospek perniagaan mereka dapat diperkembangkan lebih-lebih dengan adanya jaringan perniagaan yang diperoleh di sana nanti," katanya dalam sidang media pra-pelancaran Bazaar Bayahista 2014 di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Katanya, Puteri akan berusaha membantu dengan melihat peluang-peluang perniagaan serta dana daripada kementerian atau agensi kerajaan yang berkaitan, selain menjadikan acara itu sebagai program tahunan Biro Ekonomi dan Usahawan Puteri.

Dalam pada itu, salah seorang pereka, Nur Liyana Abdul Rahman merupakan antara 10 pereka busana muslimah yang menyertai Bazaar Bayahista.

Pemilik butik talian, Leeyana Rahman itu berkata, program seumpama itu adalah rangkaian yang tepat bagi peniaga dalam talian untuk mempromosi produk mereka kerana berpeluang bertemu empat mata dengan pelanggan-pelanggan.

Selama ini kami hanya berurusan di talian atau media sosial, jadi melalui program seperti ini secara tidak langsung kami dapat memperkenalkan jenama kami kepada lebih ramai pelanggan," ujarnya.

Nur Liyana Abdul Rahman (kiri) bersama model yang menggayakan fesyen rekaannya.

Fenomena fesyen muslimah yang kian mendapat tempat dalam kalangan remaja, membuatkan semakin ramai yang mula menceburi bidang itu.

Ini membuatkan berlaku persaingan yang hebat, tetapi Nur Liyana melihatnya dari sudut positif kerana dari situ mereka akan cuba mengekalkan keaslian produk masing-masing,

Sementara itu, pereka pakaian jenama eiman damia, Nurul Ain Jaafar berkata, dia bersama pasangan niaganya Nor Hidayah Naim menjadikan program itu sebagai platform untuk memperkenalkan butiknya.

Katanya, kerjasama seumpama itu dapat membantu peniaga talian yang kurang mendapat publisiti.

Islam sendiri mengatakan, sembilan daripada 10 rezeki bermula dengan perniagaan, jadi bazar ini menjadi platform terbaik buat kami untuk mula bertapak dalam industri ini.

" Langkah seperti ini sebenarnya dapat membuka minda peniaga dan menyediakan pelbagai maklumat yang diperlukan untuk memajukan perniagaan kami," katanya,

Program itu akan turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen oleh pereka-pereka fesyen muslimah yang sedang meningkat naik dan para pelajar tahun akhir jurusan Tekstil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Acara lain termasuk persembahan oleh artis jemputan, Najwa Latif, bengkel solekan dan pemakaian tudung, bual bicara perniagaan serta pameran produk oleh 70 usahawan dalam talian.

Antara butik talian yang mengambil bahagian dalam acara adalah Butik Ammara, Butik Minaz, Leeyana Rahmad, eiman damia, Sarung Anggun, Atika Exclusive, hijriahome, hijabella safiyya, Butik Awni, dan ejashahril.

Program yang julung kali diadakan itu bakal berlangsung pada 7 dan 8 Jun ini di pusat beli-belah Encorp Strand Mall, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved