Khamis, 10 April 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Caj baharu pasang meter air di NS

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

Oleh Farabi Sheikh Said Al Jabri
utusann9@utusan.com.my

Mohamad Hasan bersalaman dengan penerima sumbangan pada sidang akhbar dan penyampaian cek sumbangan kerajaan negeri di Wisma Negeri di Seremban, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

SEREMBAN 9 April - Kerajaan negeri mengumumkan kadar caj meliputi deposit, fi dan caj perkhidmatan pemasangan meter air bagi domestik serta komersial dan industri telah dirombak berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, sebelum ini kadar semasa bagi pemasangan air bagi domestik adalah sebanyak RM75 manakala kadar bagi komersial dan industri semasa berjumlah RM300.

Dengan penguatkuasaan peraturan baharu itu, kadar deposit bagi semua permohonan adalah berdasarkan jenis rumah yang didiami.

Bagi flat dan rumah kos rendah adalah sebanyak RM50, unit rumah pangsa, kondominium dan rumah satu tingkat adalah RM70 manakala rumah dua dan berbilang tingkat kadarnya sebanyak RM100,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sementara itu kata Mohamad, kadar deposit rumah pangsa, kondominium, flat, komuniti berpagar dengan meter pukal sebanyak RM3,000 akan dikurangkan kepada RM2,000.

Mengulas lanjut mengenai kadar deposit kategori komersial dan industri, Mohamad berkata, kadarnya telah disemak di bawah peraturan baharu iaitu rumah kedai setingkat adalah sebanyak RM200 manakala RM300 bagi kedai dua tingkat dan berbilang tingkat.

Peraturan baharu ini juga kata Mohamad, tidak akan mengenakan caj sumbangan modal terhadap beberapa jenis premis antaranya skim perumahan kos rendah yang dibiayai oleh kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

Turut terlibat adalah premis yang dimiliki oleh rumah individu selepas dinilai kurang daripada RM70,000, tempat beribadat dan bangunan institusi keagamaan.

Selain itu juga pusat komuniti, dewan serbaguna untuk kegunaan awam serta organisasi tanpa untung seperti pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar turut dikecualikan," katanya.

Jelas Mohamad lagi, peraturan baharu tersebut dilakukan atas semangat ingin mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab membayar bil air mereka dalam tempoh ditetapkan.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) telah menaikkan kos pemotongan atau penyambungan semula air daripada RM25 mengikut jenis meter.

Bagi meter bersaiz 50 milimeter (mm) kadarnya adalah sebanyak RM70, bagi saiz 50 mm hingga 100 mm adalah sebanyak RM100, untuk saiz 100 mm hingga 150 mm kadarnya adalah RM200.

Saiz lebih daripada 150 mm jumlahnya adalah sama seperti yang ditanggung oleh Sains dan notis pemotongan bekalan air adalah sebanyak RM3," kata beliau.

MB bimbang kes denggi di Seremban tinggi

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

SEREMBAN 9 April - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan kebimbangannya mengenai demam denggi di Negeri Sembilan apatah lagi dengan daerah ini menjadi penyumbang utama wabak berkenaan iaitu mencatatkan sebanyak 1,233 daripada jumlah keseluruhan 1,382 kes.

Jelas Mohamad, kes demam denggi pada tahun ini amat tinggi berbanding beberapa tahun lalu sekali gus memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk membanteras wabak tersebut habis-habisan.

Ini adalah gerak kerja kedua-dua pihak dalam menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya bahaya penyakit ini dan masyarakat pula perlu memainkan peranan untuk sama-sama pastikan persekitaran rumah tidak dijadikan sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya selepas merasmikan Penutup Ayuh Gempur Aedes Sempena Gotong-Royong Perdana di Flat Taman Semarak dekat Nilai di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd. Wahid dan Pengerusi COMBI negeri, Datuk Dermataksiah Abdul Jalil.

Sehubungan itu, Mohamad meminta kerjasama orang ramai untuk mencegah wabak tersebut daripada terus merebak dengan menghapuskan semua tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan masing-masing.

Saya harap orang ramai dapat luangkan masa, tak lama pun dalam 10 minit untuk membersihkan kawasan di luar dan dalam yang berpotensi menjadi sarang pembiakan jentik-jentik.

Wabak ini tiada vaksin dan satu cara untuk menanganinya adalah melalui kebersihan di mana kita perlu hapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Lahirkan generasi muda cintakan warisan - KM

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

MELAKA 9 April - Generasi muda disaran agar sentiasa mempersiapkan diri bagi memikul tanggungjawab sebagai pewaris khazanah negara yang berterusan, sekali gus membentuk semangat cintakan warisan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kekuatan yang ada pada golongan itu yang dilihat membesar dalam dunia teknologi maklumat serba canggih diyakini mampu melebarkan peranan mereka dalam memelihara warisan.

Tidak lama dahulu kita pernah mengadakan program yang menggunakan platform warisan, melibatkan golongan muda yang bergotong-royong dalam memulihara dan memelihara tapak-tapak warisan di negeri ini.

Daripada situ saya melihat nilai yang besar yang penglibatan golongan itu dalam memelihara tapak-tapak warisan. dan saya percaya apabila mereka telah mula menjaga pasti tidak akan sanggup memusnahkannya.

Perkara inilah yang membuatkan kita yakin dengan melibatkan golongan itu dalam pelbagai program warisan bagi menjaminnya kekal pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Belia dan Warisan di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol.

Pada seminar itu, sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan dengan tajuk Cabaran dan Hala Tuju Pengurusan Tapak Warisan Dunia di Malaysia, Bandar Raya Warisan Dunia: Satu Pembelajaran Mengenai Pengalaman Melaka dan Ke Arah Pemerkasaan Komuniti Belia Tempatan Dalam Memartabatkan Warisan Melaka.

Menurut Idris, seminar yang menggabungkan dua aspek iaitu belia dan warisan itu membolehkan kerajaan negeri mencari titik persamaan antara kedua-duanya.

Katanya, kebiasaannya belia sering dikaitkan dengan portfolio kebudayaan, belia dan sukan, namun dalam seminar itu golongan ini dan warisan berjaya disatukan.

Saya beranggapan terdapat suasana simbiotik iaitu warisan itu sendiri memerlukan belia sebagai kesinambungan kepada mesej warisan dan belia pula memerlukannya untuk maju ke hadapan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved