Khamis, 10 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Ujian kesetiaan Pas dalam pakatan

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar

DALAM memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud, adakah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ini bersama-sama Pas? - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

SEPANJANG menjalinkan persahabatan atau tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Pas telah menunjukkan semangat kesetiaan yang cukup luar biasa.

Disebabkan kesetiaan dan pengorbanan Pas ia memungkinkan pakatan pembangkang terus mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang dan Selangor, selain terus menguasai Kelantan.

Tiada siapa pun dalam kalangan pemimpin mahupun penyokong PKR atau DAP boleh mempertikaikan pengorbanan besar yang dilakukan oleh Pas dalam memantapkan pakatan pembangkang sehinggakan sejak 2008, pakatan itu berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat.

Tidak cukup dengan itu, Pas juga merupakan penyumbang penyokong terbesar apabila ada himpunan jalanan yang hendak dilakukan oleh pembangkang dan jentera parti itu bertungkus lumus siang dan malam apabila ada pilihan raya bagi memastikan kemenangan sama ada calon Pas, PKR mahupun DAP.

Dan kini semangat kesetiaan dan pengorbanan Pas dalam pakatan itu bakal diuji apabila Pas melalui wakilnya di Parlimen akan membentangkan rang undang-undang persendirian bagi mendapatkan kebenaran untuk membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Ketika Kerajaan Pusat sudah memberi laluan untuk kerajaan Pas Kelantan berbuat demikian manakala wakil BN di negeri itu menyatakan sokongan, kerajaan Pas Kelantan sedang giat membuat persiapan melalui Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

Bagaimanapun seperti diduga, keghairahan dan keterujaan Pas itu bukan sahaja tidak dikongsi oleh PKR dan DAP, malah mereka secara terbuka menentang hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk membentang rang undang-undang itu.

DAP melalui Ketua Publisitinya, Tony Pua secara terbuka berkata, DAP tidak akan menyokong rang undang-undang yang mahu dikemukakan oleh Pas itu manakala Naib Presiden PKR, N.Surendran pula mengingatkan Pas bahawa pakatan pembangkang telah membuat keputusan yang jelas tentang hudud pada tahun 2011.

"Ketiga-tiga pihak secara terbuka mengumumkan bahawa tidak akan melaksanakan hudud kecuali mendapat persetujuan semua pihak dalam pakatan. Tidak ada kata sepakat tentang hal ini," kata Surendran.

Sebenarnya penentangan yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP bukanlah perkara baharu sebaliknya mengesahkan tafsiran selama ini bahawa Pas bukanlah dianggap kawan atau sahabat dalam pakatan tetapi sebaliknya sekadar platform untuk meraih sokongan daripada pengundi Melayu.

Kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PKR dan DAP dalam perjuangan Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan jelas membuktikan mereka seolah-olah tidak mempunyai perasaan hormat kepada Pas.

"Kalau mahu menilai pengorbanan Pas dalam pakatan pembangkang ia terlalu besar, sepatutnya DAP dan PKR berkompromi dengan menyokong Pas dalam melaksanakan hudud di Kelantan tetapi terbuktikan kedua-dua parti itu khususnya DAP dulu, kini dan selamanya konsisten dengan pendirian mereka," kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Dalam bahasa mudahnya, PKR dan DAP hanya mahu memperalatkan Pas bagi menumbangkan BN dalam pilihan raya tidak kira sama ada pilihan raya kecil mahupun umum dan apabila Pas berusaha menegakkan perjuangan Islamnya maka parti itu akan ditentang habis-habisan.

Itulah yang berlaku sekarang apabila kedua-dua parti itu langsung tidak mempunyai rasa hormat untuk membenarkan Pas membentangkan rang undang-undang bagi pelaksanaan hukum hudud itu. Sebagai sahabat sepatutnya, PKR dan DAP menghormati prinsip perjuangan Pas.

Namun semua itu tidak berlaku kerana Pas hanya berkongsi misi dengan PKR dan DAP untuk meraih kuasa politik dan bukannya berkongsi prinsip perjuangan. Sebab itulah sejak awal lagi ramai pihak melihat tahaluf siyasi Pas dengan kedua-dua parti itu akhirnya akan merugikan Pas.

Dan sekarang apa yang dibimbangi sudah menjadi kenyataan. PKR dan DAP menunjukkan wajah sebenar mereka bahawa penentangan terhadap hukum hudud bukan sekadar kenyataan politik sebaliknya akan melibatkan tindakan politik apabila menyatakan akan menolak hukum itu apabila dibentangkan di Parlimen.

Bagaimanapun, harapan tetap diletakkan kepada Pas supaya tidak berundur walaupun setapak dalam memastikan rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen. Kalau benar Pas memperjuangkan Islam dan mahu menegakkan hukum hudud maka mereka perlu ada keberanian untuk melawan penentangan yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP.

Tambahan pula pelaksanaan hukum tersebut hanya di Kelantan yang 99 peratus penduduknya beragama Islam dan dari segi politik DAP tidak ada apa-apa pengaruh di negeri itu manakala PKR pula bagaikan hidup segan mati tak mahu serta mengharapkan ihsan politik Pas untuk terus bernyawa di Kelantan.

Oleh itu, persetankan bantahan mereka, kerajaan Pas Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob tidak perlu berasa gentar atau takut dengan ancaman politik PKR dan DAP.

Selama ini, Pas sentiasa menuding jari kepada Kerajaan Pusat apabila tidak dapat melaksanakan hukum hudud di Kelantan tetapi kini masalah itu sudah tidak ada.

Justeru, ini masanya untuk Pas membuktikan bahawa mereka bukannya pak turut apatah lagi hamba politik dalam pakatan pembangkang, sebaliknya Pas adalah sebuah parti bermaruah dan bermartabat serta sanggup menempuh apa sahaja bagi menegakkan perjuangan Islamnya.

Apatah lagi, Kerajaan Pas Kelantan sudah memberi jaminan bahawa mereka tidak akan memaksa bukan Islam di negeri itu untuk mematuhi hukum hudud sekiranya ia dilaksanakan tahun depan.

Selain itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut memberi jaminan, hukum hudud yang akan dikuatkuasakan di negeri itu hanya wajib ke atas umat Islam.

Justeru, PKR dan DAP yang kita tahu amat mengharapkan sokongan bukan Melayu atau mahu menunjukkan kononnya mereka pembela golongan itu tidak perlu bimbang.

Kalaulah benar PKR dan DAP memperjuangkan demokrasi maka mereka juga perlu memahami demokrasi juga membenarkan Pas membentangkan rang undang-undang berkaitan hukum hudud di Parlimen.

Dan dalam masa sama, pembentangan rang undang-undang itu akan menjadi titik tolak kepada Pas sendiri untuk menilai siapakah sebenar dalam kalangan pemimpin parti itu yang benar-benar berpegang kepada wadah perjuangan Islam Pas dan bukannya berkongsi keghairahan untuk merebut kuasa bersama PKR dan DAP.

Wasatiyyah dan indeks Maqasid Syariah

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

DARI JENDELA TOK KI

SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perasmian Seminar Antarabangsa Wasatiyyah baru-baru ini mengenai penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa adalah menarik untuk diteliti.

Ia adalah suatu saranan yang baik supaya negara-negara Islam dapat mengukur setakat mana lima prinsip dalam Maqasid Syariah telah dilaksana dan dirancang untuk dilaksana dalam negara masing-masing.

Maqasid Syariah berasaskan lima prinsip iaitu menjaga agama (Deen), nyawa (kehidupan), akal (ilmu dan pendidikan), maruah (jati diri Islami) dan harta benda (kekayaan sumber).

Allah mengurniakan sumber rahmah dan nikmat yang banyak di negara-negara Islam. Buminya yang subur dan hasil perut buminya yang banyak, suatu tamadun yang pernah lahir dan bertahan selama 700 tahun sebagai sumber refleksi, jumlah manusia melepasi 1.6 bilion yang memerlukan pemugaran kembali supaya kekuatan tamadun Islam memberi inspirasi bersama dengan kekuatan sumber hasil bumi dan sumber daya manusia yang banyak.

Umat Islam kini sudah hilang prioriti atau keutamaan. Peperangan, perseteruan, perpecahan, kebencian dan dendam kesumat menjadi pilihan mereka menyebabkan kelemahan yang sangat ketara berlaku.

Umat Islam memerlukan pendekatan bijaksana bagaimana strategi dan maslahah dapat disantuni supaya terelak menjadi mangsa pihak ketiga dengan mengambil pendekatan sederhana dan berimbang supaya yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak berciciran.

Wasatiyyah seperti yang terungkap dalam Surah Al Baqarah : 143 adalah manifestasi pendekatan bijaksana dan adil supaya umat Islam menjadi saksi kepada contoh kemajuan dan perubahan bagi umat manusia seperti yang berlaku pada masa terdahulu.

Maqasid Syariah menuntut supaya agama terpelihara. Memelihara agama bukan sekadar menampilkan syiar yang sifatnya rohaniah semata tetapi Deenul Islam harus mampu dijana sebagai sumber tamadun.

Nyawa atau kehidupan umat Islam harus berada dalam tahap karamah insan supaya diri mereka terpelihara, tidak menjadi mangsa kepada eksploitasi pihak ketiga, jutaan terpinggir sebagai pelarian dan tahap kesihatan yang rendah bagi sesetengah negara.

Ia memerlukan strategi membangun akal fikir supaya sistem ilmu dan pendidikan yang sifatnya integratif dan holistik terjadi untuk menghasilkan modal insan yang mampu mencetuskan perubahan dan kemajuan.

Maruah atau jati diri Islami warga umat perlu dipertahan dan dikembang suburkan supaya keupayaan dan kejayaan umat Islam menjadi contoh terbaik kebangkitan "Order Baru Dunia" yang menjadikan ilmu yang bermanfaat dan teknologi yang terpedoman sebagai landasan memugar kekayaan yang dimiliki.

Malaysia boleh menjadi contoh kepada dunia Islam bagaimana pendekatan wasatiyyah yang diteroka sekian lama menghasilkan kemajuan dan perubahan yang boleh menjadi contoh kepada negara Islam yang lain. Kita tidak memilih jalan revolusi dan anarki dalam realiti masyarakat majmuk yang menuntut ketinggian kebijaksanaan.

Dalam bidang pendidikan integrasi dan Islamisasi ilmu terjadi, Pelan Pembangunan Pendidikan mengambil kira asas-asas negara yang fundamental dan menyediakan generasi penerus menghadapi cabaran globalisasi, Universiti Al-Quran bakal dibina dan menghasilkan graduan yang mempunyai daya kompetensi tinggi untuk hadir dalam sistem.

Dalam bidang ekonomi dan kewangan perbankan dan takaful Islam, sukuk dan waqaf berkembang sehingga Bank Rakyat yang patuh syariah menjadi tarikan peminjam dan pelabur Bukan Islam. Undang-undang keluarga Islam diperkemas, sistem mahkamah syariah dipertingkatkan, industri halal dimajukan dan dasar-dasar negara menyantuni kelompok miskin dan kebajikan golongan yang tidak bernasib menjadi agenda negara.

Pada hemat penulis, Malaysia harus mewujudkan Indeks Maqasid Syariahnya terlebih dahulu supaya suatu jawatankuasa di peringkat antarabangsa dibangunkan dan menjadikan model Malaysia sebagai model rujukan.

Umat Islam harus meletakkan wahdah atau kesatuan sesama umat sebagai keutamaan, bijaksana dalam mengurus krisis, cabaran dan kemenangan. Pendekatan berimbang (wasat) dan sederhana ternyata memberi kesan positif kepada perubahan dan kemajuan kerana ia adalah suatu proses dan tidak harus berlaku sikap gopoh dan melampau yang merugikan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved