Selasa, 20 Mei 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bongkah batu mengundang tragedi

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

BONGKAH batu di tepi lereng bukit Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Segamat perlu dialihkan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Saudara Pengarang,
Sebagai individu yang kerap membawa keluarga beriadah di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Segamat setiap hujung minggu, saya memohon jasa baik pihak berkaitan mengalihkan bongkah batu di tebing berhampiran dewan terbuka di kawasan riadah tersebut.

Kewujudan bongkah batu tersebut boleh mengancam keselamatan pengunjung kawasan tersebut terutama ketika musim hujan dan keadaan tebing yang curam tanpa ditumbuhi pokok turut mengundang kejadian tanah runtuh.

Kita semua tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku, namun ini tidak bermakna kita boleh menutup mata terhadap situasi bahaya yang ada di sekeliling kita dan hanya berserah kepada takdir.

Apa yang menjadi persoalan kepada saya, kenapa pihak bertanggungjawab tidak mengalihkan bongkah batu tersebut sebelum kerja-kerja membina dewan terbuka yang terletak betul-betul di bawah bongkah dijalankan dahulu.

Dalam situasi sekarang, selepas kewujudan bangunan dewan tersebut kerja-kerja untuk mengalihkan batu tersebut mungkin lebih sukar dan memerlukan kos yang lebih besar berbanding sebelumnya.

Pada musim cuti kawasan riadah ini menerima lebih 3,000 pengunjung setiap hari selain menjadi lokasi pilihan pihak sekolah dan jabatan kerajaan yang terdapat di sekitar Segamat untuk menganjurkan pelbagai program di sana.

Seandainya berlaku kejadian tanah runtuh atau bongkah batu tersebut terjatuh pada ketika itu, tentu sekali boleh mengundang padah dan mungkin ada yang terkorban akibat kecuaian kita sendiri.

Sehubungan itu, saya bukan sahaja meminta pihak berwajib untuk mengalihkan bongkah batu tersebut dengan segera, tetapi saya juga menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke sana agar lebih berwaspada serta berhati-hati kerana bimbang berlakunya sesuatu yang tidak diingini.

Pihak yang bertanggungjawab menyelenggara kawasan tersebut perlu melarang pengunjung menghampiri kawasan tersebut atau sekurang-kurangnya meletakkan papan tanda amaran bahaya di kawasan berhampiran bongkah batu tersebut.

Semua pihak harus sentiasa ingat bahawa tragedi boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana tanpa sebarang amaran dan perlulah kita semua berusaha untuk menjauhi sebarang situasi berbahaya.

PENCINTA ALAM

Segamat

Ambil tindakan letak kereta di bahu jalan

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

Kenderaan yang diletakkan di atas garisan kuning sepanjang Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru menyusahkan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Saudara Pengarang,
Bagi mereka yang mengambil lesen memandu secara sah, mereka pasti mengetahui bahawa garisan berkembar warna kuning tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan.

Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru apabila sepanjang jalan berkenaan dipenuhi dengan kenderaan yang diletakkan pada bahu jalan.

Keadaan tersebut bukan sahaja menyalahi kesalahan lalu lintas malah boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain apabila pemandu berkenaan hendak meletak atau mengeluarkan kenderaan masing-masing.

Lalu lintas akan menjadi lebih sibuk apabila adanya pasar malam hingga menyebabkan perjalanan trafik di kawasan berkenaan menjadi perlahan.

Apa yang peliknya, tiada sebarang tindakan undang-undang atas kesalahan trafik diambil kepada pemandu yang terlibat hingga mereka merasakan tindakan itu bukanlah satu kesalahan.

Justeru, pihak yang berwajib diminta mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung perkara ini bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

FADZLY

Taman Pelangi, Johor Bahru

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved