Utusan Online - Mahkamah |
Dua pemuda didakwa bunuh ejen pelancongan Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT DARI KIRI: Mohd. Shahrul Ruzaimy Maznan, Norazmi Ahmad ALOR SETAR 10 April - Dua pemuda berdepan hukuman di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang ejen pelancongan yang mayatnya ditemui dengan kaki terikat di sebuah bilik hotel di sini bulan lalu. Penganggur, Mohd. Shahrul Ruzaimy Maznan, 21, dan tukang besi, Norazmi Ahmad, 25, didakwa bersama-sama membunuh Michael Ibraham, 60, di sebuah bilik Hotel Regency, Jalan Sultan Badlishah dekat sini pada pukul 2.33 petang, 13 Mac lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh-tertuduh. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd. Nor manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. Nurshahida menetapkan sebutan semula kes pada 4 Jun ini dan tiada jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh. Pada 14 Mac lalu, akhbar melaporkan seorang warga emas ditemui mati dengan kaki terikat di sebuah bilik hotel di sini. Mayat lelaki tersebut ditemui seorang pekerja hotel terbabit setelah dia tidak mendaftar keluar pada waktu ditetapkan. |
Pemandu teksi dapat ganti rugi RM400,000 anak mati dalam tahanan Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT KUALA LUMPUR 10 April - Seorang pemandu teksi hari ini menerima ganti rugi RM401,000 ekoran kecuaian enam defendan sehingga menyebabkan kematian anaknya ketika ditahan di Penjara Sungai Buloh, tujuh tahun lalu. Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan demikian setelah Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad pada 12 Februari lalu membenarkan saman pemandu teksi itu, M. Ghaur Chandram, 57, terhadap keenam-enam defendan tersebut. Peguam, Arnold Andrew yang mewakili Ghaur Chandram ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding di kamar hakim berkata, jumlah itu meliputi ganti rugi am RM100,000 dan ganti rugi teladan RM100,000 serta ganti rugi khas RM192,000. Mahkamah turut memerintahkan kesemua defendan, iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pengarah Penjara Sungai Buloh, Kerajaan Malaysia, pegawai perubatan bertugas di Hospital Penjara Sungai Buloh dan dua warden di penjara itu membayar kos pengebumian RM4,000 dan probet RM5,000. Menurut Andrew, Hakim Nik Hasmat turut mengarahkan kesemua defendan membayar kos sebanyak RM60,000. Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, H. S. Huam. yang mewakili semua defendan memberitahu, pihaknya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan pada Februari lalu dan akan mendapatkan arahan sama ada akan merayu terhadap perintah hari ini. Pada 12 Februari lalu, Ghaur Chandram menang dalam kes samannya terhadap Ketua Setiausaha KDN dan Pengarah Penjara Sungai Buloh yang dinamakan sebagai responden pertama dan kedua. Dalam penghakiman tersebut, Hakim Nik Hasmat menyatakan terdapat kecuaian dilakukan pihak penjara Sungai Buloh ketika G. Uthayachandran, 23, yang ketika itu berada dalam tahanan mereka dan pihak responden sepatutnya bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan mangsa. Uthayachandran yang ditahan ekoran kesalahan berkaitan dadah meninggal dunia pada 18 Mei 2008. Hakim Nik Hasmat berkata, berdasarkan keterangan saksi, terdapat fakta menunjukkan mangsa yang berada dalam lokap, telah dibawa turun ke bawah ketika proses catuan makanan berlaku dan pegawai penjara tidak menutup pintu hingga menyebabkan mangsa diserbu banduan lain. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan