Utusan Online - Sukan |
Regatta Lepa XXI terima pengiktirafan MBOR Posted: 25 Apr 2014 08:41 PM PDT SEMPORNA 26 April - Sambutan tradisi masyarakat Bajau Semporna Regatta Lepa XXI mencatat sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records selepas berjaya menghimpunkan lepa terbanyak dalam acara yang dianjurkan di sini hari ini. Majlis penyerahan sijil pengiktirafan itu sempurnakan wakil Ketua Menteri yang merupakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Sabah (SEDCO), Datuk Seri Nasir Tun Sakaran dan disaksikan Penasihat Jawatankuasa Pelaksana Regatta Lepa XXI, Datuk Dr. Jaujan Sambakong. Perayaan yang masuk edisi ke-21 itu berjaya menarik sejumlah 375 penyertaan lepa daripada penduduk dan sekitar daerah itu berbanding hanya sekitar 200 penyertaan pada tahun lalu. - UTUSAN ONLINE |
Shahrun Nabil tersingkir daripada skuad ke kejohanan CC1 Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT Oleh SHAHRINNAHAR LATIB MOHD. Shahrun Nabil Abdullah antara tiga pemain yang digugurkan daripada skuad negara untuk kejohanan CC1 di Kuantan setelah pasukan negara membuat saringan ketat. KUANTAN - Persaingan sengit untuk mendapatkan tempat dalam skuad hoki negara menyaksikan Mohd. Shahrun Nabil Abdullah menerima berita mengejutkan apabila dia tercicir daripada senarai pasukan yang akan bersaing dalam Cabaran Juara-Juara 1 (CC1) di sini. Keputusan mengejut itu diumumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam, yang turut menyaksikan Muhammad Razie Abdul Rahim dan Muhamad Ramadan Rosli turut digugurkan daripada pasukan ke kejohanan itu, yang berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia bermula hari ini. Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, sesi pemilihan yang ketat dibuat terhadap 21 pemain sebelum ini bagi memastikan mereka mendapat skuad 18 pemain terbaik untuk kejohanan tersebut. "Keputusan itu dibuat kerana perlawanan tersebut hanya memerlukan 18 pemain dan kita memerlukan gabungan pemain muda dan senior," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam. Menurut beliau, kejohanan itu menjadi petunjuk penting dalam memastikan kedudukan skuad hoki negara dalam ranking dunia terus diperbaiki, dan sebagai persiapan menjelang kempen Piala Dunia di The Hague, Belanda 30 Mei depan. "Ini adalah barisan terbaik yang dipilih selepas mereka mengharungi perlawanan persahabatan dengan China yang mana kita telah menang sebanyak tiga perlawanan, satu perlawanan kita kalah dan satu lagi kita seri. "Dengan percaturan terbaik skuad yang menggabungkan pemain remaja dan senior, saya percaya kita mampu melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini," katanya. Sementara itu, ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, para pemain yang tidak terpilih menganggotai skuad yang bermain dalam kejohanan itu masih berpeluang disenaraikan ke Belanda nanti. Dalam pada itu, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu mahu anak buahnya mempamerkan aksi terbaik dalam CC1 dan berharap berada dalam kedudukan pertama di peringkat kumpulan. "Dengan kedudukan pertama di peringkat kumpulan memudahkan lagi kita melangkah ke final selepas ini. Harapan saya para pemain yang dipilih dapat buat yang terbaik untuk pasukan," katanya. Skuad negara berada dalam Kumpulan B bersama Perancis, Korea Selatan dan Kanada manakala Kumpulan A pula terdiri daripada New Zealand, Jepun, Ireland dan Poland. Malaysia akan menentang Perancis pada pukul 9 malam hari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan