Utusan Online - Johor |
Pencawang telekomunikasi punca masalah elektrik? Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT Abdul Hadi Elias menunjukkan kesan terbakar pada kotak suis elektrik di rumahnya yang telah diperbaiki ketika ditemui di Taman Mewah, Labis, kelmarin. - UTUSAN/MOHAMED SAARI LABIS 26 Mei - Penduduk Taman Mewah dekat sini mendakwa pemancar telekomunikasi yang terletak berhampiran taman perumahan mereka menjadi punca masalah bekalan elektrik di kawasan itu, malah turut beranggapan insiden disambar petir yang berlaku baru-baru ini juga berkaitan dengannya. Salah seorang penduduk, Abdul Hadi Elias, 78, mendakwa, sambaran petir pada malam 21 Mei lalu menyebabkan pendawaian elektrik di beberapa rumah rosak yang turut menyebabkan penduduk terkejut dengan bunyi dentuman kuat dan kaca berderai. "Ketika kejadian, hujan renyai-renyai dengan kilat sabung menyabung, saya sedang makan di dapur dan menyangka hanya berlaku terputus bekalan elektrik seperti mana biasa dialami sejak bertahun lalu. Rupa-rupanya kesemua mentol dan lampu yang terdapat di rumah saya pecah. "Ketika itu juga saya terbau benda hangit seperti wayar terbakar dan mendapati kotak pengagihan elektrik yang terletak di ruang tamu terbakar selain fius pada meter tertanggal dan tercampak kira-kira lima meter," katanya ketika ditemui di sini semalam. Cucunya, Nurul Nadrah Masri, 19, berkata, ketika kejadian dia berada di beranda dan turut mengalami kecederaan apabila serpihan kaca lampu terkena pada tangannya. Menurut Nurul Nadrah, beberapa hiasan kaca di dinding rumah juga terjatuh serta pecah dan dia bersama datuknya terpaksa menumpang tidur di rumah saudara terdekat pada malam kejadian. Utusan Malaysia difahamkan beberapa rumah jiran yang berhampiran juga mengalami nasib yang sama dan sebahagian daripada mereka terpaksa mengeluarkan belanja sendiri sehingga RM3,300 untuk membaiki sistem pendawaian rumah selain menukar lampu, kipas dan peralatan elektrik. Penduduk percaya sambaran petir berlaku kerana menara telekomunikasi itu berada kurang 100 meter dari taman perumahan tersebut. Pembinaannya beberapa tahun lalu mendapat bantahan penduduk kawasan sekitar. Seorang lagi penduduk, Noor Atiqah Jaafar, 43, berkata, anak-anaknya seperti trauma terutamanya ketika hujan lebat kerana rumah mereka bergegar dengan kuat semasa kejadian tersebut berlaku. "Keesokan paginya, anak-anak saya tidak bersekolah kerana mereka tidak dapat tidur semalaman dan keletihan. Sejak adanya pencawang tersebut, kejadian terputus bekalan elektrik berlaku dengan kerap dan saya meminta perkara ini diselesaikan oleh pihak berwajib sebelum bertambah teruk," katanya. |
Penjenayah 'Geng Mat Top' tumpas Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD BATU PAHAT 26 Mei - Polis menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali sebagai 'Geng Mat Top' yang aktif mencuri motosikal sejak awal tahun ini di beberapa kawasan di daerah ini, berikutan tertangkapnya 12 anggota kumpulan itu baru-baru ini. Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, suspek berusia lingkungan 16 hingga 29 tahun itu ditangkap dalam beberapa serbuan di sini sejak 18 Mei lalu. Beliau berkata, tiga suspek dipercayai terlibat mencuri motosikal, manakala enam orang pula merupakan pembeli dan tiga orang menjadi orang tengah dalam urusan jual beli kenderaan curi tersebut. "Kegiatan mereka terbongkar apabila salah seorang suspek yang berusia 22 tahun ditangkap di tempat letak motosikal di pusat beli-belah Square One di sini berdasarkan risikan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini hari ini. Menurut Din, hasil siasatan terhadap suspek, polis berjaya mengesan dan menahan beberapa rakannya yang terlibat dalam jenayah itu serta merampas semula tiga buah motosikal yang dilaporkan dicuri sebelum ini bersama komponen tiga buah lagi motosikal yang sudah dileraikan. Ujar beliau, modus operandi penjenayah itu ialah mengagihkan beberapa tugas kepada ahli kumpulannya seperti mencari sasaran lokasi mencuri, pembeli dan tukang lerai komponen motosikal untuk dijual. "Siasatan juga mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau dalam kegiatan sama pada 2009. Kita percaya dapat menyelesaikan 12 kes kecurian motosikal dengan 11 kes di daerah ini dan satu kes di Yong Peng sejak awal tahun ini berikutan tertumpasnya kumpulan ini. "Kesemua suspek sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam curi kenderaan bermotor," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan