Rabu, 21 Mei 2014

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Fesyen hijab ilham Faezah

Posted: 20 May 2014 11:30 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar JEFRI IRAN

Mengenalinya secara lebih dekat ternyata dia seorang yang penuh berkeyakinan dan tahu apa yang dimahukan dalam hidup.

Justeru tidak hairan apabila Faezah Ahmad Fadzil, 30, atau lebih dikenali sebagai E, berani untuk memasarkan secara lebih komersial turban rekaannya yang sudah tentu agak berbeza daripada arus pasaran hijab semasa.

Dia percaya percaturannya menghasilkan turban sebagai pelengkap gaya wanita adalah sesuatu yang tepat dan dapat diterima oleh penggemar fesyen hijab.

Saya akui rekaan saya agak berbeza dengan kelaziman fesyen hijab di pasaran, tetapi sekurang-kurangnya saya memberi mereka pilihan dan kepelbagaian.

Saya percaya fesyen turban ini mempunyai peminatnya tersendiri," katanya.

Wanita kelahiran Melaka ini juga bertuah kerana dianugerahkan bakat serta kreativiti dalam menghasilkan turban yang mudah digaya dan penuh inovasi.

Pastinya pemilik ijazah sarjana muda multimedia dari Universiti Multimedia ini juga mempunyai visi dan misi tertentu dalam mengembangkan perniagaannya hingga ke peringkat antarabangsa.

Bagi E, segalanya bermula dengan aktiviti menulis blog dan cintanya dalam bidang fotografi.

Idea untuk menghasilkan turban itu pula timbul sewaktu mengandungkan anak sulungnya pada tahun 2007.

Ketika mengandung saya memang tidak bertenaga, saya hanya mampu duduk di depan komputer dan dari situ saya dapat ilham untuk menjual pakaian menerusi blog saya.

Nama blog saya Ilham Echenta dan nama itu juga saya gunakan untuk butik saya sehinggalah ke hari ini," kata Faezah yang ditemui di Studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun dia tetap mahu mencari kelainan dalam produk jualannya dan memikirkan tentang itu maka dia menghasilkan turban dan telah dibantu oleh kakaknya yang pandai menjahit.

Sebelum ini saya tidak bertudung sepenuhnya, jadi saya fikir turban sebagai cara paling praktikal dan mengikut cita rasa sendiri.

Kebetulan kakak saya memang pandai menjahit, jadi turban yang pertama keluaran Ilham Echenta memang kerjasama antara sayadan kakak.

Kalau diikutkan saya memang langsung tidak tahu menjahit, tetapi setelah memuat naik gambar dalam blog tak sangka ramai bertanya dan menempah.

Mahu tak mahu saya terpaksa juga belajar menjahit untuk menghasilkan turban yang ditempah rakan-rakan.

Alhamdulillah turban pertama saya dijual pada harga RM110 dan dari situ semakin banyak tempahan hingga pernah dalam satu hari saya dapat 20 tempahan," imbas Faezah tentang kisah awal perniagaannya.

Selepas berniaga, dia mencipta falsafahnya sendiri iaitu tidak mahu menghampakan orang lain terutama pelanggan setianya.

Baginya, kualiti merupakan sesuatu yang penting dan dia sendiri memantapkan lagi skil jahitannya turbannya dengan ilmu yang secara tidak langsung diperolehi dari internet.

Ibu kepada Ilham Rizky dan Tiara Aulia ini mula merangka strategi pemasaran sendiri.

Bagi memberikan lebih impak, Faezah bekerjasama dengan suaminya yang juga seorang jurugambar untuk merakam potret bersama turbannya di sekitar Eropah.

Perancangan ini nyata memberikan impak positif apabila turban saya bukan sahaja menjadi perhatian masyarakat di negara ini malah di luar negara.

Ketika sesi fotografi di London sahaja, ramai yang tertarik dan ingin mengetahui tentang turban tersebut. Melalui akaun instrgram, saya juga tunjukkan tentang versatiliti turban saya yang boleh dipakai setiap hari dalam apa juga suasana.

Sebenarnya turban ini jika betul gaya pemakaiannya memang akan menghasilkan gaya yang menarik dan ada kelainan," katanya.

Pilihan artis

Signatur turban Ilham Echenta nyata bukan sahaja memberikan satu dimensi baru dalam dunia penggayaan tutup kepala, malah mencetus satu trend di kalangan artis tempatan yang turut memilih turban Faesah bagi digayakan pada majlis formal atau ketika persembahan mereka.

Antara yang pernah mencuba penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Datin Noryn Aziz, Aliyah dan pelakon Natasha Hudson.

Perkembangan positif ini membuatkan saya mencari kepelbagaian dalam penampilan turban. Terkini saya telah berinovasi menghasilkan turban jenis veil crown, jenis getah dan selendang turban.

Secara peribadi, saya memang sukakan sesuatu yang ringkas. Walaupun dahulu saya tidak memakai tudung, tetapi saya memang suka bergaya, bila sesekali jumpa pelanggan E mahukan sesuatu yang ringkas, mudah dan pada masa yang sama tetap bergaya.

Walau ramai orang mengatakan payah lilit turban, tapi inilah yang saya hasilkan, turban yang mudah hanya lekat sahaja siap dipakai, sama seperti memakai serkup kepala.

Sekarang saya turut meletakkan nilai tambah pada turban dengan reben, bow dan sebagainya," kata E yang baru pulang dari Istanbul, Turki untuk bercuti dan pada masa sama melakukan sesi fotografi turbannya.

Dia menggayakan dua koleksi daripada keluaran Ilham Echenta iaitu Bow Turban dan Aulia Hijab bagi menggambarkan kepada peminat turban bagaimana gaya ringkas turban boleh disuai padan dengan percutian yang memerlukan seseorang itu bergaya ringkas tetapi tetap stylo.

Untuk gaya harian, turban rekaan Faezah nyata menepati citarasa mereka yang sukakan gaya classy, chic, edgy dan kasual. Di samping itu, ia boleh disambungkan dengan shawl bagi mereka yang ingin bergaya turban tetapi menutup leher.

YODA platform pereka muda

Posted: 20 May 2014 11:30 PM PDT

Oleh NURSYAMIMI SAIDI
Gambar JEFFRI IRAN

Dua dari kiri, Kashfi Zulkufli Baizura Tazri, Andy Yap dan Krishnan Bahadur Darji (paling kanan) bersama model yang mengayakan rekaan masing-masing.

Sememangnya industri fesyen negara sama rancaknya dengan perkembangan fesyen luar khususnya di rantau Asia kalau pun tidak dunia.

Begitupun, sehingga kini senario dunia fesyen tempatan masih didominasi oleh pereka-pereka terkenal yang telah lama membina nama terutama di pentas-pentas peragaan besar, sehingga sukar untuk ditembusi pereka-pereka muda.

Akibatnya pereka-pereka muda ini bukan saja sukar kurang mendapat tempat, malah tiada hala tuju kerana ketiadaan ruang untuk mereka menonjolkan bakat.

Dilihat dari segi jangka panjang, keadaan ini sudah tentunya akan merugikan industri fesyen tanah air itu sendiri.

Justeru, bagi memberi ruang kepada pereka-pereka muda mengetengahkan hasil rekaan mereka dalam industri fesyen tanah air, Young Designer Arena (YODA), sebuah persatuan untuk mempromosikan rekaan pereka muda ditubuhkan pada 2009.

Pengasasnya, Baizura Tazri, 33, berjaya menghimpunkan barisan pereka muda sebagai salah satu inisiatif untuk menonjolkan bakat sekali gus mewarnai lagi dunia fesyen tanah air.

Pada setiap tahun, kami akan mengadakan pertunjukan fesyen untuk mempromosi rekaan pereka-pereka muda yang boleh dibanggakan.

Walaupun masih baru dalam industri fesyen tanah air, YODA diharap mampu menjadi platfom kepada pereka-pereka ini bergerak lebih jauh," katanya.

Menurut Baizura, YODA mempunyai penanda aras untuk melihat pencapaian seseorang pereka dengan membahagikan mereka kepada tiga kategori iaitu, pereka baharu(fresh designer), pereka muda (young designer), dan pereka telah mencipta nama (establish Designer).

Fresh designer ialah kategori bagi pereka yang masih hijau dalam industri dan tidak pernah mempersembahkan rekaan mereka kepada umum, manakala young designer pula ialah pereka yang telah mempunyai butik talian tetapi belum mencapai tahap dikenali ramai.

Establish designer pula adalah pereka yang sudah mempunyai jenama dan butik sendiri, serta mempunyai profile lebih daripada dua tahun pengalaman dalam industri fesyen. Mereka ini yang akan memberi inspirasi kepada pereka-pereka baru di YODA," ujarnya.

Menurutnya, YODA sendiri telah bekerjasama dengan negara-negara Asia seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, dan Myanmar untuk mempromosi pereka-pereka muda ini.

Melalui kerjasama tersebut, kami buat cross over di mana apabila kita menganjurkan pertunjukan fesyen di sini, kami akan memanggil mereka masuk dan begitu sebaliknya.

Selalunya, kami akan hantar pereka-pereka muda ke sana untuk memberi mengenai perspektif fesyen dan idea yang boleh diperoleh dari negara luar," jelasnya.

Minggu Fesyen Remaja Asia

Dalam pada itu, YODA telah diberi tanggungjawab sempena sambutan Hari Belia Malaysia untuk mengendalikan acara Minggu Fesyen Remaja Asia 2014 (AYFW).

Acara yang akam berlangsung dari 23 hingga 25 Mei ini di Menara Usahawan di Persiaran Perdana, bakal menampilkan lebih 47 orang pereka muda dari Vietnam, Filipina, Thailand, Myanmar dan Indonesia.

YODA sendiri akan menampilkan 35 pereka muda tempatan yang datang dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta seperti Universiti Teknlonogi Mara (UiTM), politeknik, Kolej Komuniti dan sebagainya.

Acara ini bagi memberi peluang kepada pereka-pereka muda mengetengahkan hasil rekaan mereka dalam industri fesyen tanah air.

Ia juga diharap akan menjadi platfom yang berguna bagi pereka-pereka muda itu sebagai pendedahan awal dan lebih dikenali ramai," katanya.

Wanita sumber inspirasi

Bagi pereka muda yang lahir dari YODA, Kashfi Zulkufli, menjadikan kekuatan yang ada pada seseorang wanita sebagai sumber inspirasi untuk setiap rekaan bagi menjadikan lebih bermakna serta memberi impak yang besar ketika dipersembahkan di atas pentas.

Dalam setiap koleksi yang saya banyak melihat kepada aspek perwatakan seorang wanita. Saya menjadikan wanita sebagai sumber inspirasi kerana wanita jiwanya halus.

Saya melihat mereka dari sudut pandang seorang lelaki, bagaimana mahu memperlihatkan keistimewaan seorang wanita dan perkara itulah saya tampilkan dalam setiap rekaan saya sehingga dapat menyampaikan sesuatu yang dramatik," katanya.

Untuk AYFW, Kashfi akan mempersembahkan koleksi Yell'ov dan Isabelle yang memperlihatkan dua gaya berbeza sekaligus menggambarkan dirinya sebagai seorang pereka yang fleksibel boleh mereka apa sahaja gaya.

Koleksi Yell'ov menampilkan watak wanita moden yang bekerjaya yang sentiasa mahukan penampilan kemas dan kasual, manakala Isabelle pula lebih bersifat mewah untuk golongan wanita kelas atasan.

Saya banyak bermain dengan corak dan penggunaan warna hitam serta kuning untuk menampilkan ciri-ciri wanita. Saya turut memperincikan corak terkini bersama blok abstrak sebagai gambaran bahawa wanita ini terlalu teliti dengan setiap apa yang mereka buat berbanding lelaki," katanya.

Manakala untuk koleksi Isabelle pula, dia mempersembahkan pakaian gaun malam yang mewah dengan menggunakan berlian dan kristal swaroski sebagai perincian untuk tampak lebih mewah dan menyegarkan.

Menyentuh tentang penglibatannya dalam YODA, Kashfi menyertai persatuan itu sejak setahun lalu selepas tamat belajar di UiTM dalam jurusan Seni Persembahan.

Kursus Seni Persembahan banyak membabitkan penyertaan artis di pentas, yang mana mereka perlu tampil dengan pakaian dan imej sesuai.

Saya sebagai penggerak perlu mempersiapkan mereka dari segi penampilan supaya nampak sempurna. Jadi dari situ saya nampak kaitannya tentang bidang fesyen.

Saya gabungkan ilmu yang saya ada sebagai pelajar seni persembahan selama enam tahun dan menyelami sendiri bidang fesyen dengan lebih terperinci bagi menampilkan rekaan saya dalam setiap pertunjukan," ujarnya.

Antara artis terkenal yang pernah menggayakan rekaanya seperti Datuk Siti Nurhaliza, Rozita Che Wan, Adira, Stacy, Emma Maembong, Awal Ashaari, Zahnita, Nina Iskandar, Lisa Surihani, dan sebagainya.

Dari kampung ke kota raya

Berbeza pula dengan Andy Yap, 25, yang berasal dari sebuah kampung kecil di Kuala Terengganu, berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menimba ilmu tentang dunia fesyen yang begitu diminatinya sejak kecil.

Dahulu, saya tidak banyak pendedahan dengan sesuatu yang glamor kerana hanya bergantung kepada televisyen dan majalah-majalah sahaja.

Saya pula seorang yang sukakan benda yang cantik dan sebab itu, saya membuat keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang rekaan fesyen di Universiti Limkokwing.

Dalam tempoh tiga tahun pengajian, saya pernah memenangi anugerah yang boleh dibanggakan termasuk menyertai pertunjukan fesyen Mercedes-Benz STYLO 2009," katanya.

Andy yang memulakan kerjaya sebagai pereka kasut, mendapat banyak pendedahan tentang fesyen apabila sering ke luar negara seperti China, Hong Kong dan Itali.

Hasil daripada pengalaman tersebut, dia merasakan telah bersedia untuk memiliki jenama sendiri.

Kini, dia boleh berbangga dengan jenama Andy Bandy dan rekaannya pernah digayakan selebriti seperti Soo Winci, Hunny Madu, Keda Aziz, dan Yoon(One FM).

Melibatkan diri dalam YODA pada penghujung tahun 2010, Andy akan tampil dengan koleksi musim sejuk yang diinspirasikan daripada golongan bangsawan Perancis, di pentas AYFW nanti.

Saya banyak menggunakan perincian ala Perancis yang digabungkan dengan stail saya iaitu moden dan dramatik bersama-sama dengan motif volume yang amat saya gemari untuk menampilkan ciri-ciri unik dalam rekaan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved