Utusan Online - Hiburan |
Posted: 09 Apr 2014 10:40 PM PDT Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI MISHA Omar dan tunang Firoz Ezzwan Rossly bersedia melangkah ke alam rumah tangga. Akhirnya, selepas meniti badai dalam percintaan, tarikh 2 Mei telah dipilih oleh pelantun lagu Angin Syurga, Misha Omar untuk disatukan menjadi pasangan suami isteri bersama dengan Firos Ezzwan Rossly. Misha mengumumkan tarikh pernikahannya itu dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini. Bukan senang sebenarnya hendak menuju ke hari bahagia untuk bakal raja sehari ini. Pelbagai dugaan dan tuduhan yang dilemparkan kepada Misha dihadapinya dengan tenang. Bagi Misha, perkara yang sudah berlalu tidak perlu untuk dikenang kembali apatah lagi jika ia sesuatu yang mengaibkan diri seseorang itu. Benda yang dah lepas, rasanya tidak perlu untuk diceritakan lagi. Biarlah ia menjadi antara dugaan yang perlu ditempuhi oleh saya," jelas Misha dengan senyuman. Tatkala diuji dengan tohmahan dan kontroversi, Misha juga kini nampak lebih kuat selepas kehilangan arwah bapanya. Saya reda dengan ketentuan tuhan. Kita doakan yang terbaik sahaja untuk arwah walaupun saya sedih sebab arwah tidak dapat melihat saya bersanding," ujarnya. Mengulas mengenai tarikh perkahwinan tanggal 2 Mei itu, jelas Misha, tarikh itu sebenarnya dipilih kerana ibunya yang mahukan dia berkahwin pada bulan Rejab. Sebelum ini, ibu memang ada memberitahu yang dia mahu kami memilih bulan Rejab sebagai tarikh untuk kami melangsungkan perkahwinan. Selepas melihat kalendar dan kebetulan, tarikh 2 Mei yang dipilih itu memang jatuh pada bulan Rejab dan pada hari Jumaat. Jadi, kami pun setuju untuk menetapkan 2 Mei itu sebagai mengambil berkat penghulu hari, Jumaat dan bulan Rejab," kata Misha yang akan mengadakan majlis resepsi di Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan. Majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di sebelah pagi manakala resepsi perkahwinan pula akan diadakan di sebelah malam pada hari yang sama. Walaupun dugaan demi dugaan yang diterima dan mengambil keputusan untuk berkahwin dalam masa hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi, Misha bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar. Bila kita dah tetapkan tarikh itu, saya risau sebenarnya sebab tarikh itu sangat dekat dan tempoh untuk persiapan juga singkat. Tetapi, Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan segala persiapan sedang berjalan," jelasnya syukur. Sepanjang bergelar seorang penyanyi, insan yang paling rapat dengan kerjayanya ialah kakaknya, Mimie yang selama ini menguruskan kerjaya Misha. Mengakui ia sesuatu yang sukar, jelas Misha, keputusan untuk berjauhan dengan kakaknya adalah satu yang sangat berat untuk dilakukan. Selama ini, kakak saya adalah orang yang paling rapat dengan saya. Malah, tiada rahsia antara kami berdua. Semuanya dia tahu. Saya sebenarnya rapat sangat dengan kakak saya. Boleh dikatakan, saya di mata kakak saya adalah seperti seorang kanak-kanak kecil," jelasnya. Sangat manja Tambah Misha, dia memang seorang yang sangat manja dengan kakaknya, malah kerja-kerja rumah juga dilakukan sendiri oleh kakaknya. Selepas berkahwin takkanlah saya hendak mengharapkan kakak saya lagi. Jadi secara perlahan-perlahan, saya sedang belajar untuk menguruskan rumah tangga daripada kakak. Selepas ini saya akan hidup berdikari dalam menguruskan hal rumah tangga. Semuanya satu proses pembelajaran buat saya setiap hari," ujarnya. Tambah Misha, selepas berkahwin, dia akan berpindah ke kediaman yang baharu di Cheras dan turut membawa sekali anak angkatnya Muhammad Adam Emir, 8. Tentang anak ini adalah satu perkara yang buat saya risau lagi kerana anak angkat saya, Adam dan anak angkat kakak, Arissa seakan tidak dapat menerima kenyataan yang mereka akan berpisah. Memang nampaklah bila kita beritahu yang mereka akan hidup berasingan, kedua-duanya akan menunjukkan reaksi muka sedih," jelasnya. Tambah Misha, perkara itu sangat berbeza dengan apa yang terjadi sebelum ini kerana kedua-duanya pasti akan bergaduh dan berasa tidak puas hati antara satu sama lain. Tetapi kini, bila saya beritahu dah nak kahwin, mereka berdua banyak meluangkan masa bersama seakan-akan tahu yang selepas ini mereka akan jarang berjumpa. Melihat gelagat mereka itu yang sebenarnya membuatkan saya berasa sedih," katanya. |
Posted: 09 Apr 2014 10:40 PM PDT Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI SELEPAS empat tahun bertunang, pasangan ini disatukan sebagai suami isteri dan kini meniti kebahagiaan dalam rumah tangga. Sebuah kisah percintaan pasti bermula dengan bibit pertemuan sama ada pandang pertama, mahupun pertemuan yang tidak disangka. Kisah yang kolum Cinta Kami ingin bawakan minggu ini adalah sorotan sebuah kisah cinta yang berbeza, tetapi membawa ke penghujung cerita yang sama, ke jenjang pelamin. Bertemu dengan pelakon penuh karisma, Khir Rahman dan isterinya, Siti Jasmina Ibrahim, lembaran kisah silam dibuka kembali. Menurut Khir, detik pertama bertemu dengan isterinya adalah ketika dia menonton persembahan akhir pelajar di Akademi Seni Kebangsaan (kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada tahun 1997. Masa itu saya pergi atas undangan rakan-rakan dan saya nampak dia sedang membaca cerpen di atas pentas. Jauh dalam hati saya berkata, saya suka dia, suara dia, lontaran bacaannya memang kena dengan peranannya di atas pentas ketika itu," jelasnya. Secara kebetulan, jelas Khir, usai persembahan, dia terlihat kelibat isterinya itu dan menegurnya sambil mengucapkan tahniah atas persembahannya tadi. Saya nampak dia, saya terus pergi jumpa dan cakap tahniah. Suara awak sedap dan awak membaca dengan baik. Rasanya itulah kali pertama saya berkomunikasi dengan dia," jelasnya. Selepas itu, jelas Khir, mereka bertemu sekali lagi menerusi teater Jejak Pahlawan arahan Khalid Salleh di mana Khir menjadi teraju dalam teater tersebut. Hendak dibuat cerita, isteri saya ketika itu turut terlibat sekali dalam produksi dan secara tak langsung, kami berjumpa tiap-tiap hari dan mula rapat," katanya. Ditanya perasaan ketika itu sekadar rakan atau sudah mula menanam rasa cinta, jelas Khir, ketika itu rasanya memang sekadar rakan sahaja. Tapi, kalau kita imbas kembali ketika itu, rasanya rasa cinta sudah mula berputik, tetapi masing-masing menyembunyikan perasaan itu," katanya tersenyum. Menyambung cerita, jelas Khir, apa yang membuat mereka semakin rapat ialah ketika satu insiden sewaktu rakannya pengsan selepas makan. Ketika itu, kami bawa dia ke hospital dan kami mula rapat sebab kami sering keluar berdua untuk melawat rakan kami itu," jelasnya. Tidak mahu menyimpan rasa cinta yang semakin bersarang di hati, cerita Khir, pada satu hari ketika berada di rumahnya, dia menguatkan semangat untuk memberitahu sesuatu kepada isterinya. Masa itu saya di rumah. Rasa resah, rindu semuanya di hati. Jadi saya telefon dia dan cakap yang saya sebenarnya suka pada dia dan berharap saya tidak bertepuk sebelah tangan. Lepas saya cakap macam tu, dia cakap 'tak' dan masa itu adalah hari yang paling seronok sekali saya pernah rasa," katanya tertawa. Dia bakal jaga saya Berbeza pula ceritanya bagi Jasmina tentang kisah cintanya bersama dengan Khir. Malah, kisahnya menyorot lebih silam lagi berbanding kisah Khir. Langsung bercerita, menurut Jasmina, semuanya bermula pada tahun 1994 dan ketika itu dia menjadi kumpulan pertama pelajar di ASK dan terlibat dengan teater Uda dan Dara yang dipentaskan dalam bahasa Inggeris. Waktu itu, Khir memegang watak utama dalam teater itu. Tetapi masa latihan, saya tidak merasakan apa-apa perasaan terhadap dia. Sehinggalah masuk hari kedua persembahan, ketika tunggu giliran saya untuk naik ke pentas, saya terlihat dia dan ada sesuatu yang berkata dalam diri saya. Masa saya tengok muka dia, hati saya berkata yang orang ini akan jaga saya. Masa itu memang pelik kerana saya tak kenal dia pun. Lagipun, masa itu saya budak lagi," jelasnya. Sambungnya, sampailah selepas empat tahun, Khir muncul lagi dalam hidupnya ketika dia usai membuat persembahan membaca cerpennya. Tapi, selepas pertemuan singkat itu, Khir kembali menghilangkan diri membuatkan dia kembali mengabaikan perasaannya. Lama selepas itu, saya baru pulang daripada Filipina, saya tidak tahu siapa pelakon yang terlibat dengan teater Khalid Salleh. Bila dapat tahu yang Khir terlibat sekali, masa itu saya fikir yang dia dah datang kembali dan ini kali ketiga saya bertemu dengannya, jelasnya. Bermula daripada teater itu, jelas Jasmina barulah mereka mula mengenali diri masing-masing dengan lebih rapat. Saya selalu berdoa ketika itu supaya kalau betul Khir adalah jodoh saya, saya minta supaya jangan dijauhkan. Selepas itu, Khir mengambil telefon dan meluahkan perasaannya kepada saya dan hati saya ketika itu merasakan memang dia adalah jodoh saya," jelasnya tersenyum. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan