Jumaat, 25 April 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


30 warga Afrika ditahan Op Cantas Khas di Cheras

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

SEBAHAGIAN warga Afrika yang ditahan dalam Op Cantas Khas/Op Tiong di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 25 April - Seramai 30 lelaki serta wanita Afrika ditahan dalam Op Cantas Khas/Op Tiong yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman di sebuah kondominium dan kafe siber di Cheras, di sini hari ini.

Operasi bersepadu selama lapan jam bermula pukul 11 malam tadi itu turut disertai empat agensi lain iaitu Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) II, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, operasi berkenaan menyasarkan warga asing khususnya dari Afrika yang terlibat dalam penipuan internet seperti Love Scam, Parcel Scam, Black Money serta merekrut keldai dadah.

"Mereka yang ditahan adalah 26 lelaki dan empat wanita iaitu dari Nigeria, Cameron, Sudan, Zimbabwe, Mauritius dan Tanzania.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 23 orang mempunyai dokumen sebagai pelajar manakala selebihnya tiada. Turut dirampas ialah enam buah komputer riba," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Jalil, kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Abdul Jalil berkata, pada tahun lalu, pihaknya menerima sebanyak 1,255 laporan polis berkaitan penipuan yang dilakukan warga asing dari Afrika melibatkan kerugian berjumlah RM80 juta.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 486 tangkapan telah dilakukan.

"Pada tahun ini pula iaitu bermula Januari hingga April ini, sebanyak 239 laporan diterima melibatkan kerugian berjumlah RM10 juta manakala sebanyak 187 tangkapan dilakukan sejak Januari hingga Mac," ujarnya.

Abdul Jalil berkata, sebanyak lima institusi pengajian tingi swasta (IPTS) telah ditarik lesen pengambilan pelajar warga asing oleh KPT pada tahun ini kerana melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Pada tahun lalu, KPT turut menarik lesen daripada lima buah IPTS atas kesalahan sama," katanya.

Op Cantas Khas rampas barang seludup RM7 juta

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

KOTA BHARU 25 April - Pasuka Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barang seludup bernilai RM7 juta dalam Op Cantas Khas yang bermula Oktober tahun lalu sehingga hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA negeri, Supritendan Dahlan Mohd. Noor berkata, jumlah rampasan itu menunjukkan peningkatan hasil operasi berterusan yang dilakukan oleh pihaknya.

Beliau berkata, operasi tersebut meliputi seluruh negeri Kelantan terutamanya kawasan daerah sempadan dengan Thailand seperti Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 140 kes telah dicatatkan. Ia juga menunjukkan peningkatan daripada fasa satu sehingga fasa empat.

"Setakat ini sebanyak tujuh kes melibatkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menyeludup dadah.

"Kita percaya dan yakin bahawa kita akan menangkap dan merampas lebih banyak lagi barang yang diseludup dalam masa terdekat ini," katanya dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dahlan berkata, operasi tersebut akan terus diadakan di negeri itu sehingga kes penyeludupan dapat dikekang sepenuhnya.

Ujarnya, seramai 45 anggota PGA dari negeri ini, Terengganu dan Pahang akan terlibat dalam operasi tersebut.

"Operasi ini untuk membanteras jenayah rentas sempadan yang melibatkan aktiviti penyeludupan terutamanya senjata api, dadah dan pemerdagangan manusia," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved