Utusan Online - Keluarga |
Posted: 15 Jan 2014 09:55 PM PST Remaja yang berdepan dengan gejala mengandung luar nikah meluahkan perasaan mereka melalui lukisan yang merupakan Terapi Seni. KETIDAKUPAYAAN meluahkan permasalahan dalam diri pesakit atau mangsa yang datang daripada pelbagai latar belakang disebabkan oleh permasalahan-permasalahan yang dialami terlalu berat, rumit dan kompleks untuk dilafazkan secara lisan apatah lagi untuk dikongsi dengan orang lain walaupun pada kaunselor atau terapis bertauliah. Salah satu kaedah yang boleh digunakan adalah melalui pendekatan Art Therapy atau Terapi Seni. Pendekatan Terapi Seni ini merupakan kaedah yang diterimapakai dengan meluas di Barat dalam profesion bantuan kaunseling, psikoterapi, kerja sosial, kejururawatan dan perubatan psikiatri untuk membantu mereka meluahkan pergolakan dalam diri yang membebankan. Kesedaran keperluan penggunaan kaedah Terapi Seni di Malaysia telah bermula pada tahun 1980-an, tetapi pendekatan ini tidak digunakan dengan meluaskan. Ia lebih kepada kesedaran untuk menggunakan pendekatan Terapi Seni dalam bidang perubatan psikiatri. Titik tolak kepada penggunaan Terapi Seni di Malaysia bermula apabila berlakunya bencana alam tsunami hampir sepuluh tahun yang lalu. Pendekatan Terapi Seni digunakan dengan begitu meluas di Barat yang tidak hanya dalam bidang kaunseling, psikoterapi dan perubatan psikiatrik. Keluasan pendekatan Terapi Seni turut digunakan antaranya kepada pesakit kanser dan pembawa HIV disamping pesakit melarat dihospital dan klinik, pusat pemulihan remaja juvana, mangsa penderaan, mangsa pergolakan politik sepeti di zon peperangan, penagihan dadah, krisis perkahwinan, kanak-kanak, pendidikan khas pelajar di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT) serta penjara. Menurut Profesor Madya Mohd. Mahzan Musa dari Program Psikologi dan Kaunseling, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia, Kedah, pendekatan Terapi Seni mula digunapakai oleh Naumberg pada tahun 1940-an di Amerika Syarikat. Naumberg kerap dirujuk sebagai pelopor Terapi Seni hingga beliau digelar The Mother of Art Therapy atau Ibu Terapi Seni yang terkenal di peringkat dunia. Mohd. Makzan kini merupakan pengiat utama Terapi Seni di Malaysia di mana beliau telah banyak menjalankan kajian menggunakan pendekatan Terapi Seni terutamanya dalam kalangan remaja dan gadis mengandung luar nikah. Beliau juga merupakan sukarelawan yang menerapkan kaedah Terapi Seni di rumah perlindungan Raudhatus Sakinah, kelolaan Jemaah Islah Malaysia. Di samping itu beliau turut mengaplikasikan pendekatan Terapi Seni dalam kalangan remaja histeria, remaja berisiko tinggi, penagih dadah, pembawa HIV, mangsa penderaan seksual serta mangsa histeria. Hasil daripada kerja-kerja kesukarelaan berkenaan Mohd. Makzan menghimpun lukisan kelompok-kelompok yang bermasalah ini sebagai data kajian dalam bentuk data visual bagi memahami pergolakan dalam diri yang menjadi beban psikologikal yang sukar dirungkai dengan pendekatan konvensional. Di atas minat yang mendalam beliau telah mengasaskan Persatuan Art Therapy Malaysia atau Malaysian Art Therapy Association (MATA) dan Facebook Malaysian Art Therapy Malaysia (MATA). Menurut Mohd. Makzan kesedaran penggunaan Terapi Seni di Malaysia amat dirasai dan keperluan terhadap pendekatan kreatif ini semakin meningkat. "Saya mula mendapat data visual dalam bentuk lukisan-lukisan dalam kalangan mangsa bencana tsunami Aceh dari dua rakan sekerja yang pergi ke Aceh sebulan selepas gelombang besar tsunami memusnahkan sebahagian daripada struktur landskap Acheh. "Melalui sejumlah lukisan trauma kanak-kanak mangsa tsunami Aceh, apa yang saya lihat adalah trauma psikologikal yang menakutkan. Menerusi lukisan-lukisan tersebut saya hasilkan kertas kerja seminar dan kemudian membentangkannya di Seminar Persatuan Kaunseling Malaysia atau PERKAMA di Universiti Malaysia Sarawak. "Sambutan yang diberikan amat sangat memberangsangkan. Lantaran saya mula mendekatkan diri dengan mendalami bidang Terapi Seni," kata Mohd. Makzan. Pada waktu itu isu gejala pembuangan bayi sedang berleluasa yang mana setiap hari dipaparkan di media massa, jadi beliau mengambil keputusan untuk bereksperimen pula dengan kaedah yang sama di rumah-rumah perlindungan remaja dan gadis mengandung luar nikah khusususnya di Raudhatus Sakinah. Hasil eksperimen kreatif berkenaan, pihaknya mendapat data visual yang amat berharga dalam usaha untuk memahami masalah-masalah dalam kalangan remaja dan gadis yang mengandung luar nikah. Kini beliau telah menjalankan sesi Terapi Seni di dua rumah perlindungan remaja dan gadis mengandung luar nikah Raudhatus Sakinah sejak lapan tahun lalu. Berdasarkan data-data visual dalam bentuk lukisan dan lakaran yang amat berharga yang dihimpun sekian lama, beliau kini tahu mengapa gejala pembuangan bayi berlaku dan masih menjadi fenomena sosial di Malaysia. "Teknik Terapi Seni pada asasnya adalah kaedah untuk mengingati kembali pengalaman hidup yang menghantui mereka dengan menggunakan warna dan kertas lukisan. Caranya bukan sewenang-wenangnya kerana melibatkan teknik dan etika yang harus dipatuhi. Dalam Terapi Seni interpretasi harus datang daripada klien bukan pengamalnya. Sebarang andaian harus juga diketepikan. "Ini kerana di dalam lukisan-lukisan dari sesi Terapi Seni mengandungi pelbagai macam simbol terutamanya simbol kolektif, simbol universal dan simbol peribadi yang boleh menjelma dengan pelbagai bentuk, cara, warna dan saiz di atas kertas lukisan. "Simbol-simbol ini harus diamati, difahami dan kita akan memahami dunia dalam diri mereka yang ditimpa masalah mahu pun musibah. Daripada lakaran, lukisan pelbagai simbol dalam lukisan dari sesi Terapi Seni ia memerihalkan intrakonflik dalam diri," jelas Mohd. Makzan. Benci akibatkan pembuangan bayi Gejala dan isu pembuangan bayi bukan satu perkara yang baru kerana setiap hari ada saja kes-kes kejadian pembuangan bayi dipaparkan. oleh media biarpun pelbagai cara digunakan oleh pelbagai pihak untuk mengekang gejala ini namun kes tetap berterusan. Jelas Mohd. Makzan lagi hasil daripada kajian beliau yang menggunakan pendekatan Terapi Seni ini punca utama pembuangan bayi disebabkan oleh kebencian yang keterlaluan di dalam diri terhadap bayi. "Mereka benci kepada janin yang dikandung, benci kepada perubahan fizikal tubuh badan sewaktu mengandung, benci pada bayi yang merubah keseluruhan hidup yang menyusahkan ketika itu, kebencian kepada kesakitan yang ditanggung dan kebencian kepada lelaki yang menyebabkan dia hamil, kebencian kepada bayi yang menyebabkan ibu yang mengandung tanpa suami terpaksa menanggung aib dan malu disepanjang hidup mereka, dan yang paling dibenci adalah stigma masyarakat pada remaja dan gadis yang mengandung dan melahirkan anak tidak sah taraf," kata Mohd. Makzan. Hasil analisa daripada lukisan-lukisan yang terhasil daripada sesi Terapi Seni, ramai remaja dan gadis yang mengandung luar nikah ada pernah terlintas untuk membunuh diri, melakukan percubaan untuk mengugurkan kandungan dan ada yang mahu membalas perbuatan lelaki yang yang menghamilkan mereka. Kejadian mengandung luar nikah ini pada asasnya adalah akibat pergaulan bebas ketika sedang asyik mabuk cinta berahi yang melampau dan ditipu kepada janji lelaki. "Remaja dan gadis perempuan ini terdesak akibat malu dengan apa yang bakal menimpa mereka serta stigma terhadap diri sendiri, juga masyarakat yang memandang hina kepada mereka," jelasnya yang boleh dihubungi ditalian 017 - 533 4152. |
Posted: 15 Jan 2014 09:55 PM PST BAGI sebahagian ibu bapa yang memandang enteng terhadap barangan penjagaan bayi dan kanak-kanak, mereka kini sepatutnya lebih prihatin pada perubahan struktur kulit dan kesihatan bayi apabila membeli produk mandian dan penjagaan bayi. Pemilihan sabun mandian dan losyen untuk kanak-kanak tidak boleh diambil ringan oleh ibu bapa kerana struktur kulit bayi yang lembut dan gebu memerlukan penjaagaan rapi dan penggunaan produk yang sesuai dengan kulit. Ini kerana tidak semestinya apa yang dirasakan baik untuk anda juga baik untuk permata hati anda. Menggunakan produk kesihatan yang tidak bersesuaian dengan kulit bayi akan menimbulkan masalah kesihatan seperti kegatalan pada bahagian kulit, keradangan dan ruam-ruam pada badan. Bayi yang mengalami masalah kesan daripada penggunaan produk yang tidak sesuai akan menjejaskan kualiti hidup dan keselesaan mereka sepanjang hari. Paediatrik Dermatologi, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Leong Kin Fon berkata, ibu bapa perlu lebih prihatin ketika membuat keputusan membeli produk mandian yang betul kepada bayi mereka kerana produk yang tidak sesuai akan memberi kesan kepada kulit bayi. "Kulit bayi mempunyai sel yang sangat kecil berbanding dengan sel kulit orang dewasa. Kulit mereka juga lebih nipis sebanyak 30 peratus berbanding kulit orang dewasa. "Fungsi lipid dan tahap lembapan semulajadi juga berbeza dengan kulit orang dewasa menyebabkan cepat berlaku kehilangan air pada kulit mereka. Bayi yang baru lahir mengambil masa satu hingga enam tahun untuk menjadi matang bergantung kepada kulit dan persekitaran bayi. "Ukuran kadar ph normal yang sesuai untuk kulit bayi adalah daripada 5 hingga 6. Jika produk yang digunakan tidak sesuai dengan kulit akan menyebabkan berlaku keradangan dan alahan pada bahagian-bahagian yang sensitif pada badan," jelasnya. Tambahnya lagi, pemilihan produk mandian yang sesuai bukan sahaja berkesan untuk menghilangkan segala kotoran dan bakteria yang melekat pada bahagian bayi, malah penggunaannya yang konsisten membantu mencegah sebarang jangkitan yang berbahaya. "Produk mandian yang bagus bukan sahaja membantu membunuh sebanyak 99.9 peratus kuman dan bakteria, malah membaiki persekitaran untuk menggalakkan pertumbuhan bakteria yanga baik kepada sistem ketahanan badan bayi. "Hanya menggunakan air untuk membersihkan segala kotoran dan minyak yang melekit pada permukaan kulit tidak akan berkesan. Ph normal air 7 hingga 7.3 tidak akan memberi kesan pada kulit kerana ph kulit adalah 5.5 dan berkesan hanya dalam tempoh 10 hingga 15 minit sahaja selepas dicuci. "Untuk membunuh kuman yang melekit pada permukaan kulit adalah menggunakan bahan aktif dan pencuci," jelasnya. Ujar Dr. Kin Fon lagi, sebelum membeli produk mandian bayi, ibu bapa digalakkan melihat kepada beberapa perkara yang berkaitan dan bersesuaian dengan bahagian kulit bayi iaitu aspek keselamatan penggunaan produk, lembut dan tidak memedihkan bahagian mata, serta efektif. "Produk yang baik berfungsi membuang kotoran serta memastikan kulit tidak kering dan berlaku iritasi yang menyebabkan ruam atau keradangan. "Pilih produk yang sesuai dan melembutkan permukaan kulit bayi. Sebelum membeli seeloknya buat perbandingan dan kaji latar belakang sesuatu jenama. "Untuk melihat kesan produk berkenaan pada bayi, cuba sapukan dahulu pada bahagian tertentu pada kulit seperti bawah perut, dan paha sama ada berlaku kekeringan mahupun iritasi pada kulit. Baca juga label untuk mengetahui kandungan bahan-bahan yang digunakan bagi memastikan kulit bayi selamat dan sihat," katanya. Sementara itu, Pengarah Kumpulan Penjenamaan Johnson Baby, Irene Cheah berkata, pihaknya sentiasa memahami bahawa keadaan kulit, rambut dan mata bayi berbeza dari kulit orang dewasa, yang memerlukan penjagaan rapi. "Kami percaya bahawa sentuhan dan komunikasi melalui mata adalah langkah awal untuk ibu dan bayi berkongsi kasih sayang. Oleh sebab itu kami sangat berusaha untuk mengeluarkan produk penjagaan bayi untuk kulit dan mata sebaik mungkin," jelasnya. Produk mandian terbaru ini sangat sesuai kepada bayi yang telah diuji oleh pakar iaitu Johnson Baby Bath, Johnson Baby Peach Bath, Johnson Baby Bedtime Bath, Johnson Baby Cooling Bath dan Johnson baby Milk Rice +Rice Bath. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan