Utusan Online - Selatan |
- Semarak rasa cinta kepada Rasulullah
- Karnival bercorak keilmuan, kekeluargaan dapat sambutan
- Minyak masak kurang di Port Dickson
Semarak rasa cinta kepada Rasulullah Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST Oleh NURSURAYA ZULKIFLI Pengunjung melihat al-Quran bersaiz besar di gerai dalam Karnival Muamalah Islam dan Kempen Berzakat di pekarangan Pusat Islam Melaka, Bukit Palah, baru-baru ini. MELAKA 15 Jan. - Pelbagai aktiviti dan sambutan diadakan di seluruh negara dalam usaha menghayati sirah dan perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi. Sambutan Maulidur Rasul adalah cara menyatakan kecintaan kepada baginda yang diraikan saban tahun dan sesungguhnya Rasulullah merupakan contoh terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidupan. Ini termasuk kehidupan harian individu sama ada dalam aktiviti sosial, ekonomi, politik dan pemerintahan negara. Rasulullah bersifat universal yang mana sahsiah, moral serta keperibadian luhur dan sempurna yang ada pada baginda menjadi ikutan manusia dan seluruh umat Islam. Maulidur Rasul yang disambut setiap tahun sempena kelahiran baginda diraikan supaya masyarakat Islam mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman. Bagi menyemarakkan lagi rasa cinta terhadap Nabi Muhammad SAW, kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menganjurkan Karnival Muamalah Islam dan Kempen Berzakat sempena Sambutan Maulidur Rasul 1435 Hijrah peringkat negeri di pekarangan Pusat Islam Melaka, Bukit Palah di sini. Karnival berkenaan turut mendapat sokongan dan liputan daripada stesen televisyen AlHijrah dan radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.fm). Muamalah atau muamalat menurut pengertian Islam ialah hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia, meliputi kehidupan seseorang seperti jual beli, pinjam-meminjam dan sebagainya serta tatacara atau peraturan hubungan sesama manusia yang berlandaskan syariat Allah SWT. Penganjuran karnival selama lima hari itu dilihat tepat pada masanya bagi mengajak umat Islam, khususnya di negeri ini bersama-sama meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan Islam menerusi pelbagai pengisian dan program berbentuk dakwah yang diadakan. Penganjuran program pada kali ini lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya seperti perarakan Maulidur Rasul, kempen berzakat, program dakwah, forum, selain ekspo perdagangan Islam di Karnival Muamalah Islam yang dirangkum bersama. Karnival itu membuka tirainya menerusi program Ceramah Perdana bertajuk Integriti dan Produktiviti Asas Kekuatan Ummah melalui penceramah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zainuddin Abd. Rahman. Pada hari pertama turut diadakan saringan pertandingan lagu-lagu dakwah bertemakan Untukmu Rasulullah dan Seminar Dilema Wanita serta siaran langsung Pentas Dakwah yang bertajuk 'Celik Muamalah Model Rasulullah' menampilkan moderator, Amin Idris dan panel, Pakar Oftalmologi, Prof. Dr. Muhaya Mohamad dan Yang Dipertua Yadim, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Pelbagai pertandingan turut diadakan sempena program berkenaan yang melibatkan semua lapisan masyarakat sama ada lelaki mahupun wanita, dewasa, remaja dan kanak-kanak seperti program hafazan al-Quran, pertandingan kompang, nasyid, marhaban serta berzanji, memasak dan sebagainya. Turut diadakan Forum Ehwal Islam yang membariskan penceramah iaitu Dr. Mohd. Izhar Mohd. Kashim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang membincangkan tajuk 'Rasulullah Qudwah Transformasi Ummah'. Selain program berbentuk pengetahuan, keagamaan dan pertandingan, karnival itu turut menyediakan 92 gerai yang menjual pelbagai produk seperti pakaian, wangian, buku-buku, makanan serta minuman dan pelbagai lagi kepada orang ramai. Dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang perbankan dan kewangan Islam, juga diadakan Simposium Muamalah Islam yang menekankan soal halal dan haram yang menyentuh kegiatan muamalah seperti urus niaga harian dan pendapatan perolehan. Simposium itu membicarakan isu semasa dengan memfokuskan kepada empat segmen penting iaitu memahamkan masyarakat berkenaan falsafah dan prinsip perbankan Islam, takaful, pelaburan secara Islam serta cara pengurusan hutang. Program itu dilihat menjadi platform dalam menyebarkan maklumat berguna bagi meningkatkan imej kewangan Islam, seterusnya Islam itu sendiri. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, karnival itu adalah tepat pada masanya yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul, di samping memberi peluang kepada masyarakat menimba pelbagai ilmu daripada program yang disediakan penganjur. Menurutnya, penganjuran karnival tersebut secara tidak langsung dapat merealisasikan wawasan melahirkan masyarakat berilmu dan berakhlak mulia menerusi pelbagai program yang berunsurkan keagamaan yang disediakan untuk dinikmati rakyat di negeri ini. "Bagi pihak kerajaan negeri, kita amat berbesar hati menerima kehadiran Yadim, televisyen AlHijrah dan stesen radio IKIM.fm yang turut menganjurkan program di negeri ini. "Semoga usaha dan amalan mulia ini dikira sebagai suatu ibadah di sisi Allah SWT dan memberi manfaat kepada orang ramai, khususnya rakyat di negeri ini. "Saya juga berharap kerjasama ini dapat meningkatkan lagi aktiviti dan program kepada kumpulan belia agar dapat membentuk keperibadian dan sahsiah yang unggul," katanya ketika berucap merasmikan karnival berkenaan, Jumaat lalu. Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri 1435 Hijrah itu dimeriahkan lagi dengan acara perarakan sejauh empat kilometer dari Stadium Kubu menuju ke pekarangan Pusat Islam, melibatkan 13,386 peserta. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob bersama Idris yang turut bersama ribuan peserta. Mereka yang terlibat mewakili pelbagai agensi dan badan kerajaan, swasta, pertubuhan dan persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah dari seluruh negeri. Selain perarakan, program hari terakhir itu turut diadakan program Bicara Hati 'Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang' menampilkan moderator Ustaz Mohamad Ibrahim dengan dua panel iaitu Shamril Salleh yang lebih dikenali dengan Sham Kamikaze dan Farah Asyikin Zulkifli. Malam Kesenian Islam IKIM.fm merupakan acara kemuncak karnival tersebut, yang menyaksikan persembahan seperti Rabbani, Far East, Muaz Zulkifli, Ustaz Zul Ramli M. Razali, Jawi Nusantara Ecoustic Band & Art Onbeat Drum Circle serta DJ Pian (Suffian Amrin) dan DJ Syafiq Zulakifli. |
Karnival bercorak keilmuan, kekeluargaan dapat sambutan Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST MELAKA 15 Jan. - Karnival Muamalah Islam 2014 dan Kempen Berzakat sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran kerajaan negeri bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mendapat sambutan menggalakkan apabila menarik hampir 80,000 pengunjung sepanjang lima hari berlangsung. Yang Dipertua Yadim, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, kehadiran pengunjung ke karnival berkenaan melepasi jangkaan awal dan memperlihatkan penerimaan amat positif daripada masyarakat di negeri ini. Menurutnya, keunikan sambutan Maulidur Rasul di negeri ini yang dilihat lebih meriah, dinamik dan menyeluruh dengan penganjuran karnival pada kali ini turut mengetengahkan dimensi lain seperti keilmuan, kekeluargaan, perniagaan dan hiburan berlandaskan Islam. "Inilah cuba digambarkan melalui karnival ini menerusi penganjuran program keilmuan dan keagamaan yang diadakan seperti forum perdana, pentas dakwah dan sebagainya yang menarik pelbagai lapisan masyarakat. "Sambutan agak luar biasa daripada orang ramai yang datang ke gerai yang disediakan, malah pertandingan dan program ilmu yang dianjurkan, khususnya pada waktu malam turut dihadiri lebih 5,000 orang yang datang setiap hari. "Yang bagusnya mereka datang membawa keluarga dan ini memperlihatkan impak positif untuk kita bersama semaikan nilai kasih sayang dalam kalangan masyarakat yang semakin lama semakin terhakis dan sebab itu kita hasilkan program yang bersifat dinamik yang merangkumi segenap lapisan masyarakat," katanya. Asyraf Wajdi berkata, sambutan sempena Maulidur Rasul pada kali ini juga dilihat lebih meluas, selain turut mendapat kerjasama daripada siaran televisyen AlHijrah dan stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.fm). "Kita akan berusaha menjadikan program usahasama ini di tahun-tahun mendatang lebih meriah dengan penambahbaikan apabila menyaksikan program ini berjaya dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai," katanya. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md. Amin berkata, pihaknya bersedia menganjurkan karnival seumpama itu pada tahun akan datang berikutan sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung. Katanya, penganjuran karnival ini dianggap paling meriah dan berjaya mempunyai keunikan tersendiri yang dilihat berbeza dengan program diadakan di tempat lain. "Program yang dianjurkan ini turut mencapai objektif yang disasarkan bagi menarik golongan muda mendekatkan diri dengan aktiviti berbentuk dakwah menerusi cara lebih santai dan diminati. "Ini secara tidak langsung dapat memupuk mereka untuk mendekatkan diri dalam program berbentuk keagamaan dan dakwah dari peringkat awal lagi," katanya. |
Minyak masak kurang di Port Dickson Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST Oleh KHAIRUL NAJIB SARULAH KHAN Raju menunjukkan tempat simpanan minyak masak yang kehabisan stok di Kedai Runcit Balan Mini Market. TELOK KEMANG 15 Jan. - Masalah kekurangan minyak masak kembali membelenggu pengguna di sekitar daerah ini apabila mereka mula sukar untuk mendapatkan bekalan tersebut. Peniaga dan orang ramai merungut sukar memperoleh bekalan minyak masak peket sejak sebulan lalu sehingga terpaksa mengunjungi beberapa kedai di ibu negeri ini untuk mendapatkannya. Malah tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai runcit sekitar kawasan Lukut, Port Dickson dan Bandar Sunggala turut mendapati bekalan bahan masakan itu terutamanya minyak masak peket sekilogram kehabisan stok. Menurut peruncit, Su Chee Lan, 45, masalah kekurangan bekalan minyak masak mula membelenggu daerah ini pada pertengahan bulan Disember lalu. ''Pemborong juga mengehadkan pembelian disebabkan mereka turut menghadapi masalah yang sama. Kita sememangnya tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan. ''Ada juga pelanggan merungut tetapi kita tidak dapat membantu mereka disebabkan kekurangan bekalan," katanya yang berniaga di pasar raya Port Dickson, Bandar Sunggala dekat sini. Peniaga, R. Paneerselvam, 58, pula kesal kerana masalah bekalan minyak masak ini sering berlaku setiap tahun. ''Saya bukan sahaja tidak dapat memenuhi permintaan minyak masak peket, malah turut kehabisan bekalan minyak masak botol. Ini disebabkan kuantiti yang kita tempah melalui pemborong tidak dapat dibekalkan secukupnya. ''Kini kedai saya telah dua minggu kehabisan minyak masak dan hanya tinggal minyak jagung serta sayur sahaja," keluhnya yang berniaga di kedai Balan Mini Market, Port Dickson. Tambah pekerja di Kedai Rakyat 1Malaysia yang enggan dikenali, setiap minggu bekalan minyak akan sampai sebanyak 10 peti yang mengandungi 170 paket. ''Sejak pertengahan bulan lalu pembekal hanya hantar bekalan dua minggu sekali dan itu pun tidak sampai 10 peti. Ini menyebabkan minyak habis dalam tempoh tiga hari sahaja. ''Kita juga mengalami kekurangan minyak masak botol tetapi tidak seteruk minyak paket. Masalah ini akan membebankan pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah," jelasnya. Bagi pengguna, Jumary Md. Nor, 41, sebagai pengusaha kedai makan, minyak merupakan keperluan baginya. "Saya hanya dapat membeli dua paket, itu pun kerana saya merupakan pelanggan tetap di sebuah kedai pemborong di pekan ini. "Jika mereka pelanggan yang jarang datang semestinya akan diberitahu minyak tersebut habis bekalan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan