Utusan Online - Rekreasi |
Tahira, Abdul Rahman kuatkan semangat Posted: 14 Apr 2014 11:42 PM PDT TAHIRA Najmunisaa dan Abdul Rahman (tiga dan empat dari kiri) bersama peserta-peserta Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) Felda Greenland 2014. Tahira Najmunisaa Mohd. Zaid, 25, dan suaminya, Abdul Rahman Abu Hassan, 31, bakal meninggalkan tanah air dan keluarga tercinta pada 16 April ini bagi memulakan misi penjelajahan ke Greenland, wilayah paling sejuk di dunia. Misi yang diberi nama Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) Felda Greenland 2014 ini, merentasi kawasan sejauh 550 kilometer yang dijangka berlangsung selama 35 hari bermula di Ammassalik dan berakhir di Sondre Stromfjord. Pasangan suami isteri ini terpilih selepas melalui beberapa proses saringan dan merupakan antara yang terbaik daripada 117 calon yang mencuba nasib merebut tempat dalam ekspedisi ekstrem itu. Apa yang menariknya, mereka berdua akan berlepas dengan semangat kental menjayakan misi biarpun terpaksa meninggalkan dua orang anak yang masih kecil. Menurut Tahira Najmunisaa, seorang atlet dan aktif dalam sukan lasak seperti triathlon dan aktiviti kembara lain, dalam tempoh seminggu sebelum dia dan suami berlepas ke Greenland perasaan sedikit berkecamuk mengenangkan anak-anak yang akan ditinggalkan. Namun atas nama semangat juang dan mahu mengharumkan nama kumpulan ekspedisi ini, semangat Malaysia Boleh dan menunjukkan kekentalan jiwa seorang wanita, dia tekad untuk meneruskan cabaran. Sepanjang tempoh kami menjalani latihan di luar, sama ada di dalam atau luar negara, sebaik balik sahaja, kedua-dua anak saya akan berada di pintu menyambut kami berdua. Anak saya yang sulung, Ahmad Amin Alhamidin, 4, dan adiknya, Sharifah Aliya, 2, yang masih menyusu badan, memang anak-anak yang cergas dan aktif. Bagaikan tahu kami akan meninggalkan mereka buat seketika, apabila terpaksa keluar menjalani latihan, Ahmad Amin, akan berusaha seolah-olah menghalang saya keluar. Berbanding dengan ayahnya yang kerap bertugas di luar sehingga berminggu-minggu, jadi kelibat ayahnya mungkin tidak dirasai sangat," kata Tahiraa Najmunisaa yang berasal dari Tanjung Malim, Perak. Namun baginya, itu semua tidak mematahkan semangat untuk menjayakan misi berkenaan kerana semua itu dilakukan demi rasa kecintaan terhadap aktiviti sukan berkenaan. Selain itu, mereka juga mahu menunjukkan contoh kepada anak-anak yang kedua ibu bapa mereka mampu ke benua asing dan berhadapan dengan cabaran yang bukan semua orang mampu atau terdaya untuk melakukannya. Saya tanam dalam diri, apabila mereka melihat gambar saya dan suami di sana nanti bakal menjadi pembakar semangat mereka untuk berjaya. Saya mahu anak perempuan saya melihat ibunya ini sebagai inspirasi yang boleh melakukan apa sahaja, cekal, kental, tabah dan tahan lasak dalam menghadapi apa jua keadaan," jelasnya. Bersama suami dan para peserta lain, Tahira Najmunisaa berharap misi tersebut berjaya kerana mereka akan berhadapan dengan keadaan cuaca dan cabaran yang melampau di Greenland. Ini termasuklah suhu yang sejuk antara -10 hingga -30 darjah celcius, tiupan angin yang lebih sejuk, iaitu -50 darjah celcius yang tiupannya kadang kala berbeza dari 10 hingga 70 km/j dan kemungkinan berlaku ribut Pitoraq, selaju 300 km/j. Faktor cuaca di sana yang akan menentukan sama ada ekspedisi tersebut berjaya, terkandas, cepat atau lambat, namun dia, suami dan peserta-peserta lain yakin akan melakukan yang terbaik. Sementara itu, Abdul Rahman berkata, dia dan kumpulan ekspedisi berkenaan baru sahaja balik dari New Zealand kerana menjalani latihan selama dua minggu bagi menyesuaikan diri dengan suhu sejuk. Namun, paras suhunya tetap tidak sama kerana di New Zealand masih dalam musim panas. "Cabaran ekspedisi ini pasti hebat kerana kebanyakan peserta masih belum terbiasa dengan suhu sejuk yang melampau di Greenland. "Tambahan dalam ekspedisi itu nanti semua peserta akan membawa bekalan makanan dan kelengkapan sendiri seberat lebih 75 kilogram menggunakan sledge atau pulka yang ditarik, serta mengenakan pakaian yang berlapis-lapis termasuk sarung tangan dan penutup kepala agar dapat memerangkap haba dalam badan. Kami sekarang sedang belajar menggunakan teknik pemakaian agar panas badan dapat diperangkap. Berbeza dengan pendakian di gunung yang memerlukan seseorang pendaki itu bermain dengan altitud, udara yang nipis dan ketinggian, namun di Greenland nanti kami akan berhadapan dengan bahaya suhu yang terlalu sejuk, ribut yang tidak dijangka, jarak, cuaca dan jurang-jurang yang tidak dijangka. Ini bermakna kedua-dua aktiviti lasak ini sama ada mendaki gunung mahupun ekspedisi ke Greenland, pasti ada bahayanya," kata Abdul Rahman, anak kelahiran Klang, Selangor, yang bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bahagian pasukan khas (Paskal) sejak 10 tahun lalu. Pasangan suami isteri ini mengakui sering membawa anak-anak mereka menyaksikan sukan dan aktiviti lasak sebaik sahaja ada kesempatan terluang. Anak-anak mereka juga akan menjadi pembakar semangat apabila ibu atau bapa mereka berlumba dalam apa jua acara yang diadakan. Keluarga merestui Sementara itu, apabila ditanya apakah penglibatan mereka menerusi ekspedisi ini direstui orang tua dan keluarga, Tahira Najmunisaa berkata, kedua-dua ibu bapa dan mentuanya merestui kerana mengetahui kegemaran mereka dalam aktiviti lasak. Apa yang menariknya, ketika mengandung, dia juga sangat aktif termasuk berenang, berjoging, berbasikal dan sebagainya sehingga memudahkannya bersalin. Dia hanya akan memulakan sesi latihan aktiviti lasak selepas setahun dia bersalin bagi memastikan badannya benar-benar cergas untuk kembali aktif. Dalam pada itu Tahira Najmunisaa menyebut, sifatnya yang suka berkongsi pengalaman, fikirkan mengenai generasi akan datang dan mahu membuktikan sesuatu atau menjadi contoh kepada orang lain membuatkan dia amat teruja dengan ekspedisi ini. Saya dan suami ingin membuka mata kepada generasi muda lain, agar mengenepikan gaya hidup yang negatif dan ceburi aktiviti yang positif. Sekiranya kami boleh lakukan, begitu juga orang lain. malah mungkin lebih baik, terutamanya wanita yang dilihat agak kurang menyertai aktiviti sukan outdoor," katanya. Dalam pada itu, Abdul Rahman pula menyertai ekspedisi ini untuk melihat bumi ciptaan Allah yang luas ini dengan pelbagai keunikan dan mahu berkongsi pengalaman dengan semua orang atas apa yang bakal dilalui nanti. Saya berharap semua peserta ekspedisi ini selamat kembali tanpa ada seorang pun yang cedera. Kepada rakyat Malaysia, saya memohon doakan keselamatan dan kejayaan kami semua dalam ekspedisi ini nanti. Kalaupun nanti sasaran kami tersasar atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan, sekurang-kurangnya kami mencuba sedaya upaya melakukan yang terbaik," katanya. Lima lagi peserta yang bakal mengikuti ekspedisi ini adalah Mohd. Shaiful Hisyam Abd. Aziz, 25, (ketua pasukan), Yanizam Mohd. Supiah, 26, Mohd. Akasyah Jamaludin, 24, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 33, dan Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, 32. - ROSMAH DAIM |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan