Utusan Online - Rencana |
Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT Oleh Zulkiflee Bakar RAKAN-rakan sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sudah menunjukkan dengan jelas dan terbuka sikap mereka untuk menolak langkah Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Apabila berbuat demikian ia membuktikan sudah sahlah selama ini, kedua-dua parti itu langsung tidak mempunyai perasaan hormat kepada perjuangan Islam Pas. Walaupun menyedari sumbangan besar Pas kepada kekuatan pakatan pembangkang tetapi ternyata PKR dan DAP tidak mempedulikan semua itu, apa yang penting bagi mereka ialah Pas perlu tunduk dengan tekanan mereka supaya mematuhi perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pakatan pada tahun 2011 yang antara lain tidak akan melaksanakan hukum hudud. Lebih mengecewakan apabila kepimpinan Pas yang selama ini begitu patuh dan akur dengan segala perancangan politik PKR terutamanya melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menghadapi tekanan daripada PKR yang mahu Pas menghormati penentangan konsisten yang dibuat oleh DAP. Kalau begitulah keadaannya, apa gunanya Pas berada di dalam pakatan pembangkang, kalau hanya cakap PKR sahaja mahu didengari dan pendirian DAP sahaja mahu dihormati? Apakah Pas yang memperjuangkan Islam hanya layak dilayan bagaikan sebuah parti yang `melukut di tepi gantang dalam pakatan dan perlu menjadi `pak turut' sahaja, adakah begitu rendah sekali maruah Pas sehingga mereka tidak mempunyai kuasa untuk menegakkan perjuangan sendiri? Kenapakah PKR dan DAP tidak pernah mahu menghormati Pas yang sebelum ini atas semangat setiakawan, persahabatan dan mengubah hala tuju perjuangannya dari perjuangan negara Islam kepada negara kebajikan? Adakah Pas hanya sekadar `hamba politik' dalam pakatan yang boleh dikerah untuk bertungkus lumus dalam pilihan raya bagi memastikan kemenangan parti-parti dalam pakatan pembangkang tetapi kemudian terpaksa `mengemis' apabila hendak menegakkan perjuangan sendiri? Oleh itu timbullah persoalan, apa lagi Pas tunggu dalam pakatan kerana sudah jelas kini rakan-rakan sekutunya tidak menghormati dan menentang perjuangan mereka. Pas berada dalam pakatan kerana mahu mencari satu gabungan yang boleh membantunya menegakkan hukum hudud selain sedia bertoleransi dalam soal-soal lain dan Pas juga setia dengan pakatan kerana selama ini parti-parti dalam gabungan itu berkongsi misi dengan mereka iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Tetapi sekarang sudah jelas, rakan dan sahabat yang diharapkan memberi sokongan atau sekurang-kurangnya menghormati perjuangan Pas ternyata tidak bersikap sedemikian. Malah mereka secara terbuka menentang hasrat Pas biar pun hukum hudud itu hanya akan dilaksanakan di Kelantan yang mempunyai 99 peratus penduduk beragama Islam. Kalaulah dalam soal sekecil itu pun, PKR dan DAP tidak mahu memberi laluan biar pun amat memahami sumbangan Pas dalam memantapkan pakatan pembangkang, bagaimana pula jika pakatan pembangkang ditakdirkan memerintah negara, adakah pengorbanan Pas akan dihargai. Tiada siapa pun boleh menafikan betapa besarnya pengorbanan Pas apabila membuat keputusan untuk bersahabat dengan PKR dan DAP. Pas bukan sahaja terpaksa menelan segala kritikan tetapi juga makian. Malah Pas juga dianggap terlalu teruja untuk merebut kuasa politik sehingga sanggup bersekongkol dengan parti-parti yang sudah jelas menentang hukum hudud khususnya DAP. Namun Pas pasrah dan bersedia menerima segala kritikan itu kerana matlamat Pas ialah untuk bersama-sama memerintah negara bersama PKR dan DAP. Atas dasar persahabatan juga Pas melakukan pengorbanan apabila merelakan PKR terus menduduki kerusi Menteri Besar di Selangor biar pun Pas mempunyai kerusi lebih banyak daripada parti itu di Dewan Undangan Negeri. Justeru apakah ini balasan terhadap pengorbanan Pas apabila mereka ditentang habis-habisan oleh PKR dan DAP semata-mata kerana hendak membentangkan satu rang undang-undang bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan. Sepatutnya, PKR dan DAP menyokong hasrat Pas itu kerana Pas sudah memerintah Kelantan sejak 1990 dan melaksanakan hukum hudud sememangnya menjadi cita-cita parti tersebut. Oleh itu Pas perlu bertegas dalam soal ini dan tidak harus berganjak daripada pendiriannya untuk membentangkan rang undang-undang tersebut. Pas perlu ada keberanian untuk membuktikan bahawa mereka bukan lagi `pak turut' dalam pakatan pembangkang. Jika PKR dan DAP bertegas mahu Pas menghormati kesepakatan yang telah dibuat bersama, kenapa mereka tidak mahu menghormati hasrat Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan? Kenapakah PKR dan DAP terlalu bimbang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan? Berapa ramai sangatkah penyokong kedua-dua parti itu di negeri tersebut? Penulis menerima satu mesej yang diedarkan oleh seorang pemimpin muda Pas berhubung penentangan PKR dan DAP tersebut. Antara lain mesej itu yang dikatakan dihantar oleh seorang ketua cawangan Pas menyatakan: Kiranya untuk pelaksanaan Syariah Allah SWT di Kelantan ini pun yang majoriti umat Islam mahukan ia dilaksanakan dan kita masih tidak dapat melaksanakannya disebabkan bukan kerana Barisan UMNO dan Barisan Nasional (yang selama ini menentangnya) tetapi akibat mengikut pendirian DAP dan PKR yang tidak bersetuju ia dilaksanakan, apakah peluang pelaksanaannya kiranya kita dengan izin Allah SWT dapat menawan Malaysia? Sudah tentulah mustahil untuk dilaksanakan. Isu pelaksanaan Syariah Allah SWT di Kelantan ini adalah `turning point bagi siasah syariyyah Pas dalam konteks tahaluf siyasi yang kita laksanakan bagi tujuan memenangkan agenda Islam. Kiranya pimpinan Pas dan ahli Pas secara majoriti tunduk dan bersetuju dengan pendirian dan kehendak rakan-rakan tahaluf siyasi kita iaitu DAP dan PKR sehingga tidak dapat dilaksanakan syariah Allah SWT di bumi serambi Mekah iaitu Kelantan, maka ana (saya) tanpa syak dan ragu-ragu akan mengisytiharkan diri keluar dari Pas kerana tidak lagi yakin dengan perjuangan Islam Pas. Itulah mesej yang disampaikan oleh pemimpin Pas peringkat cawangan itu yang dengan jelas membuktikan kesungguhannya untuk melihat hukum hudud dilaksanakan di Kelantan. Kepimpinan Pas pusat perlu mengambil kira semua pandangan itu kerana itulah suara akar umbi parti tersebut yang benar-benar istiqamah dalam memperjuangkan Islam. Justeru seandainya ketika pembentangan nanti PKR dan DAP secara konsisten menentang hasrat Pas tersebut, maka tiada gunanya lagi Pas menunggu dalam pakatan kerana buat apalah berada dalam sebuah pakatan atau kerjasama yang hanya menjadikan Pas sebagai `hamba politik', dilayan bagaikan `melukut di tepi gantang' dan diarah patuh umpama pak turut'. |
Tanah Masjid, Tanah TUDM dan Tanah Air Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT Oleh Zaini Hassan Dilema status tanah masjid BENARKAH tanah-tanah masjid, surau, tanah-tanah perkuburan dan institusi keIslaman lain di negara ini tidak memiliki status hakmilik atau geran? Adakah kerajaan BN yang menaungi beberapa negeri terlalu yakin bahawa negeri mereka akan kekal dinaungi selama-lamanya. Jika ia berada di bawah BN, atau di bawah Pas seperti di Kelantan mungkin tiada masalah, tetapi bagaimana sekiranya terlepas kepada tangan DAP seperti di Pulau Pinang atau kuasa politik Melayu yang dipegang oleh DAP seperti di Selangor atau Perak? Saya difahamkan di Selangor hampir kesemua tanah masjid dan institusi agama Islam tidak mempunyai geran hakmilik, yang membuka ruang untuk diambil alih sewenang-wenangnya pada bila-bila masa. Ingatan ini, saya difahamkan telah dititahkan berkali-kali oleh DYMM al-Sultan Selangor, tetapi tidak diendahkan oleh kerajaan BN yang terdahulu. Sekarang sudah terlambat. Difahamkan ada antara di negeri pembangkang itu mahu meminta tanah untuk mendirikan masjid pun amat sukar. Macam-macam syarat diletakkan. Antaranya, jika tanah masjid diberikan, kena agih juga sama rata untuk tanah kuil, tokong dan gereja. Mereka mempunyai kepercayaan semuanya harus sama-rata, termasukkan jika diluluskan lima hektar tanah masjid dalam masa yang sama kena lulus juga lima hektar tanah bagi rumah ibadat agama-agama lain. Tahniahlah diucapkan kepada orang Melayu Islam yang telah bersetuju dengan langkah tersebut. Bak kata pepatah Melayu kuno "nasi sudah menjadi bubur." Saya tidak kata kita tidak boleh makan bubur, namun saya masih belum berjumpalah orang memakan bubur sebagai makanan ruji setiap hari. Jika beras sudah menjadi bubur, ia tidak boleh menjadi nasi semula, walau dilakukan apa sekalipun. Oleh itu, jadikanlah apa yang berlaku di negeri-negeri pembangkang itu sebagai iktibar kepada kita semua. Pertahankan Pangkalan TUDM Butterworth TANAH masjid satu hal, kini timbul pula kisah apabila tanah Pangkalan TUDM di Butterworth mahu diambil alih untuk dibangunkan menjadi bandar baru atau rumah-rumah, kedai-kedai dan kondominum Melayu tak-mampu-milik. Sudahlah orang Melayu di pulau sudah dihalau secara halus , ini mahu didirikan pula satu pembandaran baru yang dikhuatiri akan terhakislah lagi orang Melayu di situ. Saya amat risau ada usaha mahu menganggu-gugat geo-politik di sebelah Seberang Prai pula. Kita bimbang jika ini berterusan maka Melayu Pulau Pinang akan terus merempat. Semalam saya sempat bersembang dengan seorang anak Pulau Pinang dari sebelah pulau, seorang Pengurus Besar sebuah GLC yang mengadu hal. Dulu, katanya kawasan perumahannya di pulau sama banyak Melayu-Cina, kini rumahnya hanya satu-satunya milik orang Melayu. Emak saya minta saya jual rumah itu. Dia kata takkan kita nak duduk sini sorang-sorang kita?" Lebih baik saya jual dan beli tanah di mana-mana?" Saya tidak tanya beliau secara detail kenapa berlaku begitu, tetapi katanya keadaannya cukup jelas sekali. Kebanyakan tanah dan rumah orang Melayu sudah tidak kelihatan lagi. Saya bertanya beliau lagi, mengapa orang Melayu Pulau Pinang tidak bersuara. Dia kata suara Guan Eng lebih kuat lagi". Oleh itu, janganlah diusik pangkalan tentera itu. Biarlah tak ada pembangunan di situ daripada wujud lagi geo-politik yang tidak seimbang yang akhirnya berdirinya sebuah lagi kawasan Parlimen DAP. Ambillah iktibar kawasan di Kuala Lumpur seperti di Bukit Lanjan, Selayang, Segambut, termasuk Bangsar South, Kampung Abdullah Hukum -- apabila terdirinya kondo-kondo tidak-mampu-milik oleh orang Melayu. Sepatutnya didirikanlah kem tentera di sebelah pulau itu, bukannya yang ada ditiadakan atau dipindah ke tempat lain, lebih jauh lagi? Pangkalan TUDM ketika ini di Teluk Air Tawar, Seberang Perai dengan keluasan lebih kurang 407 hektar, terletak kira-kira lapan kilometer dari Butterworth dan menghadap ke arah laut Pulau Pinang. Pada 5 Februari, Bernama melaporkan bahawa TSR Capital Bhd mendapat kelulusan pada dasarnya yang diberikan kerajaan Persekutuan untuk berunding mengenai terma yang dicadangkan bagi penempatan dan pembinaan semula pangkalan tentera udara baharu di Pulau Pinang melalui pertukaran tanah. Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia itu bulan lepas, TSR Capital Bhd menyebut cadangan berkenaan akan dibuat melalui syarikat usaha sama (JVC) dan JVC mencadangkan kepada kerajaan agar memindah dan membina semula sebuah pangkalan TUDM di Butterworth ke satu lokasi yang akan dikenal pasti. Syarikat berkenaan juga berkata tanah pangkalan TUDM sedia ada itu akan dimajukan menjadi pembangunan bersepadu. Ikuti laporan portal ini pula: http://mypenangonline.blogspot.com/2014/04/adun-umno-ppinang-bantah-pindah-tudm.html?m=1 Ketua pembangkang, Datuk Jahara Hamid bersama kesemua 10 wakil BN membantah cadangan pemindahan itu, yang akan menjadikan pangkalan 407 hektar tersebut sebuah pusat seni dan riadah". Wakil rakyat UMNO akan bertemu presiden parti, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 14 April untuk membentangkan kes tersebut. Kami sudah pun membuat temu janji untuk berjumpa. Kami akan menunggu jawapan kerajaan Persekutuan, tetapi semestinya kami akan membantah projek ini habis-habisan." Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk memindahkan pangkalan ke Ara Kuda yang berdekatan dengan batasan Pulau Pinang-Kedah kira-kira 20 kilometer dari lokasinya kini di Butterworth. Tahniah Zahid! Jangan bagi muka isu koyak pasport SYUKUR alhamdulillah dan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang membuat kenyataan cukup tegas dan berani mengenai isu koyak pasport. Kata beliau: Kerajaan Malaysia tidak akan memberikan taraf kewarganegaraan secara automatik. Ini kerana ada di kalangan mereka yang telah mengoyakkan pasport Malaysia ketika berada di luar negara dengan hasrat benci kepada negara ini dan tidak lagi mahu pulang kerana kebencian itu dan ada yang menikam negara ini dari belakang. Tidak ada lagi taat setia di kalangan mereka." Sepertimana yang kita ketahui, Zahid seorang pemimpin senior parti dan kerajaan yang tidak mudah melatah dan kelabu mata untuk meluluskan sebarang permohonan orang asing yang mahu menjadi rakyat negara ini. Kita harus yakin pendirian beliau yang boleh menerima perbezaan pendapat tetapi tidak mungkin akan berlembut dengan masalah berkaitan kepentingan keselamatan negara, agama dan bangsa demi kesejahteraan rakyat. Sekali gus dengan kenyataan itu, Zahid turut menafikan telah membalas surat Ahli Parlimen DAP Tanjong yang berlagak hero dalam isu ini, Ng Wei Aik. Saya hairan apa yang Wei Aik beria-ia sangat mahu mempertahankan manusia yang sudah berpaling tadah kepada negara ini. Tiada mana-mana negara di dunia ini, waima di Tanah Besar China sendiri yang bersedia mengambil semua orang yang telah mengoyak pasportnya sendiri. Saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera dan kita juga berharap Zahid sentiasa memantau perkembangan ini dengan berhati-hati. Tidak kiralah jika dia Melayu atau Cina dan India, jika mereka sudah sah-sah mengoyak kewarganegaraan Malaysia ini dan berpaling tadah, maka berakhirlah hubungan dengan negara ini. Amaran keras dan jelas itu harus diberikan kepada semua rakyat kita. Saya hairan apabila ramai warga asing yang beratur mahu mendapatkan Taraf Pemastautin Tetap Malaysia; ada rakyat kita yang mahu meninggalkan negara ini. Seorang rakan saya berbangsa China berketurunan Islam cuba mendapatkan taraf Penduduk Tetap Malaysia selama berbelas-belas tahun. Sebaik sahaja berjaya memperolehnya tahun lepas, beliau dan anak remajanya Ibrahim, yang fasih berbahasa Melayu dan cukup alim, terus ke Mekah bagi menunaikan ibadah umrah bagi menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT. Amin, Malaysia sudah menjadi Tanah Air baharu mereka. Namun bagi mereka yang mahu meninggalkan negara ini, apa yang boleh kita katakan dipersilakan..." Tahniah di atas ketegasan Datuk Seri Zahid! |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan