Rabu, 21 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Lima agensi atasi kesesakan KL

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (tiga dari kiri) beramah mesra dengan (dari kiri) Ir. Ismail Md. Salleh, Mohmad Salleh, Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz, Khiruddin Drahman dan Kudsia Kahar pada majlis menandatangani MoU pengurusan lalu lintas di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 20 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan empat agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBos) bagi meningkatkan sistem pengurusan lalu lintas di ibu negara yang menerima kemasukan kira-kira 2.4 juta kenderaan setahun.

Agensi yang akan membantu dalam mencari penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah kesesakan di Kuala Lumpur itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Star Radio Group.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerjasama itu dibuat susulan daripada Bengkel NBos yang dijalankan pada September tahun lalu bertujuan mencari idea-idea baharu yang boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Jelasnya, dalam bengkel tersebut, empat prosedur operasi standard (SOP) yang menjurus kepada aspek pengurusan lalu lintas telah diwujudkan iaitu Pengurusan Insiden, Penyebaran Maklumat, Perkongsian Logistik dan Pengurusan Trafik.

Pengurusan Insiden melibatkan langkah-langkah dalam menguruskan insiden seperti kemalangan, bencana alam dan kerosakan di jalan raya. Aspek Penyebaran Maklumat pula bertujuan memastikan maklumat trafik atau insiden dihebahkan secara cepat dan berkesan.

Selain itu, Perkongsian Logistik melibatkan pemberian bantuan logistik dan sumber kepada sebarang insiden manakala Pengurusan Trafik membabitkan langkah merancang, melancar dan mengurangkan kesesakan trafik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili DBKL dalam upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan agensi-agensi tersebut di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh; Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman; Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Ismail Salleh dan Ketua Pegawai Operasi Star Radio Group, Kudsia Kahar.

Turut sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal memberitahu, DBKL telahpun melaksanakan salah satu projek NBos iaitu Sistem Maklumat Panduan Meletak Kenderaan (PGIS) bagi membekalkan dan menyalurkan maklumat status kekosongan tempat letak kenderaan di sekitar Bukit Bintang.

Dalam projek tersebut, DBKL telah bekerjasama dengan tujuh pusat beli-belah iaitu Sungei Wang, Plaza Low Yat, Lot 10, Fahrenheit, Pavilion, Starhill dan KLCC.

Kerjasama antara mereka menjadi rangsangan kepada usaha-usaha pentadbiran DBKL dalam meneruskan projek pengurusan lalu lintas," ujarnya.

'Bagai mencurah air ke daun keladi'

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Sebahagian daripada penduduk mengadakan bantahan bagi mendesak MPKj dan pemaju supaya menghentikan kerja-kerja meletupkan batu di kuari berhampiran kawasan perumahan mereka di Taman Kajang Perdana 2, Kajang, Selangor baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN

KAJANG 20 Mei - Penduduk Taman Kajang Perdana 2, dekat sini semakin resah apabila aduan berhubung aktiviti letupan batu di kuari yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan perumahan mereka kepada pihak berkuasa tempatan dan pemaju sehingga kini tidak dihiraukan.

Bukan sekali, tetapi sudah puluhan aduan dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan pihak pemaju, namun semuanya tiada tindakan.

Ini sekali gus memaksa penduduk membuat bantahan secara aman di hadapan kuari tersebut baru-baru ini.

Ini bagi mendesak pihak berkuasa tempatan itu mengambil perhatian dan tindakan serius agar kuari tersebut segera ditutup demi keselamatan dan keselesaan.

Setiausaha Persatuan Penduduk Jalan Kajang Perdana 2/34 hingga 2/20, Zainul Akramin Mohd Drus berkata, penduduk berasa terkilan dan tertipu dengan pemaju perumahan dan MPKj yang masih membenarkan kuari di situ terus beroperasi.

Katanya, lebih mengecewakan segala aduan yang dikemukakan sebelum ini seolah-olah bagai mencurah air ke daun keladi, segala-galanya sia-sia sahaja.

Nilai rumah kami semakin susut ekoran keretakan yang berlaku di bahagian dinding akibat kerja-kerja letupan di kuari.

Adakah mereka akan bertanggungjawab terhadap semua ini?," katanya ketika ditemui selepas mengetuai bantahan di hadapan kuari berkenaan bagi mendesak pihak berkuasa tempatan dan pemaju menghentikan kerja-kerja di kuari berkenaan dengan segera.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan kira-kira 1,000 keluarga di Taman Kajang Perdana 2, Kajang dekat sini hidup dalam kebimbangan sejak beberapa tahun lalu ekoran sebuah kuari beroperasi berhampiran kawasan kediaman mereka.

Penduduk mendakwa, kesan gegaran bahan letupan daripada kuari tersebut yang diibaratkan gempa bumi yang kuat, bukan sahaja merosakkan harta benda, bahkan mengancam keselamatan dan kesihatan mereka.

Difahamkan, kuari itu telah wujud kira-kira 23 tahun lalu sebelum kawasan perumahan teres dua tingkat itu dibangunkan pada penghujung 90-an.

Zainul Akramin berkata, kewujudan kuari itu turut mengundang masalah kebanjiran warga asing yang menjadi pekerja di kuari berkenaan.

Katanya, sejak warga asing bekerja dan tinggal di kuari berkenaan berlaku beberapa kejadian pecah rumah di kawasan itu.

Keadaan ini benar-benar membuat kehidupan kami sudah tidak selamat dan selesa. Sudahlah apa yang kami bimbangkan mengenai kegiatan di kuari berhampiran masih belum diselesaikan, timbul pula isu kebanjiran warga asing," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri Selangor juga wajar memantau aktiviti kuari tersebut yang dipercayai beroperasi di atas tanah kerajaan.

Saya percaya status kuari tersebut sebagai menceroboh tanah kerajaan negeri yang mesti diambil tindakan dengan tegas.

Jika tanah tersebut milik individu tertentu, tindakan sama perlu diambil kerana kuari tersebut beroperasi tanpa mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Dakwanya lagi, kerja-kerja letupan batu di kuari tersebut turut menyebabkan pencemaran terhadap aliran anak sungai berhampiran.

DBKL jamin pengagihan tapak bazar Ramadan telus

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

SUASANA pengagihan tapak bazar Ramadan di Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman anjuran DBKL di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur tahun lalu.

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pengagihan tapak bazar Ramadan melibatkan dua lokasi tumpuan iaitu Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman pada Khamis dan Jumaat ini di Stadium Titiwangsa dijamin telus dan adil.

Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr. Ismail Stapa berkata, keyakinan ini berdasarkan maklum balas diterima daripada peniaga dan penjaja sejak sistem undian itu diperkenalkan tahun lalu.

Menurutnya, pemantauan bagi sistem agihan tersebut turut dilakukan bersama-sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta wakil-wakil persatuan peniaga dan penjaja.

Jika sebelum ini sesetengah pihak mendakwa wujudnya penyelewengan dalam pengagihan tapak bazar, selepas sistem undian itu diperkenalkan rasa tidak puas hati yang dibangkitkan berkurangan.

Berdasarkan pengalaman, jika ada sekalipun rasa tidak berpuas hati ia hanya melibatkan lokasi petak.

Kemungkinan lokasi petak agak tersorok dari kawasan tumpuan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata, setakat hari ini pengagihan kesemua tapak melibatkan dua lokasi iaitu Setapak Jaya dan Taman Datuk Senu juga berjalan lancar.

Tahun ini sebanyak 121 petak ditawarkan di Jalan Masjid India, manakala Lorong Tuanku Abdul Rahman pula sebanyak 609 petak.

Ia meliputi barang perhiasan, aksesori, juadah dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, undian tapak akan bermula pada pukul 9 pagi sehingga 11.30 pagi, manakala pada sebelah petang dari pukul 2 hingga 4 petang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved