Utusan Online - Hiburan |
Posted: 15 Jan 2014 09:55 PM PST Oleh GARRET DAWUM ANDAI diperhatikan nasibnya sepanjang penglibatan dalam bidang seni, dia tidaklah sebaik dan sehebat penyanyi popular yang lain. Populariti Nadia Hasnan atau nama lengkapnya, Nadia Haswani Hasnan dalam nyanyian nampak biasa-biasa sahaja. Dia hanya mampu hadir dengan empat buah single biarpun bakatnya sudah digilap menerusi program realiti popular, Akademi Fantasia 6 (AF6) 2008. Tidak mahu bakatnya terus terkubur tidak bertanda, Nadia akui dia sekarang lebih senang buat 'tebal muka' untuk mendapatkan lagu-lagu baharu yang menarik daripada komposer pilihannya. "Memang tidak kisah langsung jika ada yang mengatakan saya tidak malu meminta-minta lagu daripada komposer. Sebaliknya itu adalah untuk kebaikan saya sendiri. "Bukan sedikit usaha yang perlu kita buat sekiranya ingin mendapatkan lagu. Memang banyak rintangan yang terpaksa ditempuhi, lagi-lagi kalau penyanyi seperti saya yang kurang dikenali. "Ditolak oleh komposer untuk membuat lagu, itu sememangnya sudah menjadi perkara biasa. Sebab itu, jika ada terjumpa dengan komposer-komposer di dalam sesebuah majlis, saya dengan rasa rendah diri dan cuba untuk kikis sifat malu. Saya akan memperkenalkan diri kepada mereka," katanya. Faham dengan pahit-maung berstatus seorang penyanyi selain menjadi permainan industri yang dihadapinya dengan tenang, Nadia mencuba beberapa cara untuk mendapatkan kepercayaan komposer mencipta lagu buat dirinya. Menunjukkan persembahan terbaik dengan vokal yang mantap dalam beberapa majlis yang menampilkan dirinya sebagai penyanyi undangan, ia satu lagi strategi bagi menambat hati komposer. "Pendekatan seperti itu yang patut saya buat jika ingin terus berjaya bergelar seorang penyanyi. "Walaupun faham dengan pembiayaan yang perlu kita keluarkan untuk mendapatkan sesebuah lagu, saya tak kisah. Saya memang perlu buah tangan terbaru untuk bangkit daripada kelekaan sebelum ini," ujarnya yang tidak pernah berputus asa. Sepanjang enam tahun bergelar anak seni, selok-belok dalam industri banyak diperolehi daripada ibunya, Jamaayah Sulong, 51, walaupun ibunya bukan orang seni. "Dia (ibu) banyak mengajar dan menasihatkan saya. Ke mana sahaja saya pergi, ibu pasti akan menemani," ujarnya. Kahwin kemudian Gadis kecil molek ini yang masih muda memang penuh dengan cita-cita, terutama dalam menjunjung visi tersendiri. Dalam nada cukup keyakinan, Nadia memberitahu, dia kini gigih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak sulung sejak kematian ayahnya, Hasnan Yusoff pada 2012. "Sekarang, perkara utama yang perlu saya buat adalah menggantikan tanggungjawab yang mama dan papa pikul sebelum ini. Sudah tiba masanya saya ambil alih tugas itu. "Lagipun, papa sudah tiada dan perniagaan popia yang mereka jalankan sejak saya berusia 11 tahun terpaksa ditutup kerana tiada yang mahu menjaganya lagi. "Kerja keras perlu untuk membantu keluarga kerana saya akan memberikan kesenangan kepada ibu dan adik saya, Dianah Syazwani," katanya yang masih tidak memikirkan soal perkahwinan buat masa ini. Biarpun usianya akan menjangkau 24 tahun pada 14 April ini. Soal jodoh bukanlah keutamaan buat diri Nadia. Sudah mempunyai kekasih hati, Nadia senang jika pengenalannya dengan lelaki yang hanya diberitahu bernama Hafiz dan berusia 27 tahun, belum boleh ditamatkan ke jinjang pelamin. "Sudah lima tahun kami berkenalan. Ada juga hasrat dia untuk mengahwini saya. Dia dan keluarga saya juga ada berbual-bual kosong mengenai perkara itu, tentang masa depan kami. "Buat masa ini biar kami selesaikan semua yang patut dulu dan eratkan lagi silaturahim itu. Selain itu, saya belum bersedia dari segi kewangan begitu juga dengan Hafiz. Sasaran saya untuk berkahwin adalah pada usia 25 tahun," kata wanita bersemangat kental itu. |
Posted: 15 Jan 2014 09:55 PM PST Pasangan kontroversi, Kim Kardashian dan Kanye West nampaknya merancang percutian bulan madu yang memang tidak dijangka sama sekali. Selalunya, lokasi seperti di pulau menjadi pilihan buat pasangan berbulan madu, tetapi mereka memilih angkasa lepas sebagai lokasi meraikan detik-detik indah dalam hidup selepas melangsungkan pernikahan nanti. Menurut sumber terdekat dengan West, dia yang sudah bertunang dengan Kardashian merancang untuk mengadakan majlis pernikahan tahun ini. "Jadi, selepas berkahwin, dia merancang untuk pergi berbulan madu bersama Kardashian dan angkasa lepas adalah sesuatu yang diimpikan oleh West,"kata sumber tersebut. Sememangnya West diketahui seorang yang sangat obses dengan angkasa lepas dan banyak terlibat menghasilkan video klip bertemakan angkasa lepas. West dikatakan merancang untuk membawa wanita yang dicintai itu ke CSS Skywalker, sebuah stesen angkasa lepas. "Stesen angkasa lepas itu terletak sejauh 402 kilometer daripada bumi dan dijangka akan dibuka kepada pengunjung seawal 2015,"tambah sumber yang sama. Pengunjung yang mahu merasa sendiri pengalaman itu perlu membelanjakan sekitar RM3.2 juta untuk seorang bagi jangka masa sehari. Selain itu, pengunjung juga diwajibkan untuk menjalani kursus latihan angkasawan selama tiga bulan. Tambah sumber lagi, pasangan itu begitu teruja dengan bulan madu kali ini dan wang bukan satu masalah besar bagi mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan