Utusan Online - Pahang |
- Sasar lahir 7,500 usahawan baharu
- 300 penduduk bimbang air Sungai Lalang tercemar
- Kampus Ikip di Taman Pertanian jadi Pusat Industri Kreatif
Sasar lahir 7,500 usahawan baharu Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT Oleh ZAMZURINA AHMAD Shahiruddin Ab. Moin (tengah) beramah mesra dengan pelajar selepas merasmikan Karnival Perniagaan dan Keusahawan Kolej Profesional Mara Indera Mahkota di Kuantan, kelmarin. -Utusan/MAHATHIR ALI KUANTAN 10 April - Kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk melahirkan 7,500 usahawan baharu terutama dalam kalangan golongan muda menjelang penghujung tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, pihaknya menaikkan sasaran berbanding tahun lalu iaitu 5,000 usahawan berikutan penyertaan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar lepasan institut pengajian tinggi (IPT). ""Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus memberi sokongan terutama dari segi dana dan latihan bagi memantapkan lagi pembangunan usahawan dalam kalangan bumiputera. "Program turun padang seperti Jelajah Informasi Pahang yang dilancarkan baru-baru ini juga mendapati sebahagian besar masyarakat tidak mempunyai maklumat mengenai saluran yang boleh mereka pergi untuk memulakan perniagaan sedangkan mereka mempunyai produk sendiri. "Jadi perkara seperti ini dikenal pasti untuk diatasi dalam memastikan sasaran pada tahun ini dapat dicapai," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Perniagaan dan Keusahawan Kolej Profesional Mara Indera Mahkota (KPMIM)di sini semalam. Yang turut hadir, Pengarah KPMIM, Halimahton Saadiah Mohd. Taib. Menurut Shahiruddin, beliau mencadangkan agar semua IPT di bawah Mara membawa para pelajar berkunjung ke pejabat Mara bagi diberi pendedahan cara menjadi usahawan yang berjaya. "Selain itu, agensi berkaitan seperti Mara juga perlu sentiasa turun padang menemui masyarakat menerangkan peranan mereka terutama dalam melahirkan usahawan. "IPT juga perlu sentiasa proaktif dalam menyuburkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar dengan menganjurkan pelbagai aktiviti dan dalam masa yang sama mengubah persepsi mereka agar tidak mengharapkan kerja makan gaji sahaja," jelasnya. Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan sentiasa membantu kelab-kelab atau persatuan usahawan dan koperasi terutama dari segi dana sebagai menggalakkan lebih ramai usahawan Melayu di negeri ini. |
300 penduduk bimbang air Sungai Lalang tercemar Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT KUALA LIPIS 10 April - Kira-kira 300 penduduk Kampung Lalang, Benta dekat sini melahirkan kebimbangan mengenai tahap pencemaran Sungai Lalang yang sejak sekian lama menjadi sumber air untuk projek penternakan ikan air tawar dan pengairan tanaman penduduk. Menurut mereka, kualiti air sungai itu merosot teruk dengan dipenuhi lumpur sehingga berwarna perang sedangkan sebelum ini penduduk turut menggunakan air sungai berkenaan untuk mandi dan membasuh pakaian. Pencemaran air sungai berkenaan dikatakan berpunca daripada pembuangan sisa berupa lumpur dan pasir dipercayai dari lombong bijih yang beroperasi di kawasan hulu hingga mengakibatkan banyak ikan air tawar yang diternak dalam sungai itu mati dua hari lepas. Seorang penduduk Kampung Lalang, Badrulhishaf Ibrahim, 45, berkata, sungai itu yang membekalkan air kepada petani untuk mengairi tanaman kini sudah dicemari dengan lumpur dan sisa buangan tertentu. "Sebelum ini, penduduk di sini mengambil air sungai ini untuk membasuh, mandi dan mengairi tanaman tetapi semenjak dua bulan ini keadaan air berubah warna malahan kedalaman sungai mulai cetek," ujarnya. Sehubungan itu, katanya, pihak yang terbabit dengan perlombongan di kawasan hulu perlu mencari alternatif mengelakkan sisa buangan ke sungai itu agar air kembali jernih dan sesuai untuk penternakan akuakultur. Rakannya, Shamsulizzat Mohd. Norawi, 23, berkata, pihak berwajib perlu mengambil tindakan iaitu menyiasat mengenai punca sungai itu tercemar sehingga mengakibatkan banyak ikan air tawar mati. "Penduduk di sini menghadapi kesukaran untuk mendapat keperluan air sebagai alternatif jika terputus bekalan air bersih dan tidak mengairi pertanian lagi kerana dikhuatiri akan mengancam kesihatan dan impak terhadap tanaman," katanya. Tambahnya, pengusaha perlombongan di kawasan hulu perlu mengambil kira keselesaan penduduk dengan memastikan kebersihan sungai yang menjadi tempat penduduk bergantung sebagai sumber mengairi tanaman. |
Kampus Ikip di Taman Pertanian jadi Pusat Industri Kreatif Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT KUANTAN 10 April - Kolej Antarabangsa Ikip (Ikip) akan melakukan transformasi ke atas kampus miliknya terutama di Kampus Taman Pertanian di sini untuk dijadikan sebagai sebuah Pusat Industri Kreatif. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, pihaknya telah dan sedang merangka program berkaitan untuk ditawarkan kepada pelajar yang berminat khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). "Antara programnya adalah seperti seni reka grafik, grafik multimedia, teknologi lukisan, animasi, videografi dan filem dokumentari. "Program yang dibangunkan, disediakan dan ditawarkan adalah meliputi beberapa tahap iaitu persijilan, diploma dan ijazah pertama," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Satu Untuk Semua dan pelancaran Program Perintis Kreatif Muda di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini. Pameran Untuk Semua itu adalah pameran dari Fakulti Warisan, Pelancongan dan Seni Kreatif dengan mempamerkan hasil karya penuntut daripada Diploma Grafik dan Multimedia, Diploma Grafik dan Media Digital dan Seni Halus. Mohamed Najib berkata, apabila program berkenaan ditawarkan di Ikip, pihaknya mengharapkan dapat menarik minat para pelajar terutama lepasan SPM untuk menyambung pelajaran di kolej berkenaan. "Atas dasar itulah juga program seperti Pameran Untuk Semua ini dan Program Perintis Kreatif Muda ini diwujudkan. "Kita mahu semua pihak memahami kesungguhan kami dalam memastikan agenda ke arah keterampilan bidang seni kreatif sebagai bidang utama dalam pendidikan ilmu pengetahuan dan kemahiran dapat direalisasikan," katanya. Beliau berkata, pihaknya juga telah menjalankan pelan transformasi terhadap Jabatan Pengajian Kreatif kolej itu bagi menunjukkan kesungguhan mereka dalam menerajui bidang kreatif di negara ini. "Pelan ini meliputi banyak aspek seperti pembangunan secara fizikal melibatkan infrastruktur, kemudahan pembelajaran, penyediaan dan pembangunan bidang kursus yang bersesuaian serta penyediaan tenaga pengajar," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan