Utusan Online - Johor |
Pemuda berhenti kerja jaga ibu bapa Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD Zulkurnain Kamisan (duduk) melihat Xan Abd. Kader yang dijaga oleh anak bongsunya, Muhammad Hairul Xan (kiri) ketika melawat keluarga itu di Parit Sulong, Batu Pahat, baru-baru ini. BATU PAHAT 24 April - Anak bongsu daripada sembilan beradik sanggup berhenti kerja di sebuah kilang di sini sejak tiga tahun lalu kerana mahu menjaga ibu bapanya yang terlantar sakit di rumah. Muhammad Hairul Xan, 35, berbuat demikian kerana bapanya, Xan Abd. Kader, 85, memerlukan penjagaan rapi setiap masa selepas terlantar di katil akibat sakit tua sejak enam tahun lalu. Sebelum ini, ibu saya, Wardienah Abdul Ralim, 80, yang menjaga bapa, tetapi tidak lama kemudian ibu juga sakit sejak empat tahun lalu menyebabkan semua urusan berkaitan mereka dilakukan oleh saya. Adik-beradik yang lain sudah berkahwin dan tinggal di luar Johor, tetapi mereka juga ada datang menjenguk ibu dan bapa. Saya tidak boleh meninggalkan mereka terlalu lama kerana bimbang dengan keadaan kesihatan mereka," katanya ketika ditemui di Parit Sulong di sini baru-baru ini. Muhammad Hairul juga sanggup menangguhkan hasrat berkahwin kerana merasakan tanggungjawab menjaga ibu bapanya perlu diutamakan. Saya serahkan soal jodoh kepada Allah. Kalau ada, saya akan kahwin tetapi buat masa ini saya masih belum memikirkannya kerana sudah pasti masa untuk menjaga ibu dan bapa agak terhad," katanya yang kini berkebun secara kecil-kecilan di belakang rumah mereka. Dia mengakui pendapatan hasil tanaman tidak menentu dan kadangkala tidak mampu membeli ubat untuk orang tuanya. Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan yang melawat keluarga itu berjanji akan merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu mendapatkan bantuan sewajarnya untuk kedua-dua warga emas berkenaan. Sekiranya mereka masih belum menerima sebarang bantuan, saya akan uruskan kerana dengan bantuan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban terutamanya untuk membeli ubat serta keperluan warga emas itu," katanya. |
Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT Oleh AZIZI MAJID JOHOR BAHRU 24 April - Agensi pelancongan yang mengendalikan urusan umrah di negeri ini diminta memantau tahap kesihatan jemaah sebelum dan selepas pulang mengerjakan ibadah tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, langkah itu bagi memastikan jemaah khususnya yang baru pulang dari Mekah bebas daripada dijangkiti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV). Beliau berkata, langkah tersebut mampu mencegah penularan virus yang dipercayai disebar menerusi unta itu daripada menjangkiti orang ramai dan ahli keluarga seandainya jemaah terlibat disahkan dijangkiti MERS-CoV. Jabatan Kesihatan negeri telah memaklumkan kepada semua 32 agensi pelancongan yang mengendalikan urusan umrah di negeri ini agar sentiasa memantau kesihatan jemaah. Ini termasuk menasihati jemaah untuk membuat pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik kesihatan berhampiran sama ada sebelum berangkat ke Mekah ataupun sebaik sahaja pulang mengerjakan ibadat tersebut," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Bumi dan melancarkan Program Alam Sekitar peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) negeri 2014 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Mokhtar Abdul Majid dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan UTM, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman. Baru-baru ini, seorang penduduk Kampung Bintang, Batu Pahat, Kamaroz Zaman Jafri, 54, meninggal dunia sebaik pulang mengerjakan umrah akhir bulan lalu akibat dijangkiti MERS-CoV. Ayub berkata, agensi pelancongan tersebut juga dinasihatkan supaya tidak melibatkan jemaah dengan aktiviti berkaitan unta atau minum susu haiwan peliharaan berkenaan sepanjang menunaikan ibadat di Tanah Suci. Dalam pada itu beliau memberitahu, jumlah penduduk yang dikenakan pengawasan dalam rumah juga telah berkurangan, hanya lapan orang yang merupakan sanak-saudara kepada Kamaroz Zaman yang masih dipantau tahap kesihatan mereka. Pihaknya akan terus memantau perkembangan terkini jangkitan MERS-CoV dan meminta orang ramai yang mengalami demam, batuk, selesema dan sakit tekak supaya segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan