Selasa, 20 Mei 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Memurni semula gerakan hak asasi

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Oleh Azril Mohd. Amin

Penyokong hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menyertai demonstrasi sempena Hari Antarabangsa Menentang Homofobia dan Transfobia di Queretaro, utara Mexico, pada 17 Mei lalu. - REUTERS

DALAM ucapannya semasa merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 13 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menegaskan betapa pemikiran dan fahaman humanrightisme kini menjadi ancaman atau serangan baru yang agresif terhadap umat Islam.

Apabila menyentuh isu hak asasi manusia, pastinya beliau mahu menyuntik perspektif baru sesuai dengan wadah seumpama majlis tilawah apabila ramai dalam kalangan audiens mentaddabur isi kandungan al-Quran sebagai panduan kepada umat manusia memecahkan pelbagai masalah yang melanda kemanusiaan, termasuklah tuntutan hak asasi manusia yang semakin rumit dan menjadi kontroversi akibat penyelewengan fahaman tersebut.

Kandungan ucapan Perdana Menteri harus disambut dengan baik oleh kerana penzahiran hasrat dan komitmen Kerajaan Pusat memperbaiki keadaan hak asasi manusia tampak terus diusahakan selagi tidak bercanggah dengan kedaulatan Islam menurut fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai kesederhanaan di dalam budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Sementara kita boleh menerima prinsip-prinsip tertentu hak asasi manusia, khususnya yang disaring melalui sumber-sumber muktabar hukum Islam, isu yang perlu diwaspadai adalah fahaman humanrightisme suatu bentuk agama sekular baru yang sudah mulai berkembang pesat di dalam negara akibat kesan langsung lobi gerakan hak asasi manusia liberal-sekular di luar negara.

Fahaman ini yang berasaskan pemikiran humanisme, sekularisme dan liberalisme, bersifat songsang sementelah ia mengagung-agungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata, serta menolak sebarang sistem nilai merangkumi norma agama dan adab-susila.

Kesan fahaman ini terjelma dengan jelas, sebagai contoh, di dalam kontroversi tuntutan-tuntutan batil Comango semasa sesi Semakan Berkala Sejagat di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva tahun lepas.

Pengkagum-pengkagum hak asasi manusia yang taksub serta masih tidak sedar tentang ancaman fahaman humanrightisme ini seharusnya terlebih dahulu membaca karya sarjana Barat, Anthony Julius, The Trials of the Diaspora (2010) yang menggunakan istilah fahaman humanrightisme tersebut untuk mendedahkan bahaya ketaksuban hak asasi manusia sebagai agama sekular baru - the new secular religion.

Beliau menulis, A human rights discourse now dominates politics; there is a powerful human rights movement. It is the new secular religion of our time. This new human rights-ism accords great value to the United Nations - notwithstanding its inability to enforce its decisions, and its refusal to make practical demands of its members to be democratic or respect the human rights of their citizens."

Bukan sahaja wacana fahaman berbahaya ini sudah mendominasi politik dalam kalangan masyarakat dunia, malah memberikan nilai terhadap fungsi serta peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang pada hakikatnya menjadi semakin tidak berkesan.

Malah Tan Sri Razali Ismail seorang diplomat ulung negara yang pernah menjawat kedudukan presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 1996-1997 menyatakan kekecewaannya dengan kegagalan badan dunia tersebut semasa melancarkan karya penulisan beliau bertajuk A UN chronicle: 1988-1998 di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Wisma Putra pada 30 April lalu.

Beliau turut menggesa usahasama kerajaan dan masyarakat awam untuk memperbaiki PBB yang telah terjerumus ke dalam isu pembaziran masa dan wang akibat siri perhimpunan yang berlangsung tanpa resolusi yang mantap dan berkesan di dalam menyelesaikan isu-isu global.

Jika kritikan Razali dilihat sebagai desakan berterusan tokoh-tokoh dunia untuk memperbaiki PBB, maka amaran Najib tentang bahaya fahaman humanrightisme merupakan peringatan agar fahaman tersebut tidak kekal mendominasi dan merosakkan niat dan tujuan asal Perisytiharan Hak Asasi Manusia PBB 1948 yang sepatutnya memperkukuh tiang kewujudan PBB demi kemaslahatan tamadun manusia.

Malah, kegagalan PBB terus mendapat kritikan sarjana mutakhir Barat, seperti yang dinyatakan di dalam karya Stephen Hopgood "The Endtimes of Human Rights" (2013) yang mengkritik kegagalan rejim kontemporari hak asasi manusia.

Menurut Stephen Hopgood "Whether it is the increase in deadly attacks on aid workers, the torture and 'disappearing' of al-Qaeda suspects by American officials, the flouting of international law by states such as Sri Lanka and Sudan, or the shambles of the Khmer Rouge tribunal in Phnom Penh, the prospect of one world under secular human rights law is receding. What seemed like a dawn is in fact a sunset. The foundations of universal liberal norms and global governance are crumbling."

Kegagalan fahaman liberal-sekular yang mendominasi gerakan hak asasi manusia menzahirkan kewujudan pelbagai tuntutan hak asasi manusia tidak munasabah yang menghakis kedaulatan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang terhasil ialah tuntutan-tuntutan untuk membenarkan gejala murtad berleluasa, desakan penghapusan kedudukan istimewa bumiputera di dalam fasal 153 Perlembagaan Persekutuan, desakan pengiktirafan hak-hak LGBT yang menjurus ke arah hak perkahwinan sejenis, tuntutan menghapuskan institusi Islam seperti Mahkamah Syariah, majlis-majlis agama Islam dan jabatan-jabatan agama Islam serta beberapa tuntutan kontroversi lain yang mencabar kedaulatan negara.

Oleh yang demikian fahaman humanrightisme tidak boleh dibiarkan terus bermaharajalela sebagai suatu agama di dalam horizon gerakan hak asasi manusia.

Malah, jika para sarjana Barat sendiri sudah mulai sangsi serta mengecam ideologi liberal-sekular hak asasi manusia, mengapa masih wujud pentaksub-pentaksub di Malaysia yang ghairah menjunjung fahaman hak asasi manusia berkerangka Barat yang sesat dan akhirnya mahu menghancurkan tamadun manusia?

Sebaliknya, agenda yang memurnikan kembali gerakan hak asasi manusia perlu dipelopori negara seperti Malaysia serta dilakukan secara berhikmah, strategik dan bersepadu seperti melalui Suruhanjaya Tetap Bebas OIC mengenai Hak Asasi Manusia yang ditubuhkan pada 2011. Dari sejumlah 18 negara yang menganggotai Suruhanjaya tersebut, Turki dan Malaysia dilihat sebagai sangat berpotensi untuk memimpin artikulasi bagi mengetengahkan matlamat syariat Islam tentang hak asasi manusia.

Penulis percaya bahawa seruan Najib bukanlah mengarah kepada membawa Malaysia daripada PBB sebagai jalan penyelesaian mendepani fahaman humanrightisme ini.

Mesej yang ingin dibawa adakah kita mahu terus menerima prinsip-prinsip hak asasi manusia mengikut fahaman liberal-sekular Barat atau memilih untuk mencorak sendiri fahaman hak asasi manusia menurut pandangan alam Islam dan tamadun yang tidak bercanggah fitrah kemanusiaan?

Prinsip-prinsip hak asasi manusia perlu dilaksanakan di dalam kerangka maqasid syariah, yang merupakan seumpama tembok yang sifatnya menjadi pemelihara dan penjamin kesejahteraan hidup manusia, bukan fahaman liberal-sekular yang bernama humanrightisme yang sekadar bermatlamat membuka pintu kebebasan nafsu manusia yang tiada berpenghujung.

PENULIS ialah seorang peguam, dan mengetuai MuslimUPRo, iaitu delegasi Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan ke Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.

Wahai DAP, UMNO dan BN tidak bertanding lah!

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Khabar Dari Georgetown

NAMPAKNYA istilah bertanding secara gentleman tidak terpakai dalam kalangan pemimpin DAP sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor ketika ini.

Mana tidaknya, dalam hampir setiap ceramah mereka, pengundi-pengundi hanya dihadapkan dengan kata-kata berbaur fitnah dan tuduhan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Perkara ini amat melucukan kerana DAP seolah-olah terlupa baik UMNO atau BN tidak bertanding dalam PRK berkenaan.

Malah, ketiga-tiga calon lain juga awal-awal lagi sudah mengisytiharkan mereka adalah bebas dan tidak ada kena-mengena dengan UMNO atau BN.

Jadi, kenapa pemimpin DAP memilih memburuk-burukkan UMNO dan BN serta kerajaan dalam setiap kempen mereka?

Sebetulnya pendekatan sebegini bukanlah sesuatu yang pelik dalam kalangan pemimpin DAP mahupun parti pembangkang lain.

Strategi memburuk-burukkan BN dan kerajaan adalah cara paling mudah untuk menagih sokongan rakyat.

Soal integriti iaitu sama ada apa yang dihebahkan kepada rakyat itu adalah betul atau pembohongan semata-mata bukan lagi menjadi keutamaan.

Apa yang penting bagi mereka adalah pembohongan dan tuduhan itu diterima dan diyakini meskipun yang menjadi taruhan adalah maruah dan harga diri mereka sendiri.

Jika tidak, mana mungkin mereka boleh berbangga menghasut rakyat turun berdemontrasi kononnya membantah penipuan dalam sistem pilihan raya umum lalu.

Walhal hakikatnya, dakwaan mereka kononnya berlaku blackout dan pengundi asing dibawa untuk turut serta mengundi terbukti fitnah semata-mata.

Dari sudut lain, pemimpin DAP juga selesa memburuk-burukkan UMNO dan BN dalam kempen mereka kerana menyedari tidak mampu menghebahkan jasa dan sumbangan mereka terhadap rakyat.

Siapa yang berani menafikan segala pembangunan dan kemajuan yang dikecapi rakyat negeri ini termasuk pengundi di Bukit Gelugor adalah atas jasa serta sumbangan kerajaan BN terdahulu?

DAP hanya menumpang keselesaan daripada jerit-perih pemimpin BN terdahulu dan sepatutnya mereka berterimakasih, bukannya memburuk-burukkan BN yang meninggalkan legasi kekayaan negeri ini untuk mereka nikmati.

Pemimpin DAP juga sepatutnya berasa malu kerana dalam tempoh enam tahun memerintah negeri ini, apa sumbangan mereka terhadap rakyat yang boleh dibanggakan?

Sepatutnya pentas berkempen itu digunakan DAP untuk memperjelaskan pelbagai isu yang membelenggu dan menekan rakyat. Antaranya isu penjualan tanah kerajaan negeri kepada pihak pemaju untuk dibangunkan projek perumahan mewah.

Isu ini cukup kritikal kerana tindakan kerajaan negeri itu menyebabkan peluang penduduk negeri ini memiliki rumah pada harga mampu milik tertutup sama sekali.

Isu lain yang memerlukan perhatian segera adalah nasib peniaga-peniaga Melayu yang sedikit demi sedikit dihalau dari tapak mereka mencari rezeki.

Pemimpin DAP sepatutnya menjawab mengapa wujud tindakan dwi standard dalam mengambil tindakan terhadap peniaga yang didakwa melakukan kesalahan ini selepas hanya kaum tertentu sahaja dikenakan tindakan tetapi kaum lain bebas berniaga sesuka hati?

Bagaimana pula dengan keghairahan kerajaan negeri memberi kebenaran kepada pelbagai projek hartanah sehingga terpaksa mengorbankan alam sekitar seperti menggondolkan bukit dan menambak laut?

Kenapa suara-suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang dengan kesan jangka panjang daripada projek itu langsung tidak dipandang kerajaan negeri yang selesa menjaga kepentingan pemaju?

Begitu juga dengan isu kenaikan tarif air dan caj parkir yang menekan golongan rakyat pertengahan tetapi seolah-olah tidak dipedulikan kerajaan negeri?

Apa jaminan kerajaan negeri terhadap keselamatan dan kesejahteraan penduduk yang diarahkan berpindah dari rumah mereka seperti di perkampungan nelayan dan Kampung Pokok Asam, Jelutong?

Tidakkah kerajaan negeri bertanggungjawab memperjelaskan kepada rakyat bagaimana penilaian kesan alam sekitar (DEIA) projek terowong bawah laut dijalankan oleh pemaju kepada projek itu sendiri?

Kerajaan negeri sebenarnya berhutang terlalu banyak penjelasan dengan rakyat berhubung pelbagai isu dan pentas kempen dalam PRK Parlimen Bukit Gelugor ketika ini sepatutnya menjadi medan terbaik untuk berbuat demikian.

Malangnya, seperti sebelum ini juga, pemimpin DAP memilih menutup mulut daripada menjawab semua persoalan itu dan selesa mengalih perhatian rakyat terhadap segala keburukan yang sengaja direka-reka terhadap UMNO dan BN.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved