Utusan Online - Utara |
- Mangsa kebakaran syukur, terharu
- IPG Perlis juara Pidato 1Malaysia
- 50 Orang Asli ikuti latihan perguruan
Mangsa kebakaran syukur, terharu Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT Oleh NORLIA RAMLI Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan) mendengar sesuatu yang diperkatakan Zulkifli Saad (tiga dari kanan) ketika melawat rumah mangsa yang terbakar di Kampung Pekan Lama Pulai, Baling, baru-baru ini. BALING 24 April - Mangsa kebakaran yang tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian di Kampung Pekan Lama, Pulai dekat sini Jumaat lalu melahirkan rasa syukur apabila bakal mendapat sebuah rumah baharu. Zulkifli Saad, 56, berkata, dia terharu apabila mendapat bantuan segera untuk membina rumah baharu menggantikan rumah mereka yang musnah dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu. Saya bersyukur kepada Allah kerana akan dapat rumah baharu tidak lama lagi, jika tidak, tidak tahulah di mana kami sekeluarga akan tinggal kerana mustahil dalam masa singkat dapat mengumpul wang untuk membina rumah baharu. Kami kini hanya tinggal sehelai sepinggang, menumpang di rumah saudara, tiada apa lagi yang ada," katanya di sini hari ini. Menurut Zulkifli, bantuan tersebut diluluskan oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawat mereka sekeluarga baru-baru ini. Dalam pada itu, menurut Abdul Azeez, mangsa tergolong dalam golongan yang tidak bernasib baik dan wajar mendapat bantuan sebuah rumah baharu memandangkan mereka mempunyai tujuh orang anak. Beliau berkata, melalui peruntukan pejabatnya keluarga berkenaan mendapat sebuah rumah baharu bernilai RM33,000 lengkap dengan tiga bilik tidur dan bilik air. Saya juga meminta UMNO Baling menyumbangkan kelengkapan termasuk peti ais, televisyen, pakaian sekolah dan juga netbook kepada seorang anak mangsa, Nor Syafiqah,19, yang belajar di Kolej Islam Sains Teknologi, Bachok, Kelantan. Saya berharap dengan bantuan itu dapat meringankan beban keluarga berkenaan yang hilang segalanya," kata Abdul Azeez. Dalam kejadian tersebut, tiga anak perempuan Zulkifli dan isterinya, Kamariah Yusof, 52, iaitu Nor Syafiqah, 19, Khairul Nadihah, 14, dan Alia Falida, 12, dikatakan sedang tidur di tingkat bawah rumah papan dua tingkat apabila api muncul di penjuru sebuah bilik. Ketika itu, suami isteri tersebut keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka. |
IPG Perlis juara Pidato 1Malaysia Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT Oleh Sholina Osman KANGAR 24 April - Pelajar Tahun Kedua Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis muncul sebagai juara Pertandingan Pidato 1Malaysia sekali gus akan mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan di Miri, Sarawak pada Jun nanti. Zakhary Farouk Chai, 20, pelajar bidang pengajian bahasa Inggeris ini yang memilih tajuk Transformasi Membentuk Negara Sejahtera berjaya menewaskan tujuh peserta lain. Beliau menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Khaw Hock Kong yang merasmikan majlis itu di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP), Padang Behor di sini hari ini. Tempat kedua disandang oleh M. Ragini, 21, yang menerima wang tunai RM1,000 dan sijil manakala tempat ketiga oleh S. Shermala, 21, menerima wang tunai RM500 dan sijil di mana masing-masing pelajar IPG Perlis. Pemenang saguhati pula menerima hadiah wang tunai RM300 dan sijil. Yang turut hadir Pengarah Penerangan Negeri, Mohammad Lokman Mahmud. Zakhary yang pertama kali menyertai pertandingan pidato di peringkat negeri anjuran Jabatan Pe-nerangan Negeri ini mengakui tidak menyangka akan berjaya dinobatkan sebagai juara. Anak ketiga dari empat adik-beradik ini bersyukur kerana usahanya selama seminggu termasuk membincangkan isi kandungan pidato dengan pensyarah telah membuahkan kejayaan. Saya juga berlatih berpidato selama dua jam sehari di hadapan rakan-rakan supaya lancar bercakap sambil dinilai oleh mereka," katanya yang berasal dari Tawau, Sabah. Beliau berjanji akan memperbaiki beberapa kelemahan dalam kelancarannya bertutur supaya dapat membawa pulang kemenangan di peringkat kebangsaan nanti. Zakhary yang meminati bidang pidato sejak zaman persekolahan percaya minatnya dalam bidang ini akan membantunya untuk menjadi guru yang berjaya di masa depan. |
50 Orang Asli ikuti latihan perguruan Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT SUNGAI SIPUT 24 April - Dalam memastikan pendidikan untuk anak Orang Asli terus terbela, seramai 50 orang dari masyarakat itu kini giat mengikuti latihan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang. Timbalan Rektor IPG Malaysia, Dr. Lee Boon Hua berkata, mereka kini memasuki fasa ketiga latihan di kampus berkenaan dan mereka diharap dapat menjadi kumpulan perintis pertama guru untuk ditugaskan di sekolah Orang Asli. Menurutnya, prestasi mereka berada pada tahap yang baik, bertepatan dengan hasrat IPG yang mengutamakan guru berkualiti dan berkelayakan bagi memperkasakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Pengambilan khas guru pelatih dalam kalangan masyarakat Orang Asli bermula pada tahun 2010. Ini merupakan satu transformasi pendidikan masyarakat Orang Asli supaya mereka mempunyai semangat daya juang untuk meningkatkan pendidikan. Dalam memastikan kemajuan guru, IPG telah menghantar guru pelatih di sekolah Orang Asli di seluruh negara untuk mengenali cara hidup dan budaya masyarakat ini. Setakat ini kita mempunyai 50 pelatih Orang Asli dan kita berharap jumlah itu akan bertambah pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Jalinan Mesra Peribumi 2014 di Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, dekat sini hari ini. Tambah Boon Hua, melalui strategi didik hibur, IPG berharap guru berupaya menyerap tekanan serta berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran sekiranya mereka ditempatkan di kawasan pedalaman seperti perkampungan Orang Asli. Pendidikan ketika ini tidak lagi berkisar kepada pengetahuan asas sahaja tetapi pendidik mesti mampu melahirkan pelajar kreatif yang boleh menyelesaikan masalah serta boleh berfikir secara kritis dan analitis. Bagi mencapai hasrat itu, pendidikan perlu bersifat dinamik dan menyeluruh yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan