Jumaat, 25 April 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Si cilik gegarkan litar

Posted: 24 Apr 2014 06:05 AM PDT

SEBAHAGIAN ibu bapa dan anak-anak yang hadir untuk sesi latihan pocket bike di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, baru-baru ini.

UMPAMA penunggang motosikal profesional apabila melihat lagak kanak-kanak yang berusia lima hingga 13 tahun ini beraksi di tengah litar. Mereka tidak teragak-agak untuk menyengetkan motor sehingga lutut mencecah jalan tatkala di selekoh dan memecut laju di laluan lurus.

Lengkap berpakaian seperti seorang pelumba dan memakai topi keledar serta pelindung-pelindung keselamatan lain di lutut dan siku, deruman dan ngauman bingit pocket bike (motosikal mini) dengan kelajuan yang mencecah 50 hingga 100 kilometer sejam itu tidak pernah menakutkan mereka.

Ketika mereka sedang beraksi, ibu bapa pula berada di tepi litar memberikan sokongan padu dan semangat kepada anak-anak yang tetap utuh dengan gaya.

Paling penting, mereka semua ini menyimpan cita-cita sendiri agar satu hari nanti bergelar pelumba nasional dan ke pentas antarabangsa dalam meniti kejayaan dalam dunia sukan permotoran.

Sukan ini diakui merupakan aktiviti lasak yang memerlukan kecekalan dan kecekapan serta semangat yang kuat dalam diri seseorang selain berbekalkan minat.

Ternyata, sebaik ditanya kepada ibu bapa kanak-kanak yang terlibat dalam sukan pocket bike ini apakah perasaan mereka melihat ketangkasan dan aksi anak ketika berlumba atau menjalani latihan, bagi mereka perasaan resah dan khuatir kiranya anak-anak mereka tercedera, kini sudah semakin berkurangan.

"Pada mulanya, saya khuatir juga dan tidak mahu beri dia galakan dalam sukan ini takut tercedera. Namun, memikirkan minatnya yang mendalam dalam bidang ini saya membiarkan sahaja dan kini saya semakin yakin dengan anak saya, Mohd. Zaki Ahmad Zamri, 11, yang semakin cekap menunggang pocket bike.

"Sudah dua tahun dia berkecimpung dalam bidang ini. Minatnya terhadap sukan ini timbul apabila melihat dua orang sepupunya yang turut terlibat dalam sukan ini.

"Apa yang membanggakan setakat ini dia telah membawa pulang banyak pingat kemenangan," kata Norziana Saad, 43, anak jati Klang, Selangor, yang sentiasa memastikan anaknya memakai pakaian keselamatan yang diperlukan sebelum berlumba.

Norziana yang baru-baru ini ditemui di Litar Lumba Sepang, bersama ibu bapa lain bagi sesi latihan sebelum ke pertandingan yang akan diadakan di Johor tidak lama lagi, mengakui anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Meru Dua, Klang itu pernah mengalami kecederaan.

Kemalangan itu berlaku ketika berlumba dalam satu pertandingan di Kulai, Johor, tahun lepas sehingga Mohd. Zaki dimasukkan ke hospital memandangkan organ-organ dalamannya membengkak.

Namun, kecederaan itu sedikit pun tidak mematahkan semangat anak bongsunya itu untuk terus menceburi dunia sukan permotoran, malah semakin membara apabila setiap hujung minggu dia akan menantikan saat untuk berlatih atau terpilih untuk berlumba.

Menurut Norziana, selain Litar Antarabangsa Sepang (SIC), anaknya turut berlatih di Stadium Kuala Selangor.

Rata-rata katanya, umur kanak-kanak yang menjadikan sukan pocket bike sebagai hobi sukan mereka adalah dari lima tahun dan ke atas, malah ada juga orang dewasa yang menunggang motosikal mini ini.

Sementara itu apabila ditanya kepada Mohd. Zaki mengenai minatnya itu, dia menyatakan rasa seronok apabila dapat menunggang pocket bike di litar secara profesional.

Dia juga menjadikan pelumba motosikal negara, Zamri Baba sebagai idolanya.

"Pernahlah jatuh tetapi sakitnya cuma sekejap, selepas itu saya cuba lagi yang terbaik," katanya bersemangat tinggi.

Mohd. Zaki bertuah, kerana abangnya, Mohd. Zaidi, 23, sentiasa memberi sokongan moral kepadanya dalam bidang itu.

Mohd. Zaidi, yang ketika seusia adiknya dahulu, turut berjinak-jinak dalam sukan itu. Kini sudah tentu dia memberi galakan yang serupa kepada adiknya untuk meneruskan kesinambungan minatnya.

Bekerja dengan membuka sebuah bengkel kereta, Mohd. Zaidi mengakui, dia banyak melakukan ubai suai pada kenderaan pocket bike adiknya agar lebih berkuasa tinggi dan motosikal mini itu lebih senang untuk dikawal.

"Sebenarnya seronok menunggang motosikal mini ini, selain rupanya yang comel, ia juga dibekalkan dengan kapasiti enjin 40cc dan 50cc. Enjin tersebut boleh dipertingkatkan kuasanya berdasarkan keupayaan motosikal berkenaan," jelasnya yang sentiasa mengiringi adiknya ketika berlatih mahupun dalam mana-mana pertandingan di seluruh negeri.

Modal besar

Sementara itu seorang ahli perniagaan, Fairuz Baim, 38, berharap dua orang anak lelakinya, Mohd. Haziq,13, dan Mohd. Hazim, 10, akan menjadi seorang pelumba litar profesional satu hari nanti.

Bekas pelumba Cub Prix ini memberitahu, berbekalkan pengalaman lalu, dia cuba menyalurkan kepada anak-anaknya itu agar mereka boleh lakukan yang terbaik.

"Hendak ceburi bidang ini memang perlukan modal yang bukan sedikit. Ini termasuklah membeli pocket bike, yang jika dari Itali atau Eropah, harganya mencecah daripada RM15,000 sehingga RM18,000, berbanding dari China yang berharga RM5,000.

"Setelah dibeli, motosikal ini juga perlukan penjagaan, penyelenggaraan, membetulkan kerosakan termasuk enjin, serta kos pengangkutan pergi dan balik ke tempat pertandingan atau latihan dan minyak," kata Fairuz.

Namun katanya, setiap yang dilakukan ini adalah bagi memberi pendedahan kepada anaknya dari usia masih muda dalam dunia permotoran.

Bakat mereka perlu digilap di lapangan yang betul dengan diawasi oleh orang dewasa daripada merempit tidak tentu hala sehingga boleh membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.

Katanya sukan lasak berkenaan sudah lama bertapak di negara luar dan di negara ini ia berkembang sejak tahun 1995 sehingga ada yang menubuhkan persatuan pocket bike masing-masing.

Begitupun setakat ini dia dan anak-anaknya, tidak bernaung di bawah mana-mana persatuan kerana lebih senang bergerak sendiri.

Apa itu pocket bike

Menunggang pocket bike adalah menyeronokkan kerana ia direka dengan kelas dan gaya yang tersendiri bagi motosikal mini.

Motosikal ini dibina dengan aluminium dengan kerangka besi. Ia mungkin tidak mempunyai kelajuan yang keterlaluan, namun masih boleh digunakan untuk memanjat bukit.

Motosikal mini ini juga bergantung kepada saiz dan berat orang yang menunggangnya dengan perasaan yang sama sebagaimana menunggang motosikal biasa, cuma bezanya saiznya yang lebih kecil.

Kenderaan ini juga boleh menggunakan sama ada elektrik atau diesel untuk menjalankannya. - ROSMAH DAIN

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved